OLEH DR. SRI DAYANA ZURIYATI AGUS

MENURUT Kamus Dewan, perkataan lingua franca yang berasal dari bahasa Latin bermaksud bahasa perantaraan, bahasa perhubungan, dan bahasa pergaulan antara masyarakat atau orang yang berlainan bahasa di seluruh dunia.Berasaskan fakta pembacaan dan ajaran guru semasa di alam persekolahan, saya maklum bahawa bahasa Melayu memang pernah menyandang status lingua franca pada satu masa dahulu. Namun begitu, status lingua franca itu kini sirna oleh ledakan teknologi dan kepesatan era globalisasi.

Dewasa ini, faktor globalisasi dan kepelbagaian kemajuan sains dan teknologi telah menimbulkan persaingan sehingga negara tiada pilihan lalu terpaksa memilih satu bahasa bertaraf antarabangsa, iaitu bahasa Inggeris. Hal ini sekali gus mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, bahasa perdagangan, dan bahasa komunikasi global. Namun begitu, jika dilihat dari perspektif yang positif, faktor globalisasi dan ledakan kemajuan sains dan teknologi juga dapat memberikan ruang kepada bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu digiatkan terutamanya kepada pelancong asing yang datang ke Negara kita.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu digiatkan terutamanya kepada pelancong asing yang datang ke negara kita.

Semasa menuntut dalam tingkatan enam, guru saya mengingatkan bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca pada zaman kegemilangannya, iaitu sekitar abad ke-15. Menurut guru ekonomi, bahasa Melayu telah menampakkan kedudukannya sebagai bahasa yang menonjolkan peradaban bangsa Melayu selain berfungsi sebagai bahasa yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

Faktor sejarah juga memihak kepada hujah ini apabila sorotan lalu mendapati peranan bahasa Melayu sebagai lingua franca amat besar sehingga bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa untuk menggubal undang-undang negara. Sebagai contoh, Hukum Kanun Melaka (HKM) yang merupakan antara undang-undang dalam sejarah peradaban Melayu yang terawal digubal dalam bahasa Melayu. HKM kemudiannya menjadi landasan bagi pembuatan undang-undang yang lain di negeri Melayu.

Sepanjang enam tahun menuntut di luar negara pula, berdasarkan pengalaman yang sempat dikutip, pemerhatian dari pelbagai sudut kehidupan dan kenyataan yang dilalui dengan tabah, saya akur bahawa bahasa Melayu memang bukan lagi lingua franca.

Ibarat kata pepatah Melayu, hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri juga menjadi siraman hati. Akhirnya saya kembali ke Malaysia, negara tercinta, berbekalkan sedikit ilmu di dada. Alangkah bangganya hati ini apabila saya mendapat perkongsian maklumat tentang isu bahasa dalam era globalisasi. Menerusi pembacaan, saya merumuskan bahawa dalam kepesatan era globalisasi, tatkala dunia menjadi semakin kecil dan sempadan dunia mulai hilang, usaha dan semangat golongan pengguna bahasa Melayu untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu kini sebenarnya merupakan kesinambungan sejarah gemilang bahasa Melayu yang telah terbina sejak tahun 1957. Sejarah gemilang itu masih ada pewaris yang memeliharanya agar tidak lapuk dek hujan dan lekang dek panas. Minda saya terus berputar dan harapan berputik kembali semoga status bahasa Melayu sebagai lingua franca bakal mekar berulang lagi.

Saya melihat bahawa upaya mereka sebagai pejuang bahasa sebenarnya lebih merupakan upaya meningkatkan “taraf antarabangsa” yang telah dicapai oleh bahasa Melayu, selari dengan keperluan perkembangan zaman. Meskipun bahasa Melayu telah tersebar luas serta dipelajari di kebanyakan negara dan melayakkannya bertaraf antarabangsa, peranannya sebagai wahana kehidupan moden dalam kalangan masyarakat antarabangsa masih tidak ketara. Hal ini saya rumuskan berdasarkan pengalaman selama enam tahun menuntut ilmu di luar negara.

Setelah menceburi alam pekerjaan sebagai penjawat awam, berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat antarabangsa, hati kecil saya tetap berpendapat bahawa memang bahasa Melayu bukan lagi lingua franca. Hal ini selaras dengan kenyataan pejuang bahasa yang pernah saya baca dalam media cetak, “keantarabangsaan bahasa Melayu kini, jika dibandingkan dengan keantarabangsaannya pada zaman gemilang tamadun Melayu sebelum datangnya penjajah, masih jauh daripada yang kita harapkan.” Nun jauh di sudut hati saya, sebagai anak watan Malaysia, masih ada titisan doa dan gunung harapan agar status bahasa Melayu sebagai lingua franca bakal berulang. Titisan doa dan gunung harapan itu pasti menjadi tugu kejayaan jika ada usaha berterusan semua pencinta bahasa. Fikir-fikirkan dan renung-renungkan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046170
    Visit Today : 1066
    This Month : 28769
    Total Visit : 1046170
    Hits Today : 3470
    Total Hits : 4294035
    Who's Online : 5
  • Kategori