cover-durian

Judul: Siri Buah-buahan Komersial Malaysia- Durian

Pengarang: Zainal Abidin Mohamed dan Zabedah Mahmood

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM40.00

Tahun: 2016

Pengulas: NORSUHAILA IBRAHIM

Siri Buah-buahan Komersial Malaysia terdiri daripada buku yang membicarakan beberapa jenis buah-buahan yang berpotensi untuk diusahakan secara besar-besaran. Buku Siri Buah-buahan Komersial Malaysia – Durian merupakan buku pertama dalam siri ini.

Perbincangan buku ini berkisar tentang cara penanaman dan penjagaan durian yang sesuai dan klon-klon durian yang berpotensi dari segi pengeluaran hasil dan mutu buah. Dalam buku ini juga disyorkan penanaman klon durian MDUR 79, MDUR 88, D24, D2 dan D99. Oleh itu, buku ini sesuai dijadikan panduan oleh pengusaha durian dan sesiapa sahaja yang berminat dengan tanaman durian.Maklumat penanaman durian yang dijelaskan dalam buku ini boleh diterima pakai sama ada oleh pekebun kecil atau pengusaha komersial.

Bab pengenalan buku ini menerangkan tentang asal usul durian, ciri-ciri fizikal dan keistimewaan durian.Durian (durio zibethinus Murr) merupakan buah-buahan tropika bermusim yang paling popular dan sentiasa diminati ramai di serata Asia Tenggara. Buahnya yang bersaiz besar, berduri tajam dan mengeluarkan aroma yang kuat apabila masak. Isi durian mempunyai rasa yang unik dan tidak terdapat pada buah-buahan lain, iaitu gabungan lemak, manis dan kadangkala pahit sedikit. Ciri ini menyebabkan durian diiktiraf sebagai “Raja Segala Buah”. Di Malaysia, rakyat segenap kaum dan lapisan umur begitu berminat dengan durian. Durian dipercayai berasal dari Borneo atau Semenanjung Malaysia. Nama genus Durio berasal daripada perkataan Melayu duri. Buah durian kaya dengan karbohidrat, protein, dan lemak. Apabila dimakan terlalu banyak, boleh menyebabkan badan menjadi “panas” terutama pada waktu malam. Sebagai penawarnya, orang-orang Melayu biasanya mengamalkan petua mengisi air dalam pangsa dan meminumnya dengan kepercayaan bahawa cara ini dapat mengelakkan kepanasan, demam atau sakit tekak. Petua kedua adalah dengan memakan buah manggis sejurus selepas memakan durian bagi menyejukkan badan. Selain dimakan terus, isi durian juga boleh dibuat lempuk, dodol dan tempoyak atau dicampurkan ke dalam aiskrim, jel, gula-gula, seri kaya dan biskut.

Buku ini menerangkan tentang ciri pokok, daun, bunga dan buah durian. Pokok durian bersaiz agak besar dengan jangka hayat hidup antara 80 hingga 150 tahun. Pokok yang tumbuh daripada biji benih boleh mencapai ketinggian sehingga 45 m. Pokok yang berasal daripada biji benih mempunyai sistem banir di bahagian pangkal batang utama. Kulit batang berwarna coklat gelap, kasar dan mudah terkelupas dan merkah secara memanjang. Kayu pokok durian dikategorikan sebagai kayu lembut yang sesuai untuk dijadikan perabot am. Di sekeliling batang utama terbentuk banyak cabang yang bersifat sama ada menegak atau mendatar bergantung pada jenis durian dan tahap pendedahan kepada cahaya matahari. Pokok durian cantuman, iaitu yang dibiakkan secara tampang biasanya mempunyai saiz yang jauh lebih kecil berbanding dengan pokok yang berasal daripada biji benih. Pokok cantuman hanya mencapai ketinggian 10 m hingga 15 m. Apabila durian ditanam berhampiran dengan pokok buah-buahan yang lain, kanopinya tidak mempunyai bentuk yang tertentu. Di kawasan lapang, pokok durian biasanya mempunyai kanopi yang berbentuk piramid dan lebar.

Durian tergolong dalam kumpulan pokok tropika yang daunnya bersifat malar hijau. Pokok durian mengeluarkan pucuk mengikut musim. Daunnya tersusun secara selang-seli, berukuran 15 hingga 20cm, licin berkilat, hijau tua di bahagian atas serta coklat keemasan dan bersisik di bahagian bawahnya. Tangkai daunnya bulat dan berukuran 1cm. Hujung daunnya meruncing. Daun mudanya berkeadaanberlipat dan seterusnya membuka apabila membesar dan matang. Pokok durian yang berasal daripada biji benih mempunyai satu akar tunjang yang darinya tumbuh banyak akar sekunder. Durian tidak mempunyai akar rerambut seperti kebanyakan pokok yang lain. Bunga durian terbentuk secara berjambak terutamanya di dahan primer dan sekunder yang tua. Bunga durian sesuai didebungakan oleh agen pendebungaan yang aktif pada waktu malam, terutamanya kelawar, lebah tualang, kelulut dan beberapa jenis semut. Buah durian biasanya berbentuk bulat atau bulat membujur dan panjangnya antara 20 hingga 25 cm dengan garis pusat 18 hingga 20 cm. Buah durian yang telah gugur tidak boleh disimpan lama (cuma 2 hingga 3 hari sahaja) kerana kulitnya mudah merekah.

Terdapat sebanyak 27 jenis atau spesies pokok durian. Daripada jumlah itu, hanya enam jenis menghasilkan buah yang sesuai dimakan. Yang lainnya dianggap liar atau separa liar dan mempunyai buah yang berisi nipis ( atau tiada isi), keras dan tidak sesuai dimakan.Bagi setiap spesies durian tersebut, terdapat kepelbagaian ketara dari segi sifat pokok dan mutu buah.Pemilihan dan penggunaan klon yang bermutu tinggi merupakan salah satu faktor penentu kejayaan sesuatu ladang durian. Hal ini penting untuk menjamin produktiviti dan mutu buah yang tinggi semasa peringkat pembuahan. Dengan yang demikian, kos pengeluaran dan harga durian di ladang dapat diminimumkan pada peringkat pemasaran. Klon terpilih seperti D24 merupakan jenis durian yang paling popular ditanam sejak mula disyorkan pada tahun 1970-an. Pokoknya besar, rendang, kerap berbunga dan berbuah. Hasilnya tinggi. Pokok agak “manja” dan perlu dijaga dengan rapi pada peringkat awal pertumbuhan kerana mudah mendapat penyakit kanker batang. Beberapa klon durian lain yang popular ialah MDUR 79, MDUR 88, D10 dan D99. Jenis durian yang popular ialah Durio kutejensis yang berasal dari kepulauan Bormeo dan dikenali sebagai “nyekak” di Sarawak dan “durian pulu” di Brunei. Durian kuning (Durio graveolens Becc.) juga berasal dari kepulauan Borneo. Buahnya merekah di atas pokok apabila masak. Pokoknya besar, tinggi dan berbanir seperti durian biasa. Jenis lain ialah durio oxleyanus (durian sukang), durio dulcis, dan durio testudinarum (durian kura-kura).

Cara penanaman pokok durian yang disyorkan ialah secara pokok cantuman.Pokok durian cantuman mempunyai saiz yang lebih kecil dan sesuai ditanam lebih rapat dan teratur untuk meningkatkan hasil dan memudahkan kerja penjagaan dan pembersihan kawasan. Sistem kontur (teres) disyorkan bagi kawasan berbukit yang cerunnya melebihi 20 peratus. Pokok ditanam mengikut garisan kontur yang disediakan. Bagi cerun yang landai, tapak gajah atau platform dibina hanya dengan meratakan tapak tanaman seluas anggara 2 m x 2 m. Pokok ditanam di atas tapak gajah ini. Bagi setiap dua barisan pokok, sebuah teres dibina untuk pergerakan jentera bagi kerja penyemburan bahan kimia atau memungut buah.   Untuk menjamin pertumbuhan yang baik dan penghasilan serta buah yang tinggi dan bermutu, pokok durian perlu dibaja. Cara pembajaan yang baik adalah dengan menaburkan baja di bawah kanopi pokok. Bagi pokok yang kecil, pastikan baja tidak ditabur terlalu hampir dengan pangkal pokok untuk mengelakkan “lucur pembajaan”. Bagi pokok besar, baja ditabur sekeliling di bawah kanopi pokok. Pembajaan seelok-eloknya dijalankan pada awal musim hujan supaya baja dapat diserap terus oleh pokok.

Pokok durian tidak dapat tumbuh dengan subur di tanah yang terlalu kering atau terlalu lembap dan boleh mati atau terencat pertumbuhannya jika terdedah kepada keadaan air bertakung. Pada peringkat semaian, anak benih memerlukan air yang mencukupi. Penyiraman dua kali sehari adalah memadai pada peringkat ini. Durian memerlukan musim kemarau panjang untuk berbunga. Pada masa ini pengairan yang minimum diberikan. Oleh sebab durian mempunyai sistem akar yang cetek, pengawalan rumpai berbeza sedikit daripada jenis pokok buah-buahan lain. Gabungan beberapa kaedah seperti mencangkul, memberi sungkupan, menanam kekacang penutup bumi dan menyembur racun kimia disyorkan.

Kita sering mendapati pokok durian yang pelbagai peringkat umur mengalami keguguran daun dan mati. Pokok ini sebenarnya diserang penyakit durian yang paling serius, iaitu kanker batang yang disebabkan oleh kulat Phytophthora palmivora. Untuk mengenal serangan penyakit ini, kita perlu memperhatikan tanda-tanda di permukaan kulit batang dari semasa ke semasa. Kulit batang pokok yang berpenyakit mempunyai tanda kekeringan berwarna coklat (nekrosis) dan tompok hitam. Apabila kulit ini dikikis terdapat tisu lembik dan lebam air. Batang yang dijangkiti berwarna perang berbanding dengan batang sihat yang berwarna putih. Cara rawatan adalah dengan mengikis kulit yang dijangkiti (setebal 3.5 mm) supaya bahagian berpenyakit dan bahagian yang sihat sekelilingnya terdedah. Seluruh bahagian ini disapu dengan racun kulat Ridomil atau Aliette. Teknik suntikan batang juga didapati berkesan. Kulat phytophthora juga menyebabkan mati rosot anak benih dan reput buah. Penyakit durian yang lain ialah hawar daun, reput buah, bintik daun, kulapuk hitam dan penyakit akar putih. Serangga yang menjadi perosak utama pokok durian ialah anai-anai dan serangga yang sering menyerang buah durian ialah ulat pengorek buah. Mamalia perosak durian yang lain ialah tupai, yang biasanya menebuk buah durian yang sedang membesar untuk mendapatkan isinya.

Secara amnya, durian berbuah sekali dalam setahun. Namun demikian, musim buah boleh berbeza mengikut lokasi kawasan dan banyak dipengaruhi oleh faktor iklim dan alam sekitar setempat. Di Semenanjung Malaysia, misalnya musim buah berlaku dua kali setahun iaitu Jun – Julai di negeri pantai barat dan bersambung pada lewat bulan Julai – September di negeri pantai timur. Durian biasanya dimakan segar, namun begitu ada beberapa produk durian yang amat digemari ramai sejak dahulu lagi. Antara produk tradisional durian ialah lempuk, tempoyak, dodol dan bermacam-macam kuih-muih yang berperisa durian. Durian juga popular dimakan bersama-sama santan mentah, sedikit garam dan pulut yang ditanak. Produk moden durian ialah durian sejuk beku dan serbuk durian. Durian ialah sejenis tanaman yang mempunyai corak pelaburan berjangka panjang dan tiada jalan pintas dalam perkara ini.

Buku ini juga mengandungi banyak aspek amali sama ada bagi penanaman di ladang atau kegunaan buah durian. Hal ini disebabkan permintaan yang kian bertambah di pasaran tempatan mahupun luar negara. Banyak ilustrasi digunakan bagi menjelaskan topik yang dibicarakan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049758
    Visit Today : 603
    This Month : 32357
    Total Visit : 1049758
    Hits Today : 3860
    Total Hits : 4308621
    Who's Online : 11
  • Kategori