Oleh HUMAIRA ABDUL RAHMAN

Salah seorang pembentang sedang membentangkan kertas kerjanya.

Salah seorang pembentang sedang membentangkan kertas kerjanya.

PADA 19 dan 20 September 2017, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Seminar Linguistik Kebangsaan 2017 (SLiK 2017) yang diadakan di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP, Kuala Lumpur.

Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Abdul Karim  merasmikan SLiK 2017.

SLiK 2017 yang bertemakan “Bahasa dan Akal Budi Bangsa” telah dirasmikan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Abdul Karim, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa merangkap Penasihat PLM. Yang turut menghadiri seminar tersebut ialah pensyarah bahasa dan linguistik Melayu universiti tempatan, pelajar sarjana dan doktor falsafah serta penyelidik yang sedang membuat kajian dalam bidang linguistik Melayu.

Seminar yang dianjurkan sebanyak dua tahun sekali ini memberikan peluang kepada penyelidik tempatan membincangkan hasil kajian mereka dalam bidang bahasa dan linguistik Melayu serta pendedahan peranan bahasa dalam akal budi bangsa.

Memetik ucapan perasmian oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah, beliau percaya bahawa penganjuran SLiK 2017 mampu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan dan penggunaan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi dan penyampaian mesej yang baik.

ZAI_4495

Ucaptama oleh Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Mohd Noor Merican daripada Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa, USM.

Beliau berharap dengan penganjuran seminar seperti ini dapat menjadi platform yang baik dalam upaya menghasilkan korpus ilmu bahasa Melayu linguistik dan penyelidikan berkaitan bahasa Melayu. SLiK 2017 mengetengahkan 56 kertas kerja dan dua ucaptama oleh penyelidik tempatan yang dibentangkan dan dinilai untuk tujuan penambahbaikan sebelum diterbitkan.

Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Mohd Noor Merican daripada Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia memulakan seminar dengan ucaptama yang pertama dengan tajuk “Akal Budi Dalam Mencari Melayu: Menilai Semula Korpus Sains Sosial dan Kajian Media di Malaysia”. Beliau menegaskan tentang kepentingan penyelidikan bidang linguistik Melayu dan menyatakan bahawa akal budi Melayu terlihat pada bahasa yang dituturkan.

Ucaptama kedua pula disampaikan oleh Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin daripada Pusat Penyelidikan Kelestarian Sains Bahasa, UKM. Beliau menyentuh beberapa penyelidikan yang menyelitkan elemen multidisiplin seperti kajian sains dan perkaitannya dengan peribahasa Melayu dan sebagainya.

“Ilmu kita mesti beracuankan pemikiran kita dan kajian peribahasa tidak seharusnya mati. Penyelidikan bahasa kini perlu lebih meluas dan melibatkan multidisiplin ilmu daripada pelbagai bidang dan penyelidikan yang dihasilkan mampu diterbitkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Encik Hissamuddin Abdul, salah seorang pembentang kertas kerja SLiK 2017 daripada Universiti Putra Malaysia menyatakan bahawa, kosa kata Melayu memaparkan identiti bangsa dan kosa kata yang tidak digunakan akan mati dan dilupakan.

ZAI_4787

Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP menyempurnakan majlis penutupan SLiK 2017.

Majlis penutupan SLiK 2017 telah disempurnakan oleh Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP. Dalam ucapannya, beliau mencadangkan agar seminar seperti ini dapat dilaksanakan di setiap negeri dan penyelidikan mestilah diteruskan dalam usaha memartabatkan kajian linguistik Melayu agar setanding dengan kajian dalam bidang lain.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PLM dan semua pihak yang bekerja keras dalam penganjuran dan pelaksanaan seminar selama dua hari tersebut.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046372
    Visit Today : 1268
    This Month : 28971
    Total Visit : 1046372
    Hits Today : 4196
    Total Hits : 4294761
    Who's Online : 17
  • Kategori