pengurusan insan

Judul Buku: Pengurusan Insan Berteraskan Islam

Penulis:         Lenny Luat

Penerbit:        Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun:           2015

Pengulas:      JUNAWATI BINTI AB HAMID

Pengurusan insan sering diberikan tumpuan dalam semua bidang, baik perindustrian, pembangunan, mahupun pengurusan dalam keluarga, institusi, masyarakat, negara atau dunia. Pengurusan insan dilihat sebagai satu komponen penting yang dititikberatkan dalam arus globalisasi masa kini.

Pengurusan insan merupakan elemen penting yang dititikberatkan oleh mana-mana negara, baik negara maju mahupun negara yang sedang membangun. Banyak pelaburan yang terpaksa disalurkan untuk mentransformasikan insan ke arah kecemerlangan. Oleh itu, timbul persoalan apakah teori atau strategi yang digunakan oleh negara-negara maju, seperti Jepun dan Korea Selatan sehingga mereka mencapai tahap kemajuan tersebut? Sekiranya teori atau strategi pengurusan insan tersebut betul-betul berjaya, mengapakah banyak institusi maju, seperti Enron, WorldCom dan Kanebo Limited mengalami kejatuhan ataupun kebankrapan?

Pengurusan insan yang holistik memerlukan kita untuk kembali kepada agama. Hal ini disebabkan agama yang akan dapat membentuk keperibadian insan tersebut. Oleh itu, kita cuba memfokuskan kepada teori dan strategi pengurusan insan dari perspektif Islam. Pengurusan insan dari perspektif Islam yang holistik perlu mengambil kira kewujudannya sebagai khalifah dan hamba di muka bumi ini. Oleh yang demikian, elemen dalaman insan tersebut perlu diberikan penekanan supaya akhirnya akan mempengaruhi perilaku insan tersebut terhadap persekitarannya, tidak kira kepada masyarakat, institusi ataupun negara.

Pengurusan insan mempunyai kaitan dengan negara, alam sekitar, masyarakat ataupun institusi. Setiap isu yang wujud berpunca daripada perilaku insan yang bertentangan dengan etika dalam menjalani kehidupan seharian. Pelbagai pihak cuba menangani isu ini, namun sehingga kini isu berkaitan pengurusan insan masih dibincangkan. Hal ini mungkin disebabkan strategi dan kaedah yang cuba diaplikasikan dalam menangani isu tersebut tidak berakar umbi daripada agama.

Sekiranya maksud dan fungsi pembentukan insan dapat diketahui secara jelas, hal ini akan dapat menangani isu yang membabitkan insan. Setiap pembentukan insan di muka bumi ini telah diatur dan diperintahkan oleh Allah SWT. Maka pentingnya setiap insan untuk mengetahui fungsi pembentukannya supaya dapat melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya seperti dalam perjanjian asal di alam roh lagi.

Fungsi pengurusan insan adalah sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini. Khalifah dalam al-Quran merujuk seseorang insan yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mengatur kehidupan insan di bumi dengan berdasarkan wahyu dan syariat Allah. Hal ini supaya kehidupan insan itu teratur dan ke arah tujuan yang baik untuk mencapai keredaan Allah. Oleh itu, fungsi insan sebagai khalifah ialah mentauhidkan, menyembah, patuh dan menyerah diri kepada Allah SWT. Kesemua ini merupakan fungsi dan matlamat penciptaan insan.

Secara umumnya, perbincangan konsep dan teori pengurusan insan tidak pernah selesai dan sentiasa berubah mengikut peredaran waktu. Oleh itu, pelbagai teori telah wujud hingga kini. Dalam buku ini, penulis mengimbas sepintas lalu berkaitan dengan teori pengurusan insan secara konvensional yang popular dan telah diaplikasikan dalam kebanyakan institusi masa kini serta digunakan dalam kajian terdahulu.

Melalui penelitian daripada teori-teori konvensional yang telah dibincangkan sebelum ini, terdapat beberapa perkara yang tidak dititikberatkan dan diberikan perhatian. Teori-teori tersebut mempamerkan kapitalisme hanya mementingkan kejayaan dalam pembangunan sains, kemajuan teknologi dan peningkatan produktiviti insan tanpa mengambil kira manfaat serta kebaikan masyarakat. Pengeksploitasian menyebabkan ketidakseimbangan pembangunan antara golongan kaya dengan miskin. Hal ini disebabkan pembangunan menurut kapitalisme hanya berasaskan fizikal, iaitu daripada aspek sains dan teknologi. Akhirnya mewujudkan ketidaksesuaian pembangunan disebabkan tidak memenuhi keperluan asas insan.

Setelah memenuhi keperluan asas, secara langsung memenuhi syariat Islam. Menurut Yusof al-Qardawi, terdapat tiga keperluan asas dalam pelaksanaan syariat Islam. Pertama, pelaksanaan ajaran Islam secara menyeluruh; kedua, pembersihan masyarakat daripada sebarang unsur yang bertentangan dengan Islam, sama ada dalam aspek ekonomi dan sosial atau dalam aspek pemikiran dan hala tuju; dan ketiga, keperluan untuk melakukan ijtihad semasa.

Secara umumnya, pengurusan insan mempunyai perhubungan yang rapat dan tidak boleh dipisahkan antara Allah, manusia dan alam sekitar. Ketiga-tiga ini mempunyai perhubungan yang rapat dan berkait sebelum pembentukan insan lagi. Kehidupan manusia tidak hanya terbatas kepada hubungan sesama manusia tetapi juga hubungan manusia dengan alam di persekitarannya. Kesejahteraan yang dinikmati oleh manusia merupakan akibat daripada kehidupan yang sejahtera antara sesama manusia dengan alam tabii di sekitarnya.

Secara keseluruhannya, hal tersebut telah diperkatakan oleh Leny Luat dalam bukunya Pengurusan Insan Berteraskan Islam tulisan Leny Luat. Buku tersebut mengandungi enam bab utama, iaitu Pengenalan Pengurusan Islam, Perkembangan Pengurusan Islam, Analisis Teori Pengurusan Insan Masa Kini, Isu Pengurusan Insan dalam Realiti Semasa, Analisis Strategi Pengurusan Sumber Manusia: Rujukan Khas Terhadap Pengaruh Persekitaran, dan Kaedah Pengurusan Ilahiyah.

Buku ini merupakan salah sebuah buku hasil kerjasama Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Buku yang yang mengupas kejadian asal insan untuk menangani isu-isu pengurusan insan dari perspektif Islam ini boleh dijadikan rujukan, terutamanya pada peringkat universiti, kolej dan pihak pengurusan untuk memperluaskan pengetahuan dan penambahbaikan pengurusan institusi. Buku ini juga sesuai dijadikan bahan bacaan umum kepada semua lapisan masyarakat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1054305
    Visit Today : 1250
    This Month : 2558
    Total Visit : 1054305
    Hits Today : 4296
    Total Hits : 4327814
    Who's Online : 13
  • Kategori