Oleh HASSAN ALIAS

Prof. Dr. Zaharani sedang menyampaikan ucapan.

Prof. Dr. Zaharani sedang menyampaikan ucapan.

TANGGAL 1 Jun 2016 merupakan tarikh yang bersejarah buat Prof. Dr. Zaharani Ahmad apabila beliau menoktahkan kerjaya berwarna-warni sebagai Timbalan Ketua Pengarah Dasar (TKPD) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau memulakan tugas Di DBP pada 25 Mac 2013 secara pinjaman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Tugas terakhir beliau di UKM ialah pensyarah linguistik Melayu,  Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

ZFK_6221

Antara khalayak majlis.

Bersempena dengan persaraan beliau di DBP dan sebagai penjawat awam, suatu majlis meraikan beliau, “Jasamu Dikenang” telah diadakan di Dewan Bankuet, Menara DBP pada 31 Mei 2016. Yang hadir dalam majlis ringkas tetapi sangat bermakna itu ialah Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Tuan Haji Abd. Adzis Abas, Ketua Pengarah DBP dan staf ibu pejabat. Staf cawangan dan wilayah pula dapat menyaksikan majlis tersebut secara langsung menggunakan kemudahan Skype.

Haji Abd. Adzis menyampaikan cenderamata kepada Prof. Dr. Zaharani.

Haji Abd. Adzis menyampaikan cenderamata kepada Prof. Dr. Zaharani.

Dalam kata alu-aluannya, Tuan Haji Abd. Adzis mengucapkan terima kasih kepada Prof. Dr. Zaharani atas sumbangan besar yang telah beliau curahkan sepanjang tiga tahun di DBP. Tuan Haji Abd. Adzis kagum dengan iltizam Prof. Dr. Zaharani walaupun bersama-sama dalam satu pasukan ketika beliau sudah menghampiri fasa persaraan.

“Biarpun saya baru mengenali beliau tiga bulan yang lalu, saya secara peribadi berasa bahawa Prof. Dr. Zaharani cukup pantas mendekati saya, bekerjasama dengan saya dan bersiap siaga dengan tugasan yang saya berikan kepadanya tanpa berkira,” katanya.

Prof. Dato' Seri Dr. Md. Salley menyampaikan cenderamata kepada Prof. Dr. Zaharani.

Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh menyampaikan cenderamata kepada Prof. Dr. Zaharani.

Dalam ucapannya pula, Prof. Dr. Zaharani sangat terharu kerana diraikan sebegitu rupa kerana perkara yang sama tidak mungkin berlaku jika beliau bersara di universiti.

Beliau mendedahkan beberapa perkara, antaranya bagaimana pihak UKM menghubungi beliau beberapa hari selepas beliau menjawat jawatan TKPD untuk menawarkan beliau jawatan penting di universiti tersebut. Walau bagaimanapun Prof. Dr. Zaharani nekad untuk bertugas di DBP kerana beliau ingin berkhidmat “di gelanggang yang lebih luas”.

Prof. Dr. Zaharani berterima kasih kepada staf DBP kerana secara umumnya menerima kehadiran “orang luar” menjawat jawatan kedua penting di organisasi keramat ini. Beliau turut mendedahkan cabaran-cabaran yang dihadapi selama beliau di DBP, antaranya apabila terlibat dalam merangka Pelan Strategik Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di Universiti Awam 2016-2020.

“Sebenarnya usaha ini sangat sukar kerana tidak disambut oleh universiti awam. Malah ada pensyarah yang tidak kisah atau tidak tahu tentang pelan ini,” dedahnya dalam nada kesal.

Prof. Dr. Zaharani mengetik perakam waktu buat kali terakhir.

Prof. Dr. Zaharani mengetik perakam waktu buat kali terakhir.

Beliau turut menghimbau budaya kerja penerbitan buku sekolah yang masih mengekalkan budaya kerja lama yang memungkinkan berlaku kesilapan. Yang beliau kesalkan apabila pihak-pihak yang berkenaan enggan menerima pembaharuan dalam cara bekerja yang beliau cadangkan.

Prof. Dr. Zaharani merupakan seorang pegawai yang sangat komited dan tidak lokek dengan masa dan senyuman. Sepanjang menjalankan tugas sebagai seorang TKPD, telah banyak projek dan aktiviti yang beliau gerakkan dan robah agar keberhasilan program, projek dan aktiviti dipertingkatkan, berimpak tinggi dan selaras dengan perkembangan dunia semasa.

Melengkapkan majlis ialah acara penyampaian cenderamata daripada jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian kepada Prof. Dr. Zaharani . Setelah majlis usai, Prof. Dr. Zaharani mengetip perakam waktu untuk kali terakhir diiringi oleh tamu jemputan dan staf DBP dan seterusnya bergambar ramai.

Lambaian terakhir daripada Prof. Dr. Zaharani.

Lambaian terakhir daripada Prof. Dr. Zaharani.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044604
    Visit Today : 1025
    This Month : 27203
    Total Visit : 1044604
    Hits Today : 3519
    Total Hits : 4288492
    Who's Online : 15
  • Kategori