Oleh ROSANI HIPLEE

Seusai Majlis Syarahan Perdana bersempena Hari Pejuang Bahasa 152 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak pada 25 Februari 2016 di Kota Samarahan, sebuah Majlis Diskusi Karya Penulis Sarawak telah diadakan sebagai kesinambungan kegiatan bahasa dan sastera yang diadakan pada sebelah petangnya pula.

Di negeri Sarawak, salah satu kegiatan pemantapan pengetahuan khususnya kepada khalayak bahasa dan sastera ialah melalui kegiatan seperti diskusi karya. Maka melalui kegiatan seperti ini, beberapa pandangan, pendapat, penelitian dan ulasan dapat menjana perbincangan ke arah mempergiat dan memperkembangkan usaha memartabatkan bahasa dan sastera di negeri Sarawak. Melalui diskusi ini juga, karya penulis Sarawak yang diusahakan perolehannya oleh Unit Penerbitan, DBP Cawangan Sarawak dapat diperkenalkan kepada khalayak pembaca.

Selain itu, antara objektif utama Diskusi Karya Penulis Sarawak ini adalah seperti berikut;

  • *Meningkatkan minat membaca serta menggalakkan pembinaan keintelektualan masyarakat setempat melalui karya yang dihasilkan oleh penulis-penulis Sarawak;
  • *Menjadikan DBP sebagai agensi yang dimesrai, disenangi dan dijadikan tempat rujukan tentang hal-hal kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan;
  • *Diskusi karya ini akan dapat mendekatkan lagi golongan penulis dan penggiat sastera tempatan dengan masyarakat dan peminat *sastera melalui karya-karya yang dihasilkan;
  • *Melalui program ini, generasi muda dan peminat sastera juga berpeluang mengetahui proses penghasilan sesebuah karya kreatif secara umum; dan
  • *Melalui program ini juga secara tidak langsung dapat mempromosi karya penulis-penulis Sarawak.

Dengan menampilkan pemakalah-pemakalah daripada kalangan pensyarah, guru dan penulis diharapkan medium diskusi akan lebih terampil dan menyeluruh impaknya. Setidak-tidaknya dengan pendekatan sedemikian, suasana perbincangan akan dilapisi dengan persepsi yang menarik dan rencam.

Dilah Tuah Membicarakan Novel Simpang 302.

Dilah Tuah Membicarakan Novel “Simpang 302”.

Dilah Tuah, pensyarah dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah memperkatakan novel Simpang 302 karya Radzemah Bolhassan. Beliau meneliti novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini dengan berpandukan Teori Takmilah. Takmilah yang hadir sebagai alternatif kepada teori kritikan barat, dilihat lebih berupaya mengungkap hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan manusia, serta hubungan manusia dengan alam. Hal ini demikian kerana, karya sastera ialah refleksi, hasil pemerhatian dan penglibatan penulis terhadap hubungannya dengan pencipta, manusia dan alam.

Menurut beliau, dalam novel Simpang 302 ini, struktur dan teknik yang digunakan oleh penulis sememangnya menepati kehendak Teori Takmilah yang berprinsipkan tauhid. Secara keseluruhannya, penulis novel ini kreatif dan matang dalam mengadun ilmu perubatan, agama, undang-undang, sains dan teknologi sehingga novel Simpang 302, bukan sahaja padat dengan ilmu tetapi bermanfaat kepada khalayak.

Akhirnya beliau merumuskan bahawa novel ini, merupakan contoh karya sastera Islam yang dapat menjadi tarbiah kepada khalayak pembaca, dalam memahami dan menghayati kesyumulan Islam sebagai Ad-din. Di sisi penulis, penghasilan karya sebegini merupakan satu anjakan paradigma, khususnya dalam melihat hubungannya dengan pencipta, manusia dan alam yang kian rapat dan dekat.

Dayang Azizah Mohd Salleh yang  menggunakan Teori Resepsi.

Dayang Azizah Mohd Salleh menggunakan Teori Resepsi dalam menelaah novel “Sayang Sarawak” karya Idris Boi.

Dayang Azizah Mohd. Salleh, guru dan pengkritik karya sastera yang sedia menelaah novel Sayang Sarawak karya Idris Boi. Novel setebal 1144 halaman ini adalah sebuah fiksyen sejarah yang mempunyai nilai dan keistimewaan serta daya tarikan tersendiri dalam genrenya.

Menekuni novel ini memerlukan penelitian yang rinci dan mengambil waktu yang panjang. Teori resepsi dipilih oleh Dayang Azizah untuk meneliti novel ini bagi membantu audiens menghadamkan keseluruhan isi cerita, pemikiran, persoalan serta kesan pengajaran atau pendidikan yang disuguhkan oleh penulis.

Novel Sayang Sarawak dapat diletakkan dalam genre ala-ala sastera sejarah. Secara umumnya, sastera sejarah merujuk kepada kisah kegemilangan negara-negara Melayu. Kekuatan novel ini ditemui pada lima aspek utama. Aspek-aspek itu ialah tema, persoalan, stilistika, kesan dan nilai-nilai yang disuguhkan oleh penulisnya.

Sesuai dengan genrenya sebagai sebuah sastera sejarah, novel ini berjaya mengetengahkan banyak nilai keagamaan dan kemasyarakatan yang bukan sahaja menggambarkan masyarakat pada zaman tersebut, bahkan dapat ditinggalkan kepada audien zaman kini dan akan datang.

“Kelainan atau penyimpangan yang menjadikan novel Sayang Sarawak sedikit berbeza dengan karya sastera sejarah yang lain ialah pengolahannya yang mementingkan teknik yang menarik, beragam dan kukuh. Menikmati novel ini tidak ubah seperti menadah telinga dan minda dengan pelbagai fakta dalam kuliah sejarah Sarawak dengan versi yang lebih “seni”,” kata Dayang Azizah sebagai merumus penelitiannya terhadap novel tersebut.

Mohd. Ali Salem dengan kritik Sosial

Mohd. Ali Salem dengan kritikan sosial untuk novel “Igaukan Igau” karya Abang Median Abang Said.

Mohd. Ali Salim, guru dan cerpenis Sarawak pula membicarakan novel Igaukan Igau karya Abang Median Abang Said. Beliau mengkaji tulisan Abang Median dalam novel ini, khusus dengan melihat kritikan sosial dalam karya tersebut. Malah beliau akan menggunakan pendekatan sosiologi sebagai memahami karya penulisnya yang tidak lari daripada mengisahkan soal-soal masyarakat.

Antara kritikan sosial Abang Median ialah tentang penghuni rumah panjang yang ramai terdiri daripada warga tua manakala golongan muda berpindah ke bandar, apa yang berlaku dalam sektor pendidikan kerana tenaga pengajar yang lebih banyak terdiri daripada orang luar, soal kesusahan masyarakat pedalaman memasarkan hasil dusun kerana masalah pengangkutan, berkenaan sikap pengusaha ladang sawit yang suka mengupah pekerja asing, hal masyarakat yang enggan bekerjasama dengan mengorbankan masa dan tenaga untuk menghadapi masalah bersama, soal masyarakat yang mudah menyerahkan tanah mereka kepada syarikat untuk diusahakan, ketidakadilan pihak syarikat yang mendapat untung lebih daripada tuan tanah, sikap golongan muda yang enggan mengusahakan tanah, tentang kemudahan telekomunikasi yang tidak dinikmati dengan baik oleh semua rakyat terutamanya di luar bandar, kemudahan bekalan elektrik yang belum dinikmati di semua kawasan, kesan pembalakan yang memusnahkan alam sekitar terutamanya pencemaran sungai, keadaan remaja yang mudah terpengaruh dengan gejala negatif seperti terlibat dengan pengambilan pil-pil khayal, berkenaan kemudahan di luar bandar seperti jalan raya dan hospital, tentang kesukaran sebilangan remaja yang berkeinginan untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi kerana masalah kewangan, sikap masyarakat yang keliru tentang pengamalan adat dan agama, dan dalam persoalan agama penulis turut mengkritik sikap masyarakat Islam, khususnya golongan guru pelatih yang tidak sembahyang berjemaah di masjid.

Sememangnya novel Igaukan Igau membuktikan betapa rapatnya tautan penulis dengan masyarakat di sekelilingnya yang mendukung kalimat karya cerminan masyarakat. Menurut Mohd. Ali, karya ini menjadi wadah menyampaikan kritikan sosial untuk menyedarkan masyarakat dan menilai apa yang benar-benar berlaku dalam masyarakat khususnya golongan terpinggir, yang perlu diubah atau ditangani dengan bersungguh-sungguh.

Tuan Haji Saiee Driss Menekuni Puisi-puisi Cinta Jemat Gani.

Tuan Haji Saiee Driss menekuni “Puisi-puisi Cinta” karya Jemat Gani.

Tuan Haji Saiee Driss, penyair dan penggiat sastera ini juga tidak terpinggir daripada membincangkan kumpulan puisi berjudul Sekuntum Cinta Seharum Mesra karya Jemat Gani. Buku ini mengandungi sejumlah 122 buah puisi dengan ketebalan sebanyak 130 halaman. Malah beliau telah memilih Teori Puitika Sastera Melayu sebagai menekuni puisi-puisi yang terkandung dalam buku tersebut.

Buku ini cukup istimewa. Daripada segi kandungannya, buku ini mengandungi puisi-puisi yang terdiri daripada sajak bebas, syair, gurindam dan pantun-pantun yang ditulis sebuah karya setiap hari, mulai 1 Oktober 2008 sehingga 31 Disember 2008. Ini bererti penyair menyediakan sebuah karya setiap hari sepanjang 122 hari.

Beliau amat kagum dengan kemampuan penyair yang setiap hari menghasilkan sebuah puisi sepanjang tiga bulan terakhir pada tahun tersebut. Ini rasanya belum pernah dilakukan oleh penulis lain di Malaysia, termasuk tokoh-tokoh dan para Sasterawan Negara.

Temanya tetap cinta tetapi pemplotan mendasari pengisian temanya itu ada yang negatif dan ada yang positif nadanya. Cintanya berkisar cinta suami isteri dan kekasih serta ahli keluarga, cinta terhadap tempat-tempat tertentu seperti tempat lahir, tempat membesar dan pendidikan awal, tempat pernah bertugas dan orang ditemui yang meninggalkan kesan terhadap perjalanan hidup. Banyak benar pasal cinta keagamaan kerana ada 60 hari iaitu sepanjang Ramadan hampir seluruhnya bertema agama dan sepanjang Syawal adunan antara ibadah dan cara sambutan Hari Raya. Dalam pada itu ada beberapa buah puisi yang mengisahkan suasana gelisah dalam kerjaya kerana ada surat layang yang menggugat keupayaan dan asal usulnya. Ada sub-kumpulan mengupas isu main kayu tiga atau poligami, dan menariknya ada puisi-puisi cinta universal yang objek temanya nasib perihal rakyat Palestin dan kekejaman Israel.

Jelas dengan kehadiran teks ini sepanjang 122 hari penyair telah mampu atau memaksa dirinya menghasilkan karya bertemakan pelbagai sudut dan gaya.

Tuan Haji Saiee merumuskan bahawa ada puisi-puisi yang baik dan berpotensi menjadi lebih indah kalau diberi lebih masa mengulit dan mencanaikan gubahan dan temanya. Diyakini bahawa penyair sememangnya memiliki daya sensitiviti tinggi yang akan menjadi lebih tajam dan mampu menghasilkan karya-karya besar setelah memperkemaskan diri dengan tambahan ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam proses menjadi manusia semakin dewasa.

Terakhir, Rosani Hiplee telah mengupas novel Ilang karya Abang Saifuddin Abang Bohari yang terbit pada tahun 2015. Beliau berusaha menyoroti sejarah epik bangsa pada parang Ilang yang cuba ditonjolkan oleh penulis dalam novelnya itu.

Sesi Terakhir Diskusi Karya Penulis Sarawak oleh Rosani Hiplee yang berusaha menyoroti sejarah epik bangsa pada "Parang Ilang" yang cuba ditonjolkan oleh Abang Saifuddin Abang Bohari.

Sesi Terakhir Diskusi Karya Penulis Sarawak oleh Rosani Hiplee yang berusaha menyoroti sejarah epik bangsa pada parang “Ilang” yang cuba ditonjolkan oleh Abang Saifuddin Abang Bohari.

Penulis sekalipun bukan berbangsa Dayak tapi telah berupaya menyelami semangat epik yang dipercayai ada pada parang ilang tersebut. Malah, penulis telah menggarap penceritaannya dengan cukup baik dengan mengekalkan nilai-nilai murni yang ada pada watak pahlawannya.

Penulis mengolah penceritaannya dengan cukup psikologis. Perbalahan antara dua generasi dalam mempertahankan warisan bangsa kerana corak pemikiran yang berbeza telah diakali penulis dengan mengolah semangat kepahlawanan yang ada pada parang ilang menerusi sebuah cerita ngayau leluhur mereka. Sememangnya, cerita tentang kehebatan ngayau dengan epik parang ilang sangat sinonim.

Penulis telah mengolah kepahlawanan sejati Iban dengan cukup terampil. Watak pahlawan Ilang tidak sekadar digambarkan sebagai lelaki yang kacak, bijak, sabar dan berani. Tapi juga berhemah tinggi dan sangat menghormati peradaban bangsa. Seperti kehebatan parang ilang, begitulah jati diri yang ada pada pahlawan sejatinya. Seperti dialog ini yang telah menjadi falsafah yang cukup tinggi untuk direnung oleh pembaca;

“Seorang pahlawan sejati adalah orang yang telah teruji jiwanya.”

Penulis seolah-olah sengaja menerapkan nilai-nilai pahlawan sejati yang unggul sebagai melapisi nilai kemanusiaan di sebalik makna sadis ngayau dan parang ilang.

Sememangnya, novel Ilang cukup menjanjikan kehebatan epik yang tersembunyi di sebalik parang ilang yang menjadi kebanggaan masyarakat Iban sejak dahulu hingga kini. Apalagi penulis telah mengolah penceritaannya dari sisi yang positif dan penuh semangat kepahlawanan yang sejati.

Pencerahan dan perkongsian yang menarik daripada para pemakalah pasti mengujakan para pembaca untuk sama-sama menikmati karya-karya yang telah dibicarakan tersebut. Sekurang-kurangnya sasaran penganjur yang ingin mengkhalayakkan karya sastera tempatan tercapai apabila karya-karya tersebut telah dibicarakan dengan cukup arif dan wibawa.

Mudah-mudahan dengan demikian, senario lokal sastera mutakhir ini kian malar sejajar dengan perkembangan arus transformasi semasa.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036437
    Visit Today : 1215
    This Month : 19036
    Total Visit : 1036437
    Hits Today : 5769
    Total Hits : 4251859
    Who's Online : 10
  • Kategori