Oleh ALIAH ABDUL RAHIM

 

DALAM bulan Ramadan pada tahun ini, kami di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) khasnya di Bahagian Promosi dan Pengiktirafan menerima seorang kenalan berbangsa Jerman. Yang menariknya tentang gadis dari negara Eropah Tengah ini adalah kerana ia beragama Islam. Namanya Jana Petersen dan sungguhpun huruf pangkal namanya J, sebutan namanya menjadi Yana.

Jana belajar bahasa Melayu/Indonesia termasuk budaya kedua-dua buah negara ini di University of Hamburg, Jerman. Beliau yang menetap di Hamburg mengambil jurusan pengajian Asia Tenggara, turut mempelajari sastera selain sejarah dan politik Asia Tenggara. Pensyarah beliau, Prof. Rainer Carle pernah tinggal di Indonesia selama beberapa tahun dan berkawan rapat dengan beberapa orang sasterawan Indonesia semasa belajar di sana. Hasil pengalaman pensyarah tersebut mendalami pengajian sastera termasuk puisi, syair, dan novel-novel Melayu yang lama dan baru, dikongsikannya bersama-sama pelajar beliau yang mengambil jurusan tersebut.

Menurut gadis manis bertudung ini, pada tahun pertama, beliau mempelajari bahasa Melayu dari segi lisan dan tulisan merangkumi semua aspek kebahasaan termasuk tatabahasa, sebutan, terjemahan daripada bahasa Indonesia/Melayu kepada bahasa Jerman dan sebaliknya. Apabila telah dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik, mereka akan berbincang pelbagai topik dalam bahasa tersebut. Kadangkala, pensyarah dari luar negara terutama dari negara Eropah lain seperti Belanda dan Britain yang mempunyai Fakulti Bahasa Melayu/Indonesia di universiti masing-masing, datang memberi ceramah tentang bahasa Melayu termasuk pensyarah dari Malaysia atau Indonesia. Yang pasti ceramah tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar.

Apabila ditanya mengapa beliau berminat mempelajari bahasa Melayu, Jana menjelaskan bahawa beliau tertarik dengan ciri-ciri ketimuran dan tradisional yang masih dikekalkan oleh masyarakat Melayu di negara ini berbanding dengan negara Jerman yang kebanyakan rakyatnya tidak lagi mengekalkan ciri-ciri tradisi mereka. Pelajar yang mengambil pengajian Asia Tenggara rata-rata disebabkan mereka pernah ke Malaysia atau Indonesia dan tertarik dengan bahasa dan budaya negara berkenaan. Ada yang datang ke Malaysia sebagai pelancong dan ada juga yang mengikuti program pertukaran pelajar.


Segala-galanya bermula pada tahun 2003 apabila Jana berkunjung ke Malaysia buat pertama kalinya dalam program pertukaran pelajar. Di Kuala Lumpur pada masa itu, beliau tinggal dengan ibu angkatnya, Puan Fauziah Mohd. Thani, seorang pegawai insurans. Setahun selepas itu sekembalinya ke Jerman, Jana sudah boleh berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu.

Kini Jana datang semula ke Malaysia untuk mendalami bahasa dan budaya masyarakat negara ini dengan melanjutkan  pengajiannya di peringkat sarjana jurusan pengajian Asia Tenggara. Beliau kini berada pada tahun akhir pengajian dan selama empat tahun belajar di universiti, beliau yakin bahawa pengajian bahasa Melayu baik dan sesuai dengannya.  “Walaupun pengajian bahasa Melayu ini agak unik bagi saya orang Jerman, saya suka belajar bahasa ini. Bagi saya bahasa Melayu ini cantik dan kaya. Kepada sesiapa yang baru belajar bahasa Melayu, ia mungkin beranggapan tatabahasanya mudah sahaja,  tetapi apabila kita mendalaminya, kita akan mendapati bahasa Melayu tidak semudah itu,” ujar Jana yang memeluk agama Islam pada tahun 2006.

Setelah empat tahun memeluk Islam, berpuasa tidak menimbulkan apa-apa masalah baginya. “Saya mula belajar berpuasa semasa tinggal dengan keluarga angkat, sebelum saya memeluk agama Islam lagi,” katanya tersenyum.

Sejak tahun 2004, Jana sering berkunjung ke Malaysia dan tinggal bersama-sama keluarga angkatnya di Kuala Lumpur. Jika berpeluang setelah menamatkan pengajiannya, beliau ingin terus tinggal di Malaysia.

   

Saya amat meminati Malaysia kerana masyarakat dan budayanya, selain alam semula jadinya yang amat cantik. Malaysia adalah salah sebuah negara yang kaya dengan budaya, setiap negerinya mempunyai tradisi sendiri. Walaupun negara ini sudah semakin maju, masyarakatnya masih berpegang pada tradisi,” tambahnya lagi.

Bagi orang Jerman, hal ini amat menarik kerana masyarakat di Jerman sudah hampir melupai budaya dan tradisi mereka sendiri. Selain budaya, Yana menyukai rakyat Malaysia yang mudah mesra dan peramah termasuk kepada orang asing.

“Orang Malaysia sangat suka apabila saya bercakap dalam bahasa Melayu dan saya dapat rasakan yang mereka menghargai usaha saya untuk belajar bahasa ini,” kata Yana mengakhiri perbualan.

Yana menjalani latihan amali di DBP selama sebulan sejak 15 Ogos lalu dan akan berakhir pada 15 September ini.

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045535
    Visit Today : 431
    This Month : 28134
    Total Visit : 1045535
    Hits Today : 1317
    Total Hits : 4291882
    Who's Online : 13
  • Kategori