Oleh ZAIDI ISMAIL
Dahulu, kata kemudahan asas merupakan kata umum yang sering digunakan dalam penulisan, terutamanya di akhbar. Kemudiannya, kata ini digantikan pula dengan kata infrastruktur.
Kini, kata infrastruktur pula digantikan dengan kata prasarana. Ketiga-tiga kata ini (kemudahan asas, infrastruktur, dan prasarana) merupakan kata yang bersinonim dan dalam penggunaannya boleh ditukar ganti. Contoh penggunaan kata tersebut dalam penulisan di akbar adalah seperti yang berikut:
1. Penglibatan mereka adalah dari segi penjagaan, bantuan kebendaan serta kemudahan asas untuk warga tua yang tinggal di rumah orang-orang tua.
2. Walaupun jauh di pendalaman, Kg. Ayer Bah, Grik, Perak merupakan sebuah perkampungan orang asli yang sudah menikmati kemudahan asas yang sempurna.
3. Beliau berkata, Hungary merupakan pintu masuk ke Eropah dan banyak menyediakan peluang pelaburan disebabkan kos buruh yang murah serta infrastruktur yang baik.
4. Pada masa ini syarikatnya sedang menjalankan kerja-kerja telekomunikasi di sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor, terutama untuk keperluan pemaju-pemaju perumahan dan untuk keperluan infrastruktur.
5. Beliau menjelaskan bahawa dengan penyusunan struktur sekuriti cara Islam, pelabur-pelabur boleh menyumbang dana mereka dalam projek-projek prasarana.
6. Dalam merealisasikan Labuan sebagai destinasi menarik, LOFTA dengan dukungan kerajaan Malaysia menyediakan prasarana terbaik, termasuklah mewujudkan Kompleks Taman Kewangan …
Dari segi maknanya pula, berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), kata kemudahan asas, infrastruktur, dan prasarana
Kata | Makna |
prasarana hlm. 1230 |
keseluruhan kemudahan dan perkhidmatan asas (spt. kemudahan pengangkutan dan perhubungan, bekalan kuasa elektrik, dll.) yg. perlu bagi pembangunan (pertumbuhan) dan kemajuan, infrastruktur: ladang rakyat Felda diwujudkan dgn pembangunan ~ yg besar-besaran. |
infrastruktur hlm. 577 |
1. struktur asas sesuatu organisasi, sistem, dsb.; 2. kemudahan dan perkhidmatan asas (spt. kemudahan pengangkutan, pendidikan, kesihatan dsb., bekalan kuasa elektrik, dan pelbagai kemudahan lain yg. diperlukan utk. pembangunan dan pertumbuhan sesebuah negara, masyarakat, organisasi, dsb.), prasarana. |
kemudahan hlm. 1048 |
1. perihal atau keadaan mudah, kesenangan (senangnya atau mudahnya sesuatu); 2. kesenangan, keselesaan: pihak yg. tertentu hendaknya melengkapkan segala sesuatu utk. ~ rakyat; 3. sesuatu yg. memudahkan atau mempermudah sesuatu usaha (kegiatan dsb.): pelbagai ~ disediakan utk projek ini; ~ awam perkhidmatan dan infrastruktur yg. disediakan oleh pihak berkuasa atau kerajaan utk. keperluan orang ramai, spt. bekalan elektrik, jambatan, jalan raya dsb.; |
asas hlm. 82 |
1. alas, dasar, tapak (tempat berdirinya sesuatu bangunan): ~ rumah sudah siap; 2. sesuatu yg. menjadi sandaran atau pendukung kpd. sesuatu yg. lain, sandaran bagi sesuatu perbuatan (tindakan, kesimpulan, tuduhan, dll.), dasar: pemerintahan negara dgn. sistem demokrasi sbg. ~nya; tuduhan yg tidak mempunyai ~; |
Makna kata dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2005)
Berdasarkan penjelasan makna tersebut, kata infrastruktur, prasarana, dan kemudahan asas sememangnya bersinonim, cuma kata kemudahan asas tidak diperturunkan di bawah entri kemudahan. Yang diperturunkan hanyalah kata kemudahan awam. Dari segi maknanya, kata kemudahan awam ini sama maknanya dengan kemudahan asas, infrastruktur, dan prasarana.
Makna kata dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=kemudahan
Dengan hal demikian, ketiga-tiga kata itu (kemudahan asas, infrastruktur, dan prasarana) sepatutnya tidak digunakan secara serentak dalam satu rangkai kata, seperti kemudahan infrastruktur, kemudahan prasarana, infrastruktur asas, dan prasarana asas. Contoh penggunaan kata kemudahan infrastruktur yang ditemukan dalam akhbar adalah seperti yang berikut:
7. Kemudahan infrastruktur juga perlu diambil kira kerana ia penting supaya guru yang ditempatkan di sana selesa menjalankan tugas.
8. Telekom akan melabur sebanyak RM30 juta untuk menyediakan kemudahan infrastruktur telekomunikasi yang sofistikated dan terkini ….
9. Peruntukan ini bukanlah satu jumlah yang kecil, tambahan pula pihak penganjur terpaksa menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur di kawasan seluas 68 hektar yang sebagai tapak jambori.
10. Untuk meningkatkan ekonomi ia memerlukan kemudahan infrastruktur terutama jalan raya, jambatan, paip air, jalan kereta api, pelabuhan, perkapalan, perbankan dan perkhidmatan insurans …..
11. Ia membabitkan pembelian tanah-tana penduduk untuk pembangunan loji pemprosesan gas dan kemudahan infrastruktur yang lain.
Kata kemudahan yang digabungkan dengan kata infrastruktur dan digunakan dalam ayat (7) hingga (11) itu sepatutnya digugurkan sahaja kerana dalam kata infrastruktur sudah ada maksud kemudahan. Namun, sekiranya kata kemudahan ingin dikekalkan, kata infrastruktur perlu digantikan dengan kata asas, dan menjadi kemudahan asas.
Selain itu, seperti yang telah dijelaskan, pembentukan gabungan kata kemudahan prasarana juga tidak tepat. Contoh data yang ditemukan dalam akhbar ialah:
12. Abdul Rashid menafikan kegagalan itu berpunca daripada kemudahan prasarana yang buruk, dan menyatakan Bosnia mempunyai kemudahan yang diperlukan.
13. “Sebabnya peruntukan MSC dibuat lebih awal (dalam penyediaan kemudahan prasarana) dan sebahagian besar perbelanjaan akan disalurkan daripada syarikat-syarikat yang akan melabur,” ujarnya.
14. Namun begitu, aspek utama yang perlu diberikan perhatian yang tegas dan strategik ialah kerajaan perlu membantu bagi menyediakan kemudahan prasarana komputer terutamanya di kawasan luar bandar agar jurang antara pengguna tidak ketara.
15. Zahid berkata, kemudahan prasarana yang disediakan termasuk sebuah dewan, laluan pejalan kaki, bangku dan medan pembelajaran telah menarik minat murid belajar di situ.
16. Di bawah perjanjian itu, PWE O&M akan mengadakan dan menguruskan kemudahan prasarana serta tenaga kerja untuk kemudahan projek Bakun selama 30 tahun.
Kata kemudahan yang digabungkan dengan kata prasarana dan digunakan dalam ayat (12) hingga (16) juga sepatutnya digugurkan sahaja kerana dalam kata prasarana sudah ada maksud kemudahan. Walau bagaimanapun, sekiranya kata kemudahan ingin dikekalkan, kata prasarana perlu digantikan dengan kata asas,dan menjadi kemudahan asas.
Dua lagi bentuk gabungan kata yang tidak tepat ialah infrastruktur asas dan prasarana asas. Contoh penggunaannya:
17. Sekiranya infrastruktur asas universiti tidak banyak berubah dan dipertingkatkan dalam jangka masa yang singkat, cara lain yang melampaui cara konvensional dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) peringkat universiti harus dicari.
18. Penduduk di Pahang Barat sejak beberapa tahun lalu merungut kerana infrastruktur asas, terutamanya jalan sering diabaikan berbanding daerah lain yang aktif kegiatan ekonominya.
19. Malaysia mampu terus bersaing dengan China dalam menarik pelaburan asing walaupun negara tersebut kini menjadi tumpuan pelabur kerana kos pengeluaran rendah dan pelbagai infrastruktur asas disediakan.
20. “Kerajaan negeri akan terus memainkan peranan sebagai teraju penting untuk menarik minat para pelabur dengan menyediakan pelbagai infrastruktur asas,” tegas Wan Mokhtar.
21. Kajian rambang mendapati, masih ramai yang dikatakan kabur dengan konsep MSC sedangkan prasarana asas ke arah pembangunan itu telah wujud dan boleh dimanfaatkan
22. Agensi yang terlibat pasti akan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai kerana kerajaan mempunyai prasarana asas dan kewangan yang cukup untuk mewujudkan rangkaian kaunter khas di seluruh negara.
23. Cyber Touch telah memperuntukkan masanya pada tahun lepas untuk membina prasarana asas untuk mempelajari dan membangun perniagaan korporat intranet dan kini telah bersedia dengan set kemahiran teknologi dan perniagaan untuk menyokong para rakan dan pelanggan, katanya.
24. Christian Urbanke berkata faktor-faktor seumpama ini bermula daripada kesanggupan para pemimpin membuat keputusan yang sukar untuk kebaikan negara sehinggakan prasarana asas yang baik dan tenaga pekerja yang berpelajaran dapat disediakan.
25. Kemajuan ekonomi negara banyak bergantung pada prasarana asas yang ada, termasuklah lebuh raya yang menyambungkan utara dan selatan Semenanjung.
Berdasarkan contoh-contoh tersebut, kata asas yang digabungkan dengan infrastruktur dan prasarana (infrastruktur asas dan prasarana asas) dalam ayat (17) hingga (25) perlu digugurkan kerana dalam kata infrastruktur dan prasarana sudah mengandungi makna sesuatu yang asas. Walau bagaimanapun, sekiranya kata asas itu ingin dikekalkan, kata infrastruktur dan prasarana perlu digantikan dengan kata kemudahan untuk membentuk rangkai kata kemudahan asas.
Kesilapan dalam pembentukan gabungan kata kemudahan asas, kemudahan prasarana, infrastruktur asas, dan prasarana asas sepatutnya tidak terjadi sekiranya pengguna bahasa memahami maksud sebenar yang terkandung dalam setiap kata yang digabungkan itu. Pembentukan gabungan kata daripada kata yang sememangnya sudah ada maksudnya dalam pasangan yang akan menyebabkan ayat yang dibentuk oleh rangkai kata itu dianggap lewah, iaitu berlebih-lebih kerana menambah kata yang tidak perlu.
Dengan hal yang demikian, sebelum sesuatu kata itu digunakan dalam penulisan, sebaiknya kita mengetahui maksudnya supaya ayat yang dihasilkan oleh kata tersebut adalah tepat untuk membentuk kesatuan wacana yang juga tepat. Keseluruhan data (ayat contoh) yang digunakan dalam penulisan makalah ini merupakan data korpus yang terdapat Pangkalan Data Korpus Dewan Bahasa dan Pustaka yang bersumberkan salah sebuah akhbar berbahasa Melayu yang terkenal.
Kata nama majmuk ‘kemudahan awam’ bermakna kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan swasta seperti tandas awam, perhentian bas, pengangkutan awam, rumah kesayangan, R&R dan sebagainya demi keperluan dan keselesaan orang ramai . Kata nama majmuk ‘kemudahan asas’ (bahasa Melayu), prasarana (Indonesia) dan infrastruktur(bahasa Inggeris) membawa makna segala kemudahan yang diperlukan untuk pembangunan negara seperti sekolah, kolej dan universiti (pendidikan), jalan raya (pengangkutan), bekalan elektrik (kuasa), bekalan air (air) dan sebagainya. Pendek kata, janganlah samakan kemudahan asas dengan kemudahan awam. Sekian.