Oleh DR. MOHAMAD SAIFUDIN MOHAMAD SALEH dan SITI SURIANI OTHMAN

ADA apa dengan hiburan dan penjagaan alam sekitar? Jika ada kaitan pun, bagaimana? Kita sedia maklum bahawa mesej alam sekitar, seperti tanah runtuh, perubahan iklim, dan pemanasan global, acap kali dilabelkan sebagai topik berat, teknikal dan membosankan sehingga membuatkan masyarakat semakin menjauhkan diri dan kurang berminat terhadapnya. Sukar bagi pihak media atau sebarang bentuk penulisan mendekati pembaca dengan cara menyeronokkan untuk menghadapi isu sebegini.

Sebenarnya, hiburan ialah elemen yang sangat dekat dengan fitrah manusia. Dengan menggabungkan kekuatan hiburan bagi menyampaikan mesej alam sekitar, kita akan berupaya menyampaikan maklumat ‘berat’ ini kepada masyarakat dengan lebih berkesan dan mudah difahami.

Di mana-mana bahagian di dunia ini, isu hiburan, terutamanya yang melibatkan selebriti terkenal, sering kali menjadi tumpuan peminat tempatan. Maka, unsur ini boleh dilihat penting untuk meningkatkan tarikan terhadap isu teknikal dan berat, seperti isu alam sekitar. Keterlibatan selebriti dengan isu seumpama ini dilihat berupaya meningkatkan nilai berita sesuatu peristiwa yang berlaku, seterusnya menarik perhatian masyarakat.

Di Malaysia, Maya Karin antara selebriti tempatan yang giat menjadi aktivis alam sekitar. Beliau pernah dilantik sebagai duta Taman Laut Malaysia bersempena dengan Tahun Pemuliharaan Terumbu Karang Sedunia 2008. Maya juga aktif untuk mengkomunikasikan mesej alam sekitar dalam media tempatan, seperti mengingatkan masyarakat khususnya peminatnya tentang penjagaan alam sekitar secara holistik.

Bukan sahaja di Malaysia, di luar negara juga dapat disaksikan selebriti antarabangsa, seperti Leonardo DiCaprio, turut sama aktif menjadi pejuang alam sekitar. Leonardo sendiri mempunyai pertubuhan alam sekitar sendiri yang dinamakan sebagai Leonardo DiCaprio Foundation yang menyokong projek penjagaan alam sekitar, khususnya hidupan liar yang terancam.

Selain itu, mesej alam sekitar turut boleh disampaikan menerusi filem. Filem yang bertemakan alam sekitar, seperti Avatar dan Duyung, boleh dihasilkan dengan lebih banyak jumlahnya untuk menyuntik mesej kesedaran alam sekitar kepada penonton. Dalam filem Avatar misalnya, pengarah tersohor dunia, James Cameron, cuba menyuntik mesej dan pengajaran di sebalik ketamakan manusia yang merosakkan alam sekitar kepada penonton filem dunia. Dalam filem tempatan Duyung pula, aspek kepercayaan tempatan akan kewujudan makhluk duyung yang suka akan laut yang bersih daripada pencemaran sekali gus memberikan mesej kepada penonton peri pentingnya kebersihan laut untuk kelangsungan ekosistem.

Melalui seni juga, muzik mempunyai pengaruh yang sangat kuat dan hal ini perlu diaplikasikan bagi mengkomunikasikan isu alam sekitar. Lagu “Hijau” yang sangat ikonik nyanyian Zainal Abidin sarat dengan mesej kehijauan dan dikatakan antara permulaan kepada anjakan muzik tempatan ke arah industri muzik yang menyokong alam sekitar. Sehingga kini, lagu tersebut masih kekal sebagai siulan anak muda sungguhpun pelbagai lagu baharu muncul dalam industri seni tempatan dan antarabangsa.

Pengkaji Barat, seperti Dr Maxwell Boykoff dari University of Colorado Boulder, merupakan antara pengkaji yang menekankan dan membahaskan peranan selebriti dalam isu alam sekitar, seperti perubahan iklim dalam jurnal penyelidikan. Menurut Boykoff, selebriti yang boleh terlibat dan menyumbangkan buah fikiran kepada isu alam sekitar bukan sahaja dalam kalangan pelakon, malah dalam kalangan ahli politik, atlet, ahli muzik, usahawan dan ahli pemikir yang lazimnya terkenal dan menjadi ikon masyarakat.

Dalam masa yang sama, atlet sukan juga sering menjadi sosok penting bagi sama-sama memperjuangkan isu alam sekitar. David Wise yang memenangi dua butir pingat emas dalam acara ski dalam Sukan Olimpik, misalnya, pernah menyuarakan pandangan dan kekhuatiran beliau akan kesan perubahan iklim terhadap sukan musim sejuk yang dikatakan bakal terjejas pada tahun 2050 kerana terdapat kawasan yang akan menjadi lebih panas dan kurang salji sehingga tidak sesuai untuk dijadikan lokasi bagi sukan musim sejuk lagi. Pandangan Wise ini mendapat liputan meluas daripada media antarabangsa dan menarik perhatian peminat sukan dunia.

Kajian terkini turut membuktikan bahawa lawak jenaka yang menghiburkan turut boleh menjadi medium yang baik bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat akan sesuatu isu alam sekitar. Caty Borum Chattoo dari American University yang juga pakar strategi komunikasi yang pernah memenangi anugerah dan Lindsay Green-Barber dalam kajian terkini mereka pada 2018 membuktikan bahawa 60 peratus daripada responden menyatakan bahawa mereka hanya tahu tentang masalah pencemaran toksin di New Jersey selepas mereka menonton pertunjukan stand-up comedy. Hal ini menunjukkan bahawa pertunjukan stand-up comedy bukan hanya sebagai alat hiburan, tetapi juga alat pendidikan alam sekitar yang berkesan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, kita di Malaysia juga dapat menyaksikan lambakan video lawak jenaka yang menghiburkan dalam media sosial, seperti Instagram, YouTube, Facebook dan Twitter yang dimuat naik oleh pengguna laman sosial, khususnya golongan muda tentang sesuatu isu semasa, khususnya isu politik dan ekonomi. Mungkin perkara yang sama boleh dilakukan terhadap isu alam sekitar untuk memastikan mesej alam sekitar dapat diterima oleh masyarakat dengan lebih mudah dan pantas.

Dari segi perkongsian maklumat alam sekitar, isu utamanya di Malaysia adalah kita kekurangan bahan menarik yang berkesan bagi mengkomunikasikan alam sekitar. Kita perlu keluar daripada pemikiran bahawa alam sekitar akan ada untuk generasi akan datang seadanya tanpa usaha keberadaannya perlu diusahakan untuk ditinggalkan sebagai legasi yang kekal terjaga. Mesej ini sendiri memerlukan kecerdikan bagi mengolah unsur seni hiburan oleh yang berhikmah agar sampai mesejnya, cakna minda dan tegar kasih sayangnya terhadap alam sekitar warisan bangsa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045582
    Visit Today : 478
    This Month : 28181
    Total Visit : 1045582
    Hits Today : 1455
    Total Hits : 4292020
    Who's Online : 22
  • Kategori