gaza

 

Judul Buku:   Menelusuri Jati Diri Srikandi Gaza

Pengarang:    Zaharah Sulaiman

Penerbit:        Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 2015

Pengulas:     ZAIDI ISMAIL

Buku ini merupakan rakaman pengalaman perjalanan peribadi Dr. Zaharah Sulaiman, Pensyarah Kanan di Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (UPKW), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pakar Perunding Laktasi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini memperoleh Ijazah Perubatan dari University of Adelaide, Australia dan Ijazah Doktor Falfasah dalam mendalami bidang kesihatan wanita di La Trobe University, Melbourne, Australia pada tahun 1997. Dalam kajiannya beliau beliau cuba melihat sejauh mana status pekerjaan seseorang wanita mempengaruhi amalan mereka menyusukan bayi. Beliau juga merupakan Pengerusi, Raudhatus Sakinah Kelantan, iaitu pusat perlindungan dan bimbingan untuk remaja puteri. Sebelum ini beliau pernah bersama-sama pelajar perubatan USM ke Acheh, Indonesia pasca Tsunami atas misi perubatan masyarakat. Semasa banjir besar melanda Kelantan, beliau bersama i-Bantu, IKRAM Kelantan dan kumpulan MAIK Trauma Centre telah turun padang menyantuni ibu dan bayi-bayi mereka.

Dr. Zaharah telah menjelajah bumi Palestin ketika terlibat dalam misi A2G12-ER. Penulisan yang digarapnya ini merupakan cetusan hasil pengalamannya untuk membawa para pembaca menelusuri jalan-jalan yang dirobek oleh kebiadapan Zionis di bumi Gaza. Bahkan, jalinan hati yang dipaterikan bersama-sama warga GAZA turut dirasai kehangatannya lewat penulisan ini. Ungkapan yang diluahkan oleh warga GAZA dalam kalangan ibu-ibu pejuang, isteri-isteri mujahid merupakan mutiara yang tersemat baik di kalbu para pembaca. Di dalam buku ini terkandung pesan–pesan persaudaraan Islam, paparan keberanian dan kelelakian (rijal) Islam, keindahan kesabaran dan ketulusan ibadah. Buku ini memaparkan pengorbanan ibu-ibu di Gaza dalam mendidik dan memupuk semangat juang yang kental ke dalam hati anak-anak mereka sejak kecil lagi. Sewajarnyalah mereka digelar srikandi Gaza dengan jati diri yang patut dicontohi dan diikuti oleh warga Malaysia.

Gaza sudah menjadi destinasi penting umat Islam, bahkan warga dari seluruh pelosok dunia. Ketika pertama kali Gaza diisytihar sebagai entiti musuh pada tahun 2007 oleh negara Zionis Israel dan mula mengenakan sekatan ekonomi dan kepungan, dunia seolah-olah menganggap hal ini sebahagian daripada konflik Palestin Israel yang tiada kesudahan. Namun, langkah biadap regim Zionis yang tidak berperikemanusiaan ini telah mula membuka mata warga dunia terhadap kezaliman yang menimpa rakyat Palestin sejak lebih enam dekad yang lalu. Lifeline for Gaza (LLAG) yang berakhir dengan serangan maut terhadap kapal induk Mavi Marmara telah membuka lembaran baharu dan menaik taraf perjuangan pembebasan Palestin sebagai konflik yang didukung oleh masyarkat sipil (masyarkat madani Civil Society). Rakyat Malaysia termasuk pimpinan dan aktivis beberapa Non-Government Organization (NGO) telah bersama-sama dalam misi bersejarah tersebut. Bahkan sebelum LLAG, rakyat Malaysia telah bersama sama dalam beberapa misi konvoi kemanusiaan ke Gaza yang diterajui oleh pertubuhan NGO yang berpangkalan di UK.

Pengalaman yang dikongsi oleh Dr. Zaharan Sulaiman yang bersama-sama misi A2G12-ER ialah gambaran satu pengalaman yang amat berharga. Bagi sebahagian besar aktivis yang pernah ke Gaza, pengalaman di medan itu tersemat kukuh di kalbu untuk menjadi bekalan hidup yang cukup bermakna. Namun, bagi Dr. Zaharah, pengalaman itu dituangkan dalam buku supaya dapat diterjemahkan untuk turut dihayati oleh semua yang ada rasa kasih kepada Palestin dan rindu untuk menjejak bumi barakah itu. Hal ini memberikan satu gambaran sebenar terhadap perjuangan rakyat Palestin berbanding analisis politik konflik Palestin-Israel yang kontang nilai rahmat bahkan memfitnah rakyat Palestin.

Dr. Zaharah telah berjaya merumuskan peristiwa yang dilihat dan pengajaran (ibrah) yang telah dikutip. Hal ini merupakan suatu pengalaman sebenar dari satu musafir yang dianjurkan oleh Islam. Penulisannya sarat dengan pesan-pesan persaudaraan Islam, paparan keberanian dan kelelakian (rijal) Islam, keindahan kesabaran dan ketulusan ibadah. Bumi Gaza amat subur dengan nilai-nilai rahmat-al-lil-al-amin dan Dr. Zaharah telah Berjaya memindahkan pengalaman kerohanian yang penting ini dari kaca mata kebenaran dan keadilan. Buku ini ialah satu rakaman sejarah yang penting dan testimoni hidup kepada perjuangan menegakkan al-Haq yang didukung rakyat Palestin.

Kisah-kisah yang dipersembahkan dalam penulisan ini dipilih oleh Dr. Zaharah kerana sarat dengan pengajaran kehidupan seharian yang dilalui oleh wanita Gaza yang menyentuh hati. Beliau memaparkannya bermula dari kisah-kisah yang berkaitan dengan perkahwinan, kelahiran, pendidikan hinggalah ke akhir hayat. Beliau berkongsi kisah perkahwinan yang diberkati, kisah ibu mengandung dan melahirkan zuriat mereka, seterusnya mendidik dan membesarkan anak-anak dengan ilmu dan akhlak yang terpuji. Yang paling menarik ialah bagaimana ibu-ibu di Gaza ini memupuk semangat juang yang kental ke dalam hati anak-anak mereka sejak dari kecil lagi. Sewajarnya mereka digelar “Srikandi Gaza” dengan jati diri yang patut dicontohi dan diikuti.

Buku ini mengandungi tujuh bab yang menarik, iaitu Palestin Bumi Barakah, Nilai Kehidupan di Gaza, Kisah Walimatulurus di Bumi Barakah, Zuriat Penyambung Keturunan, Pendidikan Membentuk Peribadi Muslim, Jati Diri Srikandi Gaza, dan Langkah Bermula. Semuanya berfokus hanya kepada kisah-kisah wanita di sana. Dr. Zaharah berniat untuk berkongsi dengan dunia luar tentang keunikan dan kegigihan ibu-ibu di sana, yang berjaya memupuk semangat juang yang tinggi ke dalam jiwa anak-anak mereka. Mereka seolah-olah tidak gentar dengan segala yang Isreal lakukan dan hal ini membingungkan pihak Israel. Misalnya, mengapakah mereka ini seperti tiada perasaan putus asa dalam kehidupan?

Dr. Zaharah memilih untuk berkongsi memori tersebut melalui suatu penulisan yang bersesuaian untuk dirujuk pada bila-bila masa dalam bukunya Menelusuri Jati Diri Srikandi Gaza. Selamat membaca.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048176
    Visit Today : 494
    This Month : 30775
    Total Visit : 1048176
    Hits Today : 1217
    Total Hits : 4300263
    Who's Online : 9
  • Kategori