Oleh Zaidi Ismail
Antara “menjolok mata” dengan “mencolok mata”, simpulan bahasa manakah yang paling tepat dan sepatutnya digunakan? Penulis pernah diajukan pertanyaan tentang perkara ini.
Antara dua simpulan bahasa itu, dari segi kebiasaan penggunaannya dan sering kali juga kita dengar, tentulah “menjolok mata”. Simpulan bahasa “mencolok mata” pula, jarang kita dengar penggunaannya. Walau bagaimanapun, yang jarang digunakan itu, tidak semestinya salah. Untuk mengetahui betul atau salah, kita bolehlah merujuk maknanya dalam kamus, khususnya Kamus Simpulan Bahasa. Dalam hal ini, antara kamus yang boleh dirujuk termasuklah Kamus Simpulan Bahasa susunan Sasterawan Negara, Dato’ Abdullah Hussain. Kamus ini diterbitkan oleh DBP sejak tahun 1966 (cetakan pertama). Penjelasan makna “menjolok mata” dan “mencolok mata” adalah seperti yang berikut:
mencolok mata 1. sangat jelas kelihatan; 2. menyakiti perasaan (halaman 69)
menjolok mata, serupa mencolok mata (halaman 137)
Penjelasan makna “menjolok mata” dan “mencolok mata” dalam Kamus Simpulan Bahasa.
Dengan demikian, jelaslah bahawa kedua-dua rangkai kata ini sememangnya ada dan dianggap sinonim atau sama makna dan penyusun menggunakan istilah serupa dengan (srp. dgn.). Jadi, kedua-duanya tentulah boleh digunakan. Kedua-duanya juga merupakan simpulan bahasa yang telah digunakan begitu lama kerana telah dirakamkan dalam kamus sejak tahun 1966, yang tentunya telah digunakan oleh masyarakat pada tahun-tahun sebelumnya lagi. Setelah itu, barulah peribahasa tersebut dirakamkan oleh Sasterawan Negara, Dato’ Abdullah Hussain.
Selain dari Kamus Simpulan Bahasa itu, kita juga boleh merujuknya dalam dua buah kamus lagi, iaitu Kamus Dewan dan Kamus Pelajar. Makna yang terakam dalam kamus tersebut adalah seperti yang berikut:
Makna menjolok mata dan mencolok mata yang terakam dalam kamus.
Berdasarkan makna dalam Kamus Dewan dan Kamus Pelajar itu, jelaslah menunjukkan bahawa kedua-dua kata, iaitu mencolok dan menjolok memang ada dan telah terakam dalam kamus. Kedua-dua kata itu juga boleh digunakan dalam bentuk rangkai kata, iaitu “mencolok mata” dan “menjolok mata”. Oleh hal yang demikian, kedua-duanya merupakan bentuk yang baku dan boleh digunakan sebagai simpulan bahasa yang mengandungi maksud “sangat jelas kelihatan serta memberi malu dan menyakitkan hati kepada yang melihatnya kerana berlebih-lebihan (perbuatan, cara berpakaian, dll.)”.
Biasanya dalam penyusunan kamus, sekiranya sesuatu bentuk itu sudah tidak boleh digunakan kerana sudah ada bentuk yang baharu (variasi bentuk atau kata), salah satu kata itu akan ditandakan dengan rujuk silang (→). Contohnya (dalam Kamus Dewan Edisi Keempat):
astana → istana.(halaman 86)
atlit → atlet. (halaman 88)
cupit → supit. (halaman 296)
Dalam hal ini, kata yang sepatutnya digunakan ialah kata yang ditunjukkan oleh tanda rujuk silang itu, iaitu kata istana, atlet, dan supit.
Untuk mengetahui penggunaannya pula, antara saluran yang boleh digunakan, khususnya dalam kalangan penyelidik ialah Pangkalan Data Korpus Dewan Bahawa dan Pustaka yang dapat dilayari melalui laman web http://sbmb.dbp.gov.my/korpusdbp/SelectUserCat.aspx.
Pangkalan Data Korpus Dewan Bahasa dan Pustaka yang dapat dilayari melalui laman web
http://sbmb.dbp.gov.my/korpusdbp/SelectUserCat.aspx.
Pangkalan Data Korpus Dewan Bahasa dan Pustaka atau dikenali dengan nama Korpus DBP ini merupakan program yang digerakkan seawal tahun 1993. Pada peringkat awalnya program ini digerakkan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan dikenali sebagai Pangkalan Data Korpus DBP-USM. Korpus ini merupakan korpus digital bahasa Melayu yang dibina oleh DBP untuk kemudahan pengguna bahasa melakukan penyelidikan bahasa Melayu. Sehingga bulan September 2015, di dalamnya telah terkumpul lebih daripada 105 juta leksikal daripada pelbagai genre yang telah diformat, dirakam dan disimpan secara berstruktur. Antara genre tersebut termasuklah akhbar, majalah, buku, dan teks sastera.
Untuk menjawab persoalan tersebut, penulis melakukan penelitian menggunakan dua kata kunci, iaitu “mencolok mata” dan “menjolok mata”, dan membuat carian data dalam tiga subkorpus utama, iaitu akhbar, majalah dan buku. Hasil daripada carian tersebut, jumlah data yang ditemukan dan perinciannya adalah seperti yang berikut:
Berdasarkan dapatan tersebut, jelaslah menunjukkan bahawa kedua-dua ungkapan itu (menjolok mata dan mencolok mata) sememangnya ada digunakan dalam penulisan, kecuali dalam majalah, simpulan bahasa “mencolok mata” tidak digunakan. Contoh-contoh data “menjolok mata” yang ditemukan dalam akhbar, majalah dan buku adalah seperti yang berikut:
Akhbar
1. Rekaan fesyen batik yang menjolok mata dan mendedahkan susuk badan kepada yang tidak berhak melihatnya ….
2. Harus kita ingat, kita menegur bukan untuk melepas perasaan marah dan cuak melihat perlakuan menjolok mata tetapi menegur kerana kita menyayangi mereka dan agama kita.
3. Malah, ia turut menyaksikan majlis peragaan fesyen pakaian yang agak menjolok mata di kalangan gadis remaja.
4. Paling menjolok mata, jurang perbezaan golongan mewah dengan golongan miskin bagai langit dengan bumi.
5. … pekerja kilang hendaklah sama-sama memberikan nasihat dan teguran yang membina supaya tindak-tanduk yang menjolok mata dan keterlaluan dapat dikawal.
Data menjolok mata dalam akhbar.
Majalah
6. Kesemuanya itu telah mempengaruhi media sebaran am kita, sehinggakan filem iklan yang terlalu menjolok mata dan diselitkan dengan unsur-unsur ghairah.
7. Ia tidak dilakukan secara kekerasan atau melibatkan penindasan yang menjolok mata seperti yang terjadi sebelum 1945.
8. Biasanya, ahli antropologi berjaya untuk menyesuaikan diri dengan aturan berpakaian tanpa terlalu menjolok mata.
9. Soalnya, mengapa hanya pelajar purdah ditendang keluar, manakala pelajar yang berpakaian menjolok mata tidak dikenakan apa-apa tindakan?
Buku
10. Kekurangan golongan profesional Melayu begitu menjolok mata.
11. Tulisannya dalam kandungan itu lebih-lebih lagi menjolok mata.
12. Walaupun sekarang masih ada perbuatan yang menjolok mata, membuat maksiat, Badar kurang mampu menangani semuanya itu kerana kekurangan kakitangan.
13. Garis leher depan dan belakang badan tidak boleh terlalu luas di kedua-dua bahagian depan dan belakang sehingga menjolok mata.
14. Amat menjolok mata bahawa bagi tiap-tiap pengurniaan dibuat oleh sesebuah kerajaan dalam zaman Meiji itu, satu syarat yang selaras telah dikuatkuasakan.
Akhbar
15. Wanita Islam ini tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa mengenakan pakaian mencolok mata kerana tahu akan diambil tindakan sekiranya enggan mematuhi arahan itu.
16. Sebagai ibu, saya cukup bimbang gejala berpakaian mencolok mata ini akan menjadi arah aliran baru generasi muda yang akhirnya akan meningkatkan lagi masalah sosial ….
17. Diarah untuk memakai pakaian yang mencolok mata
18. Berapa ramai pasangan yang berpelesiran, bahkan sebahagiannya melakukan perbuatan yang amat mencolok mata.
19. Iklan mencolok mata dan merangsang kepada keruntuhan akhlak perlu diketepikan.
Data mencolok mata dalam akhbar.
Buku
20. Di Barat pula akhlak sudah runtuh sama sekali apabila timbul hubungan jantina secara bebas (sex freedom), ini belum termasuk jenis-jenis tarian dan pakaian yang mencolok mata.
Jadi, berdasarkan penjelasan tersebut, jelaslah menunjukkan bahawa kedua-dua simpulan bahasa itu boleh digunakan dan telah terakam dalam Kamus Simpulan Bahasa sejak tahun 1960-an lagi. Yang membezakannya hanyalah dari segi kekerapan penggunaannya. Berdasarkan penemuan keseluruhan data dalam kajian ini, kekerapannya ialah 156:7.
Kajiannya mendalam. Dapatannya meyakinkan. Yang pelik ialah saudara/saudari tidak menyentuh makna ‘mencolok’ dan ‘menjolok’. ‘Mencolok’ bermakna mencucuk dengan benda halus yang tajam seperti jarum. ‘Menjolok’ pula bermakna merodok sesuatu dengan galah dll supaya gugur, menusuk ke dlm lubang dll. Berdasarkan takrif kedua-dua kata, kata majmuk / simpulan bahasa ‘mencolok mata’, yakni mencucuk mata, yang harus digunakan. Adakah masuk akal merodok mata dengan galah? Pada pengamatan saya, kekhilafan ini berpokok pokok pada sebutan ‘mencolok’ didengar sebagai ‘menjolok’ akibat ceteknya kosa kata. Walaupun masyarakat pada zaman puntung berasap mencipta simpulan bahasa ‘menjolok mata’, kita perlu membetulkan yang salah, membiasakan yang betul. Sekian.