Oleh NUR ELIYANA MOHD REDHUAN

Pengunjung Islam Malaysia ke Hatyai pasti akan mengambil kesempatan untuk singgah menunaikan solat di sebuah masjid lama di Pattani, Selatan Thailand.

Masjid Kerisik, Krue Se, Wilayah Pattani, Thailand.

Masjid Kerisik, Krue Se, Wilayah Pattani, Thailand.

Perjalanan pulang dari Hatyai ke Rantau Panjang, Kelantan mengambil masa lebih kurang 4 jam 30 minit. Jaraknya sekitar 278 km. Setelah hampir 3 jam perjalanan pulang, masjid yang terletak kira-kira 163 km dari Rantau Panjang, Kelantan ini akan disinggahi oleh umat Islam sama ada untuk menunaikan solat atau menyorot sejarah lampau. Malah, masjid ini turut dilawat oleh pengunjung bukan Islam dari pelbagai pelosok negara.

Masjid Kerisik terletak di Krue Se, Wilayah Pattani. Nama tempat ini dipanggil Kerisik dalam kalangan orang Melayu yang membawa makna pasir kasar. Malah kawasan masjid ini berada dalam Tanyong Lu Lo (Bahasa Thailand) atau pun Tanjung Luk Luk (sebutan Melayu). Kedudukan masjid ini di Tanjung Luk Luk menggambarkan keharmonian dan keindahan tempat ini suatu ketika dahulu. Luk luk diambil daripada perkataan Arab yang bermakna mutiara. Apabila matahari menyimbah bumi, pasir-pasir pantai ini gemilap seperti mutiara. Indahnya tidak terkira. Tapi sayang, kawasan ini sentiasa menjadi mangsa perebutan kuasa pemerintah.

kesan tembak pada dinding luar  masjid

Kesan tembakan pada dinding luar masjid.

Nama sebenarnya ialah Masjid Sultan Muzhaffar Shah. Ia dibina selepas Melaka diserang Portugis iaitu selepas tahun 1511. Masjid ini menjadi pusat rasmi kegiatan kerajaan Melayu ketika itu selain menjadi tempat ibadah. Masjid yang berusia lebih 500 tahun ini dibina dengan ciri timur tengah dan kepakaran tempatan. Batu-batanya diikat dengan campuran beras pulut hitam, kulit kerang, telur putih dan manisan cair. Masjid ini juga turut dikaitkan sebagai tempat persinggahan Hang Tuah dalam perjalanan mengejar Raja Bersiong yang lari ke Siam.

Pada tahun 1786, masjid ini runtuh akibat peperangan antara Pattani dan Siam. Siam inginkan tanah Kerisik yang dikuasai Kerajaan Melayu. Diplomasi Siam telah menyebabkan British menyerahkan Tanah Melayu itu kepada Siam. Pada masa yang sama, Pulau Pinang turut diserahkan oleh Sultan Kedah ketika itu, Sultan Abdullah kepada Kompeni Hindia Timur atas kejayaan pihak Inggeris mempertahankan Kedah daripada serangan Siam.

Sebagai masjid Di Raja, masjid ini telah beberapa kali musnah akibat serangan kerajaan Siam dan Palembang. Pembangunan yang dibuat sering tidak dapat diteruskan kerana perebutan kuasa yang acap berlaku. Kubah masjid pernah runtuh akibat peperangan dan diganti dengan emas. Namun apabila berlaku peperangan, kubah itu dicuri. Lantaran itulah, kubah masjid tidak diganti-ganti sehingga kini. Kisah pembinaan masjid ini turut dimasukkan elemen khurafat oleh Sarjana Thailand. Dikatakan masjid ini tidak dapat disiapkan kerana sumpahan oleh adik seorang pemerintah Pattani yang tidak merestui abangnya memeluk Islam.

kesan tembak pada pintu masjid

Kesan tembakan pada pintu masjid masih boleh dilihat oleh para pengunjung.

Setiap kali 1 Syawal, jemaah masjid melimpah sehingga ke perkarangan masjid. Mereka menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di atas tanah di luar masjid. Pastinya penduduk Pattani mengharapkan masjid ini diperbesar. Namun pembinaan dan pembesaran masjid ini tidak menjadi realiti kerana ketegangan kaum di sana. Terbaru, dalam tahun 2016, masjid ini sekali lagi ditembak. Namun tiada kecederaan dilaporkan. Kesan tembakan sedalam dua inci itu masih boleh dilihat pada dinding luar masjid.


Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035035
    Visit Today : 1251
    This Month : 17634
    Total Visit : 1035035
    Hits Today : 6243
    Total Hits : 4244577
    Who's Online : 6
  • Kategori