teori dan kritikan

Tajuk Buku    :      Teori dan Kritikan Sastera Edisi Kedua

Penulis            :      Sohaimi Abdul Aziz

Terbitan         :      Dewan Bahasa dan Pustaka

Genre              :      Bahasa

Halaman        :    459 halaman

Pengulas     :      SOFIA HUMAIRA’

BUKU Teori dan Kritikan Sastera Edisi Kedua (2014) ini hadir dengan matlamat penulisnya iaitu Sohaimi Abdul Aziz untuk membuktikan tentang perkembangan pesat yang berlaku dalam kesusasteraan Melayu, khususnya dari aspek teori dan kritikan sastera. Sehubungan itu, buku ini dibahagikan kepada lapan bab, atau disebut sebagai “kelompok” oleh penulisnya. Penggunaan istilah “kelompok” menggantikan “bab” adalah disengajakan untuk memperlihatkan lapan bentuk kritikan dengan lapan fungsi yang berbeza antara satu dengan yang lain. Antara topik baharu yang termuat dalam edisi ini adalah seperti kritikan resepsi, rasa-fenomenologi dan kritikan fitrah. Bagi edisi ini juga, penyusunan bab telah dilakukan yang menjadikannya sedikit berbeza dengan edisi terdahulu. Penyusunan semula bab ini bertujuan menstrukturkan perbincangan dan sekali gus memantapkan kefahaman pembaca tentang konsep teks, sastera, teori dan kritikan sastera.

Apakah kepentingan buku ini? Menurut penulisnya, buku ini signifikan sejajar dengan peranan kritikan sastera itu sendiri, iaitu untuk menilai teks sastera secara objektif. Berdasarkan penilaian yang telus, teks yang dikritik akan mendapat manfaat dari segi peluang untuk memperbaiki kelemahan, dan seterusnya memantapkan lagi karya sastera akan datang. Ini secara tidak langsung diyakini menyumbang kepada kemajuan kesusasteraan Melayu. Lanjutan itu, penulis menggariskan beberapa ciri kritikan yang objektif, antaranya ialah penilaian yang telus, penggunaan teori dan pendekatan tertentu, dan penulisan yang berstruktur.

Seterusnya, seperti yang dijelaskan tadi, buku ini menampilkan lapan kelompok atau bab. Termasuk dalam “Kelompok Satu: Menyatukan Teks” ialah perbincangan tentang konsep close reading dan linguistik moden. Dalam tulisan berjudul “Close Reading dalam Kritikan Baharu dan Formalisme Rusia”, penulis antaranya memberikan tumpuan kepada konsep close reading dalam kritikan baharu dan formalisme Rusia. Kedua-dua pendekatan tersebut tergolong dalam kritikan moden, iaitu satu bentuk kritikan yang menyimpang daripada kritikan tradisional. Dalam konteks inilah, penulis menjelaskan perbezaan antara kritikan moden dengan kritikan tradisional. Menurut penulis, kritikan tradisional tertumpu pada soal latar belakang karya termasuklah latar belakang pengarang dan konteks sejarah yang melatari karya. Manakala, kritikan moden memberikan tumpuan sepenuhnya kepada karya tanpa melibatkan aspek-aspek di luar karya seperti sejarah, budaya dan latar belakang pengarang. Dalam perbincangan tentang dua konsep, iaitu close reading dengan formalisme Rusia, penulis turut membincangkan tentang hubungan yang erat antara Kritikan Baharu dengan Formalisme Rusia. Ini merujuk kepada fokus kedua-dua pendekatan tersebut iaitu kepada bagaimana sesebuah karya dibuat. Ini menjadikan bentuk kritikan ini bersifat objektif kerana memisahkan hubungan karya dengan pengarang dan pembaca. Dalam makna lain, karya dalam konteks close reading dan formalisme Rusia, dapat berdiri sendiri tanpa pengaruh pengarang dan pembaca.

Selanjutnya, “Kelompok Dua: Mencipta Teks” berfokus pada soal pembaca. Dalam konteks ini, latar belakang pembaca merupakan aspek penting dalam pemaknaan teks sastera. Termasuk dalam perbincangan tentang latar belakang pembaca yang akan menentukan makna teks ialah tahap pendidikan, pengalaman, pengetahuan dan kemampuan pembaca menanggapi teks sastera. Walaupun kritikan ini memberi kebebasan kepada pembaca melakukan interpretasi terhadap teks sastera, terdapat juga pendapat seperti yang dikemukakan Wolfgang Iser bahawa pembaca tidak mempunyai kebebasan mutlak dalam penginterpretasian teks sastera. Menurut penulis, kritikan yang berlegar pada soal peranan dan kebebasan pembaca ini mempunyai kelebihan dan kelemahan, khususnya tentang soal pengaruh teks terhadap pembaca. Bagi menjelaskan lagi tentang kritikan resepsi pembaca ini, kelompok ini turut hadir dengan subjudul antaranya, “Intertekstual Gestalt: Satu Kritikan Resepsi Pembaca”, “Rasa Fenomenologi: Kritikan Resepsi Pembaca dan Pengalaman Estetik”, dan “Ruang Sastera dalam Sangeetha: Kesan Metafiksyen dan Pengalaman Membaca”.

Seterusnya, “Kelompok Tiga: Membuka Teks” membincangkan tentang Strukturalisme dan Dekonstruksi, iaitu dua teori sastera Barat dan penerapannya dalam teks sastera khususnya sastera Melayu. Dalam kelompok ini, penulis menjelaskan tentang fungsi kritikan strukturalisme adalah untuk menemukan sistem tanda yang sering berubah dalam teks sastera. Subjektiviti sistem tanda dalam teks sastera ini mendorong kepada perubahan makna. Ini bermaksud, tiada makna yang kekal. Dalam perkembangan seterusnya, kegagalan kritikan pasca strukturalisme memberikan makna yang mutlak terhadap telah teks mendorong kepada kemunculan kritikan dekonstruksi. Melalui kritikan ini, bahasa disifatkan sebagai arbitrari dan justeru mewujudkan kontradiksi makna dalam teks sastera. Ini memungkinkan setiap teks diberikan makna baharu dan merobohkan makna yang lama. Antara subjudul dalam kelompok tiga ini ialah “Karya ke Teks: Percambahan Pemikiran Dekonstruktif” dan “Kritikan Dekonstruksi Meruntuhkan Teks”.

Seterusnya, “Kelompok Empat: Menjalinkan Teks dan Konteks” menekankan soal kepengarangan dan hubungannya dengan sejarah. Berhubung perkara ini, penulis menjelaskan bahawa kritikan historisisme menyumbang kepada satu cara yang terkini kepada pembaca untuk memahami teks sastera dan sejarah. Dalam konteks ini, teks sastera dan teks sejarah dilihat terbina daripada ideologi dan interpretasi pengarang. Ini menjadikan kedua-dua bentuk teks ini tidak mempunyai perbezaan. Walau bagaimanapun, penulis beranggapan bahawa kritikan historisisme baharu mempunyai kelebihan dari segi pendedahan pelbagai kompleksiti, kekecualian, penyimpangan, kelompongan dan anakronisme dalam pembinaan sesuatu sejarah. Dalam kritikan ini, pelbagai versi sejarah terbangun berdasarkan tujuan-tujuan tertentu. Perbincangan dan penerapan bentuk kritikan ini dapat diperhalusi dalam subjudul antaranya “Metafiksyen Historiografik Menjalin Cereka dan Sejarah”, “Kesusasteraan Pascakolonial: Reaksi Terhadap Kolonialisme” dan “Kearifan Tempatan: Senjata Menundukkan Wacana Kolonial”.

Dalam “Kelompok Lima: Menggenderkan Teks” pula, penulis membincangkan tentang kritikan feminis dan pascafeminis. Ini merangkumi perbincangan tentang gelombang-gelombang feminis di Barat yang bermula pada dekad 1960-an sehingga 2000-an. Menurut penulis, gelombang feminis pertama memperlihatkan wanita sebagai mangsa penindasan lelaki. Gelombang feminis kedua berusaha mendapatkan hak sama rata antara lelaki dan wanita. Manakala, gelombang feminis ketiga (pascafeminis) melihat kebergantungan wanita terhadap persamaan hak dengan lelaki sebagai suatu tindakan yang menimbulkan prejudis terhadap wanita itu sendiri. Kenyataan ini seterusnya mendorong kritikan feminis ketiga mencipta kelainan dan bukannya menuntut persamaan antara lelaki dan perempuan. Inilah yang mendorong kritikan feminis ketiga menerima dan mempromosikan pornografi yang ditentang oleh gelombang feminis pertama dan kedua. Gelombang feminis ketiga ini meruntuhkan dualisme dan mendorong kepada pembentukan nilai-nilai baharu tentang wanita. Bagi menjelaskan lagi hal ini, penulis menyediakan beberapa subjudul tentang kritikan feminis antaranya, “Pandora dalam TIVI: Satu Kritikan Feminis”, dan “Seksualiti dalam Saman dan Larung: Satu Kritikan Feminis Radikal”.

Selain lima kelompok seperti yang dibincangkan secara ringkas di atas, buku ini menyediakan “Kelompok Enam: Merohanikan Teks” yang berlegar pada soal kritikan fitrah dan unsur Islam dalam kritikan. Sementara itu, “Kelompok Tujuh: Menghijaukan Teks” tertumpu pada soal ekosistem dan manifestasinya dalam teks sastera, dan “Kelompok Lapan: Mendigitalkan dan Mentransformasikan Teks”, berfokus pada peranan media elektronik dalam perkembangan kesusasteraan. Berdasarkan lapan kelompok yang dikemukakan ini, penulis berharap pembaca dapat memahami teori dan seterusnya kritikan sastera. Kefahaman terhadap teori dan kritikan sastera diharapkan dapat mendorong pembaca bersikap bijak dalam menilai kemampuan karya sastera, sekali gus mendorong kepada penghasilan karya sastera yang bermutu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1057948
    Visit Today : 1135
    This Month : 6201
    Total Visit : 1057948
    Hits Today : 5943
    Total Hits : 4344726
    Who's Online : 9
  • Kategori