Oleh SALIM MD ZAIN

BANGSA Melayu dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan dan terbahagi kepada dua kumpulan. Menurut para pengkaji, kumpulan pertama bangsa Melayu dikenali sebagai Melayu Proto. Kumpulan ini kemudian berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru, iaitu kira-kira 2500 tahun Sebelum Masihi. Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera dikatakan terdiri daripada keturunan golongan Melayu Proto.

Kumpulan kedua pula dikenali sebagai Melayu Deutro. Pada Zaman Logam kira-kira 1,500 tahun Sebelum Masihi, kumpulan ini berpindah ke Asia Tenggara. Orang-orang Melayu di Malaysia dipercayai keturunan Melayu Deutro. Kumpulan ini dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada kumpulan Melayu Proto dalam banyak bidang termasuk bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam. Dari segi jumlah bilangan, Melayu Deutro lebih banyak daripada Melayu Proto. Kumpulan ini menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara. Para pengkaji sejarah mengkategorikan kumpulan Melayu Proto dan Melayu Deutro sebagai golongan Austronesia.

Dalam aspek perkembangan bahasa Melayu, ahli bahasa membahagikannya kepada tiga tahap utama, iaitu Bahasa Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu Kuno merupakan keluarga bahasa Nusantara. Zaman kegemilangannya bermula pada zaman kerajaan Sriwijaya dari abad ke-7 hingga abad ke-13, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran. Penuturnya mencakupi penduduk di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera. Bahasa Melayu kuno menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar. Bahasa Melayu Kuno juga tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat serta memiliki sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa. Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuan (kesarjanaan) bahasa Melayu.

Peralihan daripada bahasa Melayu Kuno kepada bahasa Melayu Klasik dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13. Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan. Terdapat tiga batu bersurat yang penting iaitu batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356), batu bersurat di Minye Tujuh, ,Acheh (1380) dan batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387). Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14 muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan. Kegemilangan Bahasa Melayu Klasik boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting, iaitu zaman kerajaan Melaka, zaman kerajaan Acheh dan zaman kerajaan Johor-Riau. Antara tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.

Peralihan zaman Bahasa Melayu Moden bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden. Sebelum penjajahan British, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam. Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Sebaliknya, apabila Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 pula menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046482
    Visit Today : 98
    This Month : 29081
    Total Visit : 1046482
    Hits Today : 165
    Total Hits : 4294967
    Who's Online : 8
  • Kategori