Oleh KHAIRUNNISA ISMAIL

 

Rancangan Kampung Baru merupakan sebahagian daripada pelan tindakan Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya British di Tanah Melayu pada pertengahan tahun 1950 untuk melumpuhkan pergerakan komunis di Tanah Melayu pada ketika itu. Rancangan Briggs mengambil sempena nama pegawai yang dipertanggungjawabkan melaksanakan rancangan tersebut, iaitu Leftenan Jeneral Sir Harold Rowdon Briggs.

Rancangan ini menempatkan penduduk Cina yang tinggal bertaburan di pinggir-pinggir hutan dan perkampungan ke kawasan penempatan baru yang boleh dikawal. Rancangan ini bertujuan menjamin keselamatan penduduk Cina daripada diancam, diperas ugut dan dipergunakan oleh pengganas komunis, melalui Min Yuen (Gerakan Rakyat) yang ditubuhkan oleh Parti Komunis Malaya untuk memberi maklumat dan membekalkan makanan serta ubat-ubatan kepada mereka. Melalui rancangan ini, seramai 470,509 orang penduduk setinggan Cina telah dipindahkan ke lebih kurang 440 buah kampung baru di seluruh Tanah Melayu.

Sehingga kini, terdapat 607 buah kampung baru dengan dua juta penduduk di seluruh negara. 450 buah daripadanya merupakan kampung baru tradisi dan selebihnya ialah rangkaian kampung bagan dan kampung nelayan yang digabungkan sekali dan majoriti penduduknya adalah orang Cina. Walaupun majoriti penduduk di kampung-kampung baru terdiri daripada orang Cina, namun kaum lain seperti kaum India, Siam dan orang asli juga merupakan sebahagian penduduk dalam kampung-kampung baru tersebut, contohnya seperti di Kampung Baru Behrang Stesen, Perak yang mempunyai kepelbagaian kaum.

Menurut Pengarah Bahagian Kampung Baru (BKB), Jabatan Perdana Menteri (JPM), iaitu Cik Tan Fee Cheng, masyarakat yang tinggal di kampung-kampung baru terutamanya orang-orang Cina mempunyai tahap pengetahuan dan komunikasi yang rendah dalam Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia. Kebanyakan daripada mereka bersikap pasif, skeptikal dan mempunyai rasa takut jika diminta bercakap dalam bahasa kebangsaan. Mereka hanya selesa berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka iaitu sama ada dalam bahasa Mandarin, dialek Hokkien, dialek Kantonis, dialek Hakka atau dialek bahasa Cina yang lain.

Antara para pelajar di SJK(C) Yong Peng 1 dan mahasiswa yang terlibat dalam menjayakan program Semarak Bahasa Kebangsaan di Kampung Baru 2015 ini.

Antara para pelajar di SJK(C) Yong Peng 1 dan mahasiswa yang terlibat dalam menjayakan program Semarak Bahasa Kebangsaan di Kampung Baru 2015 ini.

Oleh yang demikian, Yang Berhormat Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Bahagian Kampung Baru telah mengilhamkan dan mencetuskan idea program Semarak Bahasa Kebangsaan di Kampung Baru. Ini kerana beliau menyedari tentang kepentingan penggunaan dan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, terutamanya masyarakat Cina. Beliau telah mencadangkan kepada Bahagian Kampung Baru untuk melaksanakan program kebahasaan yang sesuai demi mendekati dan menarik minat penduduk-penduduk di kampung baru di seluruh Malaysia. Cadangan ini supaya masyarakat kampung baru lebih mengenali dan dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan lebih baik.

Yang Berhormat Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong merasmikan pelancaran program Semarak Bahasa Kebangsaan di Kampung Baru 2015 di SJK(C) Yong Peng 1, Kampung Baru Yong Peng, Batu Pahat, Johor.

Yang Berhormat Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong merasmikan pelancaran program Semarak Bahasa Kebangsaan di Kampung Baru 2015 di SJK(C) Yong Peng 1, Kampung Baru Yong Peng, Batu Pahat, Johor.

Sehubungan itu, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) telah diundang oleh Bahagian Kampung Baru untuk berganding bahu melaksanakan tujuan murni ini dengan harapan tinggi, iaitu menyemai rasa cinta dan menyemarakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan penduduk Kampung Baru seluruh negara. DBP diwakili oleh Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Bahagian Sistem Maklumat dan Bahagian Pengedaran dan Pemasaran telah ditugaskan untuk melaksanakan program tersebut. Program perintis dan majlis pelancaran telah dilaksanakan di SJK(C) Yong Peng 1, Kampung Baru Yong Peng, Batu Pahat, Johor pada 11 April 2015, dan perasmiannya disempurnakan sendiri oleh YB Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong.

Rentetan kejayaan majlis perasmian program ini, Bahagian Kampung Baru telah mengundang PDM dan Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP sebagai pelaksana utama untuk menghadiri mesyuarat bersama Bahagian Kampung Baru di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Mesyuarat penyelarasan kali pertama telah diadakan pada 29 April 2015 dan mesyuarat kali kedua dijayakan pada 7 Julai 2015. Mesyuarat ini bagi berbincang dan mencari kata sepakat agar niat murni ini dapat dilaksanakan di kampung-kampung baru seluruh Malaysia.

Hasil daripada mesyuarat ini, sebanyak sembilan buah kampung baru telah terpilih sebagai lokasi penganjuran program Semarak Bahasa Kebangsaan di Kampung Baru 2015 yang buat julung-julung kalinya diadakan. Mesyuarat yang turut dihadiri Pegawai Kemajuan Perkampungan (PKP) kampung baru ini sangat berhasil kerana mereka selaku wakil kampung-kampung baru amat berbesar hati menawarkan kampung mereka sebagai lokasi penganjuran program ini.

Kumpulan pancaragam SJK(C) Salak South menunjukkan bakat mereka dengan memainkan lagu "Jingkling Nona".

Kumpulan pancaragam SJK(C) Salak South menunjukkan bakat mereka dengan memainkan lagu “Jingkling Nona”.

Sembilan lokasi yang terpilih adalah di SJK(C) Pekan Nanas, Masai, Johor; SJK(C) Chien Chi, Plentong, Johor; SJK(C) Rasah, Seremban, Negeri Sembilan; Dewan Orang Ramai Kampung Baru Behrang Stesen, Perak; Kampung Baru Chepa, Kota Bharu, Kelantan; Dewan Orang Ramai Kampung Baru Salak Selatan, Kuala Lumpur; SJK(C) Sungai Lembing, Kuantan, Pahang; SJK(C) Kuala Bikam, Bidor, Perak dan Kampung Baru Permai, Machap Umboo, Alor Gajah, Melaka sebagai lokasi akhir dan juga majlis penutupan program Semarak Bahasa Kebangsaan di Kampung Baru 2015.

Matlamat pelaksanaan program ini adalah untuk memartabatkan penggunaan dan apresiasi Bahasa Kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia di samping memupuk semangat perpaduan dan mewujudkan keharmonian dalam kepelbagaian kaum.

Antara objektif program ini ialah mengajak dan menggalakkan pelajar berketurunan Cina dan masyarakat Cina Kampung Baru bersama-sama melibatkan diri dalam program kebahasaan dan persuratan Melayu, mewujudkan rasa cinta dan bangga akan bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan masyarakat Cina Kampung Baru serta meningkatkan tahap penguasaan bahasa dan penghayatan sastera kebangsaan dalam kalangan pelajar Cina dan masyarakat Kampung Baru.

Bahagian Kampung Baru telah bersetuju untuk memperuntukkan sejumlah dana bagi menggerakkan pelaksanaan program ini. Manakala pihak DBP bertindak sebagai penggerak dan pelaksana aktiviti-aktiviti berbentuk kebahasaan dan kesusasteraan serta pameran yang bersesuaian dengan tahap pemahaman masyarakat di kampung-kampung baru mengikut peringkat usia. DBP membiayai semua hadiah wang tunai kepada pemenang dalam setiap pertandingan.

Masyarakat desa dan pengunjung program Semarak Bahasa Kebangsaan di Kampung Baru Chepa, Kota Bharu, Kelantan mengunjungi Ujana Buku DBP yang turut serta terlibat dalam menjayakan program ini.

Masyarakat desa dan pengunjung program Semarak Bahasa Kebangsaan di Kampung Baru Chepa, Kota Bharu, Kelantan mengunjungi Ujana Buku DBP yang turut serta terlibat dalam menjayakan program ini.

Sebanyak lima aktiviti pertandingan dirangka dan dilaksanakan oleh Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, DBP di setiap lokasi kampung baru. Aktiviti tersebut ialah Dam Bahasa bagi orang dewasa, Deklamasi Puisi bagi pelajar sekolah menengah, Bercerita bagi pelajar sekolah rendah Tahap 2, Susun Kad Kata bagi pelajar sekolah rendah Tahap 1 dan Mewarnai Lukisan bagi pelajar prasekolah. Selain itu, PDM melaksanakan pameran, Bahagian Sistem Maklumat melaksanakan pameran PRPM dan Bahagian Pengedaran dan Pemasaran melaksanakan pameran dan jualan buku serta majalah melalui Ujana Buku.

Aktiviti-aktiviti tambahan di beberapa buah lokasi penganjuran program Semarak Bahasa Kebangsaan di Kampung Baru ini turut diadakan bergantung pada pengurusan Ahli Jawatankuasa Kampung Baru tersebut. Antara aktiviti-aktiviti lain yang dilaksanakan adalah persembahan-persembahan istimewa yang menjadi kekuatan dan lambang masyarakat setempat di lokasi tersebut seperti pertandingan nyanyian lagu Melayu, peragaan pakaian tradisional Melayu, persembahan sewang oleh masyarakat orang asli di Kampung Baru Behrang Stesen, tarian yoyo di SJK(C) Sungai Lembing dan pelbagai lagi persembahan menarik.

Program ini turut menyaksikan bakat terpendam beberapa Ahli Jawatankuasa Kampung Baru dan ketua-ketua Kampung Baru yang berusaha menunjukkan bakat dengan mempersembahkan pantun dan sajak. Di Kampung Baru Behrang Stesen turut diketengahkan deklamasi puisi oleh Munsyi Dewan cikgu Chai Loon Guan, manakala di Kampung Baru Sungai Lembing pula, seorang lagi sasterawan berbangsa Cina iaitu cikgu Teo Wei Sing telah mempersembahkan puisi beliau.

Para pelajar yang menyertai pertandingan dam bahasa dalam program Semarak Bahasa Kebangsaan di SJK(C) Yu Ming 1 & 2, Kampung Baru Pekan Nanas, Pontian, Johor.

Para pelajar yang menyertai pertandingan dam bahasa dalam program Semarak Bahasa Kebangsaan di SJK(C) Yu Ming 1 & 2, Kampung Baru Pekan Nanas, Pontian, Johor.

Sesungguhnya, sejak program Semarak Bahasa Kebangsaan di Kampung Baru ini dilaksanakan, sambutan yang diterima daripada masyarakat di kampung baru sangat menggalakkan. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) selaku Ketua Kampung dan para Ahli Jawatankuasa (AJK) di setiap kampung baru yang terlibat memberikan kerjasama yang sangat baik serta sokongan yang padu kepada aktiviti yang dilaksanakan.

Program ini telah menyemarakkan semangat penduduk kampung baru untuk berbahasa Melayu dan sedikit demi sedikit menghilangkan rasa skeptikal dan takut dalam diri mereka untuk berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Syabas diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan siri jelajah Semarak Bahasa Kebangsaan di Kampung Baru pada tahun 2015 yang lalu. Benarlah kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta, bila sudah kenal akan mula jatuh cinta. Slogan Bahasa Jiwa Bangsa tepat pada maknanya.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013989
    Visit Today : 18
    This Month : 33334
    Total Visit : 1013989
    Hits Today : 40
    Total Hits : 4136842
    Who's Online : 13
  • Kategori