KONGRES Budaya 2017 telah melabuhkan tirai pada 15 April 2017. Kongres tersebut meluluskan 11 resolusi untuk dibincangkan; mengandungi inti pati bagi mempertahankan dan menyemarakkan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi, Rukun Negara sebagai tiang seri negara bangsa, keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Majlis Raja-raja serta capaian ekonomi Bumiputera.

Mengapa BM menjadi salah satu resolusi utama kongres? Sudah tentu kerana BM sedang melalui fasa yang amat kritikal pada ketika ini. Jika dikiaskan dengan dunia perubatan, BM sedang berada di unit rawatan rapi (ICU). Hal ini bukan rekaan tetapi kenyataan yang sedang berlaku.

Dalam kebanyakan sektor kehidupan, fungsi BM sudah diambil alih oleh bahasa Inggeris (BI) atau bahasa lain atas tuntutan ekonomi. BM dikatakan tiada nilai ekonomi walhal semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, BM digunakan dalam semua bidang – komunikasi, undang-undang, politik dan ekonomi. Jadi, apa hujah yang dapat menafikan “nilai ekonomi” BM?

Mengapa nilai ekonomi dikaitkan dengan bahasa? Adakah negara yang mengagungkan BI lebih maju daripada negara yang memartabatkan bahasa ibunda? Kajian dan data tidak membuktikan hal ini tetapi kita masih “berbalah” tentang perkara ini.

Apabila mengaitkan bahasa dengan nilai ekonomi, papan iklan dan papan tanda antara contoh yang mudah dilihat. Di sinilah peniaga atau pihak berkepentingan memperagakan produk dan perkhidmatan masing-masing atau menyampaikan mesej.

Dua bahasa yang paling dominan pada papan tanda dan papan iklan ialah BM dan BI walaupun hakikatnya kita tidak memerlukan dua bahasa kerana setiap warganegara Malaysia memahami BM. Antara syarat papan tanda dan papan iklan yang ingin dinaikkan adalah wajib dalam BM. Jika pengiklan ingin menggunakan BM dan BI, BM mesti lebih menyerlah daripada BI dari segi saiz teks dan warna.

MSS_1535

Binaan slogan yang menggunakan “bahasa rojak”.

Adakah pempamer iklan mematuhi syarat ini sebelum menaikkan papan iklan atau papan tanda?

Jawapannya dua: “Ya” dan “Tidak”. Ada sebahagian mematuhinya dan sebahagian lagi tidak mematuhinya. Jika begitu halnya, pihak manakah yang sepatutnya mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak mematuhinya? Kalau mengikut peraturan, pihak berkuasa tempatan (PBT) wajib mengambil tindakan terhadap pempamer iklan yang melanggar syarat penggunaan bahasa.

MSS_1520

Papan iklan McDonald’s yang menghormati bahasa Melayu.

Di Kuala Lumpur, PBT yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan papan iklan dan papan tanda dalam BM ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Persoalannya, bagaimanakah DBKL mahu menguatkuasakan penggunaan BM pada papan tanda dan papan iklan jika PBT berkenaan sendiri tidak memartabatkan BM?

Anda perhatikan binaan slogan yang dipaparkan dalam makalah ini. Binaan slogan yang didirikan oleh DBKL ini terletak di sebelah kanan selekoh Lebuh Raya Sungai Besi menuju ke Lebuh Sultan Abdul Halim. “Selamat Datang ke Kuala Lumpur. A City of Contrast and Diversity,” kata binaan slogan itu.

Kita tidak faham mengapa DBKL mendirikan slogan dalam BI dan bukan BM. Adakah sasarannya bukan rakyat Malaysia? Kita yakin bahawa banyak warga Malaysia tidak memahami maksud slogan berkenaan.

Jika kita bergerak lebih kurang 300 meter dari binaan slogan berkenaan menuju Lebuh Sultan Abdul Halim, terdapat papan iklan makanan segera McDonald’s. Ironisnya iklan berkenaan menggunakan BM sepenuhnya. Yang lebih menarik iklan berkenaan menyesuaikan peribahasa Melayu bagi menyampaikan mesej.

Sebagai makluman, McDonald’s ialah syarikat antarabangsa yang bahasa utama urusannya ialah BI. Bandingkan dengan DBKL, sebuah jabatan kerajaan di negara kita. Pihak manakah yang memartabatkan BM? Tepuk dada, tanyalah selera.

Resolusi yang diperjuangkan oleh ahli Kongres Budaya 2017 tidak bermakna jika pelaksana (pihak yang bertanggungjawab) tidak mempunyai kesedaran dari dalam diri. Mahukah kita BM menjadi anak tiri di bumi sendiri, atau seperti perumpamaan, “Bagai melukut di tepi gantang”?

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045904
    Visit Today : 800
    This Month : 28503
    Total Visit : 1045904
    Hits Today : 2611
    Total Hits : 4293176
    Who's Online : 13
  • Kategori