Oleh NURUL AINA BORHAN

Izzad Izzuddin Borhan juara SMLP X dengan lagu puisi “Senja”.

BUKAN mudah mencipta melodi daripada sebuah puisi. Liriknya tidak boleh diubah dan hal ini memberikan cabaran kepada seseorang pencipta. Sekali imbas, lagu puisi tidak banyak berbeza daripada genre lagu yang lain, namun jika dihayati sebenarnya lagu puisi memerlukan tahap pemikiran yang tinggi hasil permainan kata yang diungkapkan oleh penyair.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha menyebarluaskan lagu-lagu puisi yang bermutu dalam kalangan masyarakat Malaysia menganjurkan Sayembara Mencipta Lagu Puisi (SMLP) Ke-10 Peringkat Akhir di Auditorium DBP pada 12 Oktober lalu. Sebanyak sepuluh buah lagu puisi hasil ciptaan sembilan orang komposer dipertandingkan pada tahun ini.

Pada tahun ini, Izzad Izzuddin Borhan berjaya membawa pulang hadiah utama wang tunai bernilai RM8,000 berserta trofi selepas beliau dinobatkan sebagai juara. Lagu puisi “Senja” ciptaan penyair Mohd. Zamri Yusof yang dinyanyikan oleh Izzad berjaya menawan hati para juri yang diketuai oleh Dato’ Mokhzani Ismail, Siso Kopratasa dan Fauzi Marzuki. Tahun ini merupakan penyertaan kedua Izzad. Pada SMLP tahun 2008, beliau menduduki tempat ketiga dengan lagu puisi berjudul “Sepasang Kekasih” daripada puisi karya Salmiah Ismail. Lagu tersebut disampaikannya secara berduet dengan Siti Sarah Raisuddin.

Dengan kehadiran lebih 300 orang penonton memenuhi auditorium, SMLP Peringkat Akhir yang masuk tahun kesepuluh penganjurannya mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan karyawan daripada pelbagai latar belakang. Sayembara anjuran DBP dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) buat julung kalinya dihadiri oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia sebagai tetamu kehormat.

 

Ku Zahir Ku Ahmad memenangi tempat kedua.

 

Kelunakan vokal Asmidar penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) turut membantu lagu puisi ciptaan Ku Zahir Ku Ahmad berjudul “Apa Pun yang Kita Cari”. Lagu daripada puisi karya Rejab F.I. ini memenangi tempat kedua dengan membawa pulang wang tunai RM6,000 berserta trofi. Manakala Norkamal Azhary Ahmad, penyanyi lagu puisi mendapat tempat ketiga menerusi lagu puisi “Mengenal Akan Diri”, ciptaan penyair Zarif Hassan. Beliau yang menyampaikan sendiri lagu tersebut memenangi wang tunai RM5,000.00 berserta trofi.

Sayembara Mencipta Lagu Puisi bertujuan memperluas khalayak puisi dalam bentuk lagu dan menimbulkan minat serta meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap puisi, di samping menarik minat golongan muda mendekati lagu-lagu puisi. Walaupun lagu puisi yang menjadi juara pada tahun ini membawakan sedikit kelainan dari segi rentak lagu yang rancak, lagu puisi diharap dapat dan masih mengekalkan ciri dan nilai tersendiri lagu puisi.

 

Lagu “Mengenal Akan Diri” ciptaan Norkamal Azhary Ahmad memenangi tempat ketiga.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045673
    Visit Today : 569
    This Month : 28272
    Total Visit : 1045673
    Hits Today : 1822
    Total Hits : 4292387
    Who's Online : 9
  • Kategori