Arena Wati

MUHAMMAD BIN ABDUL BIANG @ Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyung atau nama penanya Arena Wati, Duta Muda dan Patria dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makassar, Indonesia. Beliau mendapat pendidikan awal di Hollands Indische School (HIS), iaitu sebuah sekolah Belanda di Makasar, kemudian di Meer Uigebreid Lager Onderwijs (MULO) dan Hoogere Burger School (HBS) yang diteruskan semasa beliau menjadi pelaut. Beliau dapat menamatkan pengajiannya di Sekolah Menengah Atas, Makasar pada tahun 1953 selepas terhenti semasa perang meletus. Kehidupan beliau sebagai pelaut bermula pada tahun 1945 di bawah pimpinan Kapten Muhammad, Kapten Affandi dan Kapten Mukmin.

Pengalaman kerjaya Arena Wati bermula sebagai kelasi kapal, sidang penerbitan majalah dan akhbar di Harmy dan Royal Press di Singapura, Penerbitan Melayu Ltd. Johor Bahru, Percetakan Light di Brunei, Pustaka Antara Kuala Lumpur, pegawai penyelidik di Yayasan Sabah, Karyawan Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia (1985-1989) dan di Dewan Bahasa dan Pustaka (1989-1990), fellow di pelbagai universiti antarabangsa seperti di Universiti Cornell, Amerika Syarikat (1983-1984), di Universiti Leiden (Februari – Jun 1984), dan di Universiti Kyoto, Jepun (Julai 1984 – Januari 1985).

Arena Wati menelusur dunia penulisan dengan menghasilkan novel, cerpen, puisi dan wacana yang mencakupi pelbagai ilmu tentang kehidupan. Beliau melontarkan idea, menyuarakan pandangan dan membangkitkan kelesuan berasaskan pena di tangan dan lembaran kertas. Ketika itu lahirlah karya beliau berjudul Kisah Tiga Pelayaran yang diterbitkan di Singapura pada Tahun 1959.

Kerjaya awalnya dalam bidang penerbitan bermula apabila bertugas sebagai editor (Oktober 1954-Oktober 1957) bagi majalah-majalah terbitan Royal Press seperti Hiboran dan Hiboran Filem dan Harmy di Singapura. Kemudian Arena Wati menjawat jawatan Timbalan Pengurus Percetakan Penerbit Melayu Limited (November 1957-Julai 1961) di Johor Bahru dan seterusnya bertugas sebagai editor di Pustaka Antara Kuala Lumpur selama 12 tahun (Oktober 1962-Januari 1974).

Pengalamannya yang luar biasa sebagai pelaut banyak memberinya ilham dalam berkarya dan meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam bidang penulisan khasnya untuk menghasilkan novel dan cerpen yang baik. Kerjaya beliau di laut lepas bermula sebagai kerani muatan dan kewangan perahu penisi (Mei 1942-April 1943) yang berpangkalan di Singapura seterusnya menjadi nakhoda (Mei 1943-Ogos 1945). Kemudian beliau bertugas sebagai taikong kapal kayu (Januari 1946-Mei 1948), jurumudi (Jun 1948-April 1950) dan nakhoda panisi di sekitar perairan Sulawesi-Makasar yang berpangkalan di Makasar. Kerjaya terakhir beliau di lautan ialah sebagai Pegawai Perancang Harian Dinas Angkutan Angkatan Darat Teritorium VII (Januari 1952-Jun 1954) di Makasar yang mengelola pengiriman pasukan dan logistik dari Makasar ke seluruh Sulawesi, Bali, Kalimantan Timur, Nusa Tenggara, Maluku Selatan dan Maluku Utara.

Pada 1974, Arena Wati yang telah pun menjadi rakyat Malaysia, ditawarkan pekerjaan sebagai Pegawai Penyelidik, merangkap Ketua Jabatan Perancangan dan Penyelidikan di Yayasan Sabah. Jawatan ini disandangnya selama 12 tahun.  Di Yayasan Sabah, beliau telah membangunkan sebuah perpustakaan yang kini boleh dianggap sebagai sebuah perpustakaan umum yang cukup baik di Sabah.  Ketika bekerja di Yayasan Sabah ini, beliau telah diberikan fellowship untuk menjalankan penyelidikan di Amerika Syarikat, Holland dan Jepun antara Ogos 1983 hingga Januari 1984.  Dalam rangka menjalankan penyelidikannya ini, beliau telah dilantik menjadi Felo oleh Universiti Cornell di Amerika Syarikat, Universiti Leiden di Holland, dan Universiti Kyoto di Jepun. Peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya, dan pandangan dunianya menjadi lebih terbuka sehingga menjadikannya seorang sasterawan Melayu yang mempunyai sudut pandangan global dan universal. Hasil daripada pengalamannya di Universiti Cornell, Leiden dan Kyoto ini telah lahir tiga buah novel yang memaparkan pandangan seorang Melayu dari dunia Timur terhadap pelbagai peristiwa di Amerika Syarikat, Holland dan Jepun.

Othman menerima anugerah daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Setelah menamatkan perkhidmatannya di Yayasan Sabah, beliau dilantik menjadi Karyawan Tamu dan pensyarah di Fakulti Sains Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia, cawangan Sabah, antara Mac 1986 hingga April 1988. Setelah itu beliau dilantik pula sebagai Karyawan Tamu di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, hingga April 1990.

Arena Wati menumpukan penulisan kreatifnya dalam genre novel, cerita pendek (cerpen), kajian sastera, esei dan puisi. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 24 buah novel, 87 buah cerita pendek, 6 buah antologi cerpen, 23 esei dan kritikan sastera, 9 buah buku kajian sastera, 12 buah puisi dan sebuah autobiografi. Jika dijumlahkan bilangan halaman kertas hasil tulisannya yang telah diterbitkan, jumlahnya ialah kira-kira 18,000 halaman.

Cerpen pertamanya yang bertajuk “Impian dan Kenyataan” diterbitkan oleh majalah Pedoman Rakyat pada tahun 1952.  Sebahagian besar daripada cerpennya  telah diterbitkan dalam enam buah antologi. Beberapa buah cerpen Arena Wati juga telah memenangi hadiah tertentu.

Dalam bidang penulisan esei, kritikan dan kajian sastera, Arena Wati terlibat dalam wacana akademik secara serius. Penulisan beliau memperlihatkan daya kesarjanaan dan intelek yang tinggi kerana keupayaannya mengupas pelbagai isu kesusasteraan Melayu dan antarabangsa secara teoritis dan berparadigma tertentu.

Sebagai seorang sasterawan dan pengkaji sastera Melayu yang serius, hasil usaha Arena Wati diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ketika menjadi felo di Universiti Cornell, beliau diterima dengan penuh hormat oleh para ilmuan Amerika Syarikat yang mempunyai kepakaran dalam kajian Melayu dan Nusantara. Dalam novelnya Bunga Dari Kuburan (1987), yang mengisahkan pengalamannya di Amerika Syarikat, Arena Wati turut menukilkan perwatakan beberapa orang profesor Barat yang dikenalinya ketika itu. Dalam novel ini, jalan pemikiran dan sikap para cendekiawan Barat tersebut, dan pemikiran para pelajar siswazah dari Asia Tenggara yang berada di Universiti Cornell ketika itu, diadun ke dalam satu naratif fiksyen pasca kolonial dan pascamoden yang cukup baik. Dalam novelnya Kuntum Tulip Biru (1987), Arena Wati membawa pembacanya ke dalam kehidupan dan pemikiran beberapa orang intelektual Eropah yang bertugas di universiti Leiden. Menerusi novel ini, naratif pasca kolonialnya cukup mendalam, dengan menyingkap kembali sejarah penjajahan Belanda terhadap Indonesia. Dalam novelnya Sakura Mengorak Kelopak (1987), Arena Wati menyingkap beberapa aspek sistem nilai masyarakat Jepun. Turut dinaratifkannya ialah perubahan yang berlaku dalam sistem nilai masyarakat tersebut yang membawa kepada terjadinya emansipasi wanita Jepun.

Menerusi novelnya Sukma Angin (1999), Arena Wati membawakan naratif pascamoden, iaitu satu kondisi sosiobudaya pelbagai kumpulan etnik dan ras yang terdapat di kalangan komuniti pelaut di Nusantara, pada zaman akan terjadinya Perang Dunia Kedua. Menerusi kisah kehidupan sebuah kapal dagang milik orang Melayu yang bernama Sukma Angin ini, Arena Wati menobatkan prinsip hidup saling bantu-membantu dalam kondisi budaya Nusantara yang plural ketika itu.  Menerusi nukilannya ini, kita dapat mengesan tanggapan teoritis Arena Wati bahawa kepelbagaian etnik, ras dan budaya adalah asas yang melahirkan kondisi pascamoden, dahulu dan sekarang. Ini adalah tanggapan pascamoden yang lebih realistik daripada sudut pandangan budaya Melayu Nusantara.

Pada tahun 1975 beliau telah dianugerahi pingat Ahli Mangku Negara oleh Yang Dipertuan Agung, bagi pihak Kerajaan Malaysia. Pada 1985 beliau menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) oleh Paduka Raja Thai, di Bangkok, Thailand. Pada tahun 1988 beliau dikurniakan Anugerah Sasterawan Negara oleh Kerajaan Malaysia. Pada awal tahun 2003 ini, Sasterawan Negara Arena Wati telah dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Hadiah MASTERA).

Beliau banyak memenangi hadiah sayembara sastera. Antaranya ialah hadiah sagu hati Peraduan Mengarang Novel anjuran DBP (1962) menerusi novelnya Lingkaran, pemenang tempat ketiga menerusi Sandera dalam Peraduan Mengarang Novel sempena 10 Tahun Merdeka. Novelnya Panrita pula dipilih sebagai pemenang Hadiah Karya Sastera Malaysia 1992/1993, dan novelnya yang terbaharu Sukma Angin memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99. Manakala cerpen beliau “Wisata” terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera 1971, “Bukan Satu Jalan ke Mekah” dan “Alun Menggulung Perlahan” memenangi Hadiah karya Sastera 1972.

Hasil kerja keras dan penulisannya yang tidak pernah jemu, Arena Wati telah menerima beberapa anugerah seperti SEA Write Award, Thailand (1985); Anugerah Sasterawan Negara, Malaysia (1987); Anugerah MASTERA 1, Brunei (2003); dan Anugerah Doktor Persuratan, Universiti Kebangsaan Malaysia (2003). Beliau juga pernah menjadi Karyawan Tamu di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBBKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (Februari 1986-Mei 1990). Sebelum itu, beliau pernah menjadi felo di University of Cornell, Amerika Syarikat (Julai 1983-Januari 1984); University of Leiden, Holland (Februari-Jun 1984); dan University of Kyoto, Jepun (Julai 1984-Januari 1985).

Arena Wati meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada 25 Januari 2009.

Antara Karya Arena Wati

1. Kisah Tiga Pelayaran (1959)

2. Lingkaran (1962)

3. Sandera (1971)

4. Rontok (1980)

5. Eno (1985),

6. Bunga Dari Kuburan (1987)

7. Kuntum Tulip Biru (1987)

8. Sakura Mengorak Kelopak (1987)

9. Syair Pangeran Syarif (1989),

10. Syair Pangeran Syarif Hasyim Al-Qudsi (1989),

11. Syair Perang Cina Di Monterado (1989),

12. Burung Badai (1990),

13. Turina (1991)

14. Citra (1991).

15. Memoir Arena Wati Enda Gulingku (1991),

16. Ombak Samudera(1992),

17. Meniti Kala (1993),

18. Panrita (1993),

19. Sudara (1994),

20. Mevrouw Toga (1995),

21. Begawan (1996),

22. Koleksi Terpilih Arena Wati (1996),

23. Sukma Angin (1999),

24. Getar-Getir Maya Kumpulan Cerpen (2000),

25. Trilogi Busa (2002).

26. Armageddon (2004),

27. Kutukan Dari Langit (2004),

28. Langkah Pertama Kumpulan Cerpen Awal 1954-1959 (2004),

29. 7 Tegak Bersama (2005),

30. Warna Sukma Usia Muda (2005)

31. Cakra Waruga (2006).

 

Sila Beri Pandangan


  • Laman

  • Arkib

  • Statistik

    288042
    Melawat hari ini: 38
    Jumlah Pelawat: 288042
    Hits hari ini: 67
    Jumlah Hits : 526030
    Siapa atas talian: 2
Botanical Slimming Cell Phone Jammer For Sale, Botanical Slimming Soft Gel , Meizi Evolution, Cell Phone Jammers,Cell Phone Blockers, As a result Botanical Slimming works by restraining the activity of lipase in the stomach and intestinal canal.