Oleh SITI NOORISA ABDUL KHLIL

Pada 30 Januari 2016, bertempat di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) telah diadakan program Bicara Anugerah Sastera Negeri Kelantan (ASNK). Program anjuran DBPWT ini diadakan dengan tujuan untuk menghimpunkan tokoh penerima anugerah, panel yang terlibat dalam ASNK, penulis, penggerak sastera dan wakil media untuk berdialog tentang ASNK yang telah diadakan pada 25 November 2015.

Acara ini dilihat sebagai wadah untuk menyalurkan ilmu kepada peserta melalui perkongsian tip penulisan. Selain itu juga, ruang yang diberikan oleh DBPWT ini bertujuan untuk menggalakkan peserta untuk mendengar serta berdialog dengan panel jemputan yang merangkap panel ASNK 2015. Hal ini bermatlamat untuk memantapkan lagi penganjuran ASNK pada masa akan datang, terutama dari segi pemilihan dan penilaian karya.

ASNK yang pertama telah diadakan pada tahun 2003. Pada masa itu, penerima Anugerah Sasterawan Negeri Kelantan ialah S. Othman Kelantan. Atas sokongan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak, DBPWT telah menganjurkan Anugerah Sasterawan Negeri Kelantan untuk kali yang kedua. Penerimanya ialah Dr. Fatimah Busu.

Penerimanya ialah Dr. Fatimah Busu

Dr. Fatimah Busu, Penerima Anugerah Sasterawan Negeri Kelantan kedua.

Acara yang dirasmikan oleh Pengarah DBPWT, Che Zainab Omar ini menampilkan empat orang panel, iaitu Dr. Fatimah Busu (penerima ASNK 2015), Dr. Mohd Hanafi Ibrahim (Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP merangkap ahli panel ASNK kategori kumpulan cerpen), Dr. Shamsudin Othman (ahli panel ASNK kategori puisi) dan Hamzah Hamdani (ahli panel ASNK kategori novel). Manakala Aminuddin Mamat bertindak sebagai moderator dalam acara tersebut.

Dalam acara tersebut, panel menegaskan bahawa dalam mengangkat karya untuk ASNK haruslah memiliki beberapa kriteria yang ditetapkan. Antaranya, melihat karya yang mempamerkan gaya pengucapan dan pemikiran yang selari dengan pemilihan diksi, pembentukan dan penyusunan bahasa, olahan, nada dan kesan yang menggambarkan kekuatan dan kemantapan penulis.

ASNK menampilkan panel (dari kanan): Dr. Mohd Hanafi Ibrahim (Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP merangkap ahli panel ASNK kategori kumpulan cerpen), Aminuddin Mamat selaku moderator, Hamzah Hamdani (ahli panel ASNK kategori novel) dan Dr. Shamsudin Othman (ahli panel ASNK kategori puisi).

ASNK menampilkan panel (dari kanan): Dr. Mohd Hanafi Ibrahim (Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP merangkap ahli panel ASNK kategori kumpulan cerpen), Aminuddin Mamat selaku moderator, Hamzah Hamdani (ahli panel ASNK kategori novel) dan Dr. Shamsudin Othman (ahli panel ASNK kategori puisi).

Selain itu juga, karya harus mengandungi mesej yang baik, serta memberikan motivasi yang membangkitkan semangat dan memupuk jiwa masyarakat dari segi kesempurnaan akal budi, penampilan sahsiah yang berhemah tinggi serta memiliki jati diri yang kuat. Di samping itu, penulis dinasihatkan agar mengemukakan tema yang relevan dengan zaman walaupun latar masa yang digunakan adalah masa lalu.

Menurut Hamzah, karya yang baik ialah karya yang berjaya mengangkat nilai tentang kemanusiaan dalam memacu kecemerlangan dan memperkasakan keutuhan kemanusiaan dalam menangani masalah kehidupan.

Pengiktirafan ASNK boleh dijadikan sebagai penggalak kepada penulis Kelantan dalam usaha melahirkan karya yang banyak dan berkualiti. Selain itu juga, acara ini dijadikan platform untuk melahirkan lebih banyak penulis, terutamanya dalam kalangan penulis muda.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1294401
    Visit Today : 825
    This Month : 2028
    Total Visit : 1294401
    Hits Today : 3568
    Total Hits : 5971353
    Who's Online : 18
  • Kategori