
Buku ini menampilkan empat buah drama karya Sasterawan Negara, Kemala iaitu “Malam Perhitungan”,“Anna”,“Di Bumi Lain” dan “Kelongsong”. Kemala menampilkan drama yang ringkas dan tidak berat dan beliau berjaya menimbulkan isu kemasyarakatan serta meletakkan falsafah hidup yang berbeza bagi mencorakkan jati diri terhadap watak-watak yang dimainkan.

Kaing-kaing ialah nama sebuah desa yang terletak di pinggiran. Dahulunya desa itu meriah dengan gelak tawa orang kampung. Namun, kini diam, kelam dan sepi. Orang-orang kampung yang berani bersuara dan berani bertindak, kini diam bagaikan jawi ditarik keluan sejak ada kuasa yang bermaharajalela di situ. Harapan menggunung mengharapkan kepulangan Ari Lebu, wira yang disebut-sebut untuk mengubah semuanya, tidak sama seperti yang digambarkan. Ari Lebu hidup dalam dunia diamnya.