KEMELUT penerbitan buku di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang disiarkan dalam Sastera BH kelmarin dengan memetik kenyataan daripada Sasterawan Negara (SN) Ke-12, Datuk (Dr.) Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain, bukan perkara baru.

Baha yang melontarkan tegurannya pada Dialog Sastera – Mengangkat Karya Sastera: Halangan dan Cabaran mahu DBP mencari jalan penyelesaian segera bagi mengatasi kemelut yang melanda badan berkanun berkenaan berhubung perkara itu.

Dialog itu berlangsung di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, baru-baru ini, bersempena Malam Puisi Riong BH-Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan lB.

image

Baha dalam tegurannya di hadapan lebih 100 orang peserta, antaranya menyatakan masalah penerbitan di badan bahasa dan sastera itu berlaku sama ada dalam usaha penilaian manuskrip, penerbitan buku dan edaran serta promosinya.

Penulis gelisah
Masalah itu mengakibatkan bukan sahaja pengarang dan penulis luar gelisah, malah mengakibatkan sesetengah kakitangan DBP yang terlibat dalam bidang penulisan, turut menghantar manuskrip mereka ke penerbit luar termasuk ITBM.

Beliau turut memberikan jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah berkenaan termasuk memanfaatkan tenaga orang lama buat sementara waktu bagi mempercepatkan proses penerbitan manuskrip.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan, ketika menjawab teguran Baha menjelaskan, Lembaga Pengelola dan Pengurusan DBP mengambil tanggungjawab penuh untuk menyelesaikan kemelut pengeluaran serta pemasaran terbitan DBP.

“Kemelut lewatnya pengeluaran dan terbatasnya terbitan, terutama buku judul am dan majalah bukan berpunca daripada kegagalan kerja di DBP, tetapi pihak yang mengendalikan kerja pengeluaran dan pemasaran di bawah perjanjian penswastaan kepada syarikat konsesi.

“Baha sebagai mantan Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan Lembaga Pengelola pasti sedia maklum kisah duka dan musibah yang dihadapi DBP, di sebalik kemelut pengeluaran dan pemasaran sebagai akibat ikatan perjanjian serta keterbatasan wewenang DBP untuk lepas daripada ikatan itu.

“Jika Baha tidak melepaskan jawatan itu lebih awal, beliau pasti dapat bersama-sama menikmati ‘kemanisan’ berjuang membebaskan DBP daripada kemelut itu yang sebahagian besarnya hasil daripada kebijakan keputusan pimpinan DBP terdahulu,” katanya dalam kenyataan bertulis yang dihantar melalui pesanan ringkas dari Makkah.

Tidak pernah lepa
Beliau berkata, DBP tidak pernah berhenti berusaha dan hampir sampai pada peringkat akhir melepaskan diri daripada kemelut itu, berkat bantuan serta kerjasama pimpinan di Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Usaha membebaskan DBP daripada keterikatan oleh peraturan dan perjanjian tidak semudah mengeluarkan cadangan ‘selesaikan segera’. Ti daklah adil mengatakan DBP adalah punca kemelut, seolah-olah Lembaga Pengelola dan Pengurusan DBP berdiam diri dan tidak peduli mengenainya.

“Pada setiap ketika kami sentiasa berusaha untuk menyelamatkan DBP daripada kemelut terbabit, tetapi berilah kami ruang dan kepercayaan tanpa belah bahagi. ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’,” ujarnya.

Selaku badan yang diberi amanah, Dr Awang berkata, insya-Allah DBP akan terus bekerja keras dan tidak akan keluar dari saf perjuangan untuk kemudian membuat serangan hendap dari luar terhadap badan berkanun tersebut.

“Dalam keadaan DBP menghadapi mehnah, kami dapat memahami kekecewaan karyawan dan tidak menyalahkan mereka jika sebahagiannya beralih ke ladang yang lebih subur asalkan tidak kerana tindakan yang terungkap dalam pantun, ‘buah langsat kuning mencelah, senduduk tidak berbunga lagi; sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi’.

“Mudah-mudahan dengan iltizam pimpinan Kementerian Pendidikan Malaysia, kami dapat membebaskan DBP daripada kemelut yang berpunca daripada faktor luar DBP,” tegasnya.

Punca kemelut
Bunga permasalahan dalam penerbitan dan pemasaran buku mahupun majalah terbitan DBP membesar apabila Bahagian Penerbitan dan Pemasaran DBP diswastakan pada 2002 melalui kajian terperinci Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kajian terperinci itu berkesudahan dengan Dawama Sdn Bhd (Dawama) diberi hak eksklusif mencetak danmemasarkan seluruh buku serta majalah terbitan DBP, berkuat kuasa 1September 2002.

Untuk menyalahkan DBP sepenuhnya selepas dan sebelum Dawama diambil alih oleh Utusan Printcorp Sdn Bhd pada Mei 2012 adalah kurang wajar, kerana baik mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, mahupun Dr Awang sudah mengambil langkah kawalan.

Pada 12 Mei 2010, Termuzi dilaporkan berusaha mengatasi kemelut dengan Dawama apabila mengemukakan laporan berhubung pelanggaran syarat penswastaan kepada EPU, Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk tindakan susulan.

Dr Awang pula sebaik-baik sahaja dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP, menghidupkan semula Unit Pemantauan Penswastaan secara berpusat di bawah Bahagian Pembangunan, Penyelarasan dan Penerbitan DBP, bagi memantau perkembangan setiap judul dari proses penerbitan hingga pengedaran.

Laporan ini dipetik daripada Berita Harian

Ruangan Maklum Balas ditutup.

  • Arkib

  • Statistik

    1045527
    Visit Today : 423
    This Month : 28126
    Total Visit : 1045527
    Hits Today : 1300
    Total Hits : 4291865
    Who's Online : 13
  • Kategori