Oleh: HJH. ASMIAH HJ. AJAMAIN

Persembahan tarian oleh Kumpulan Penari JKKNS di luar Auditorium JKKNS.

Persembahan tarian oleh Kumpulan Penari JKKNS di luar Auditorium JKKNS.

Menjejaki sejarah pewujudan program tahunan Malam Bahasa Jiwa Bangsa ini, tidak dapat tidak program ini amat berkait rapat dengan program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang menjadi program negara yang disambut pada setiap bulan Oktober. Program Malam Bahasa Jiwa Bangsa dilaksanakan khusus sebagai salah satu program pengisian BBK untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri citra bangsa Malaysia, menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan, mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan dan menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.

Persembahan deklamasi puisi oleh remaja berlangsung di perkarangan JKKNS.

Persembahan deklamasi puisi oleh remaja berlangsung di perkarangan JKKNS.

Program Malam Bahasa Jiwa Bangsa Peringkat Negeri Sabah anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sabah (JKKNS) ini berlangsung dengan meriahnya pada 28 November 2015 di Auditorium Kompleks JKKNS. Persembahan penyampaian puisi dalam pelbagai jurnal dengan menampilkan pelbagai kaum dalam bentuk interaktif, ceria dan meriah menambah seri acara. Sasaran undangan bukan saja untuk penggiat bahasa dan sastera serta orang awam, malah juga diberikan juga ruang untuk golongan belia sebagai penerus warisan negara. Kumpulan Buskers diberikan kesempatan untuk turut sama terlibat menjayakan Malam Bahasa Jiwa Bangsa. Uniknya Malam Bahasa Jiwa Bangsa pada kali ini ialah ketibaan para tetamu disambut dengan pelbagai persembahan kesenian, seperti lagu puisi, deklamasi puisi dan tarian di luar Auditorium JKKNS.

Pelancaran Ujana Buku.

Pelancaran Ujana Buku.

Turut dilaksanakan semasa Malam Bahasa Jiwa Bangsa ialah Pelancaran Kedai Buku Bergerak DBP atau lebih dikenali sebagai Ujana Buku dan Pelancaran Kamus Bergambar Bahasa Kadazandusun-Bahasa Melayu (Edisi Murid Tahap 1) yang telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Pelancaran Kamus Bergambar Bahasa Kadazandusun-Bahasa Melayu (Edisi Murid Tahap 1)

Pelancaran Kamus Bergambar Bahasa Kadazandusun-Bahasa Melayu (Edisi Murid Tahap 1)

Tirai Persembahan Malam Bahasa Jiwa Bangsa dimulakan dengan Segmen 1 yang diisi dengan persembahan Isun-isun oleh Masroh Siadek. Gesekan biola dan alunan suaranya yang mengalunkan pantun bertemakan Bahasa Jiwa Bangsa amat memukau para hadirin. Selain itu, turut dipersembahkan ialah nanyian dan deklamasi puisi tiga dimensi oleh Dr. Fuad Bebit, Ramli Jusoh dan Jasni Yacob dengan tajuk puisi Macam-macam. Suasana diserikan lagi dengan lagu puisi oleh Maslinah Yusof.

Persembahan Isun-isun oleh Marso Siadek.

Persembahan Isun-isun oleh Marso Siadek.

Dalam Segmen 2, para undangan disajikan dengan persembahan bacaan puisi suku kaum Bajau oleh Nandra Hitong; Kadazandusun oleh Katarina Tati Sitaim dan Rungus oleh Raymond Majumah. Turut dipersembahkan ialah bacaan puisi bertajuk Anugerah Warisan Bangsa oleh Zaiton Haji Jasneh dengan iringan gerak silat oleh Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Sabah. Ditonjolkan juga Deklamasi Puisi Pelbagai Kaum dengan tajuk puisi Rumah Bangsa 1 Malaysia yang dijayakan oleh Normala Rasik, Puspha Chandran dan Kong Teck Sieng. Segmen 2 diakhiri dengan persembahan Dekon oleh Kumpulan Coretan Universiti Malaysia Sabah dengan tajuk Mahasiswa Jalanan.

Segmen 3 pula menampilkan para tetamu kehormat mendeklamasikan puisi, iaitu YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, YB Datuk Haji Mohamad Arifin Arif, YBhg. Datuk Raya Erom dan Encik Kamarul zaman Shaharudin Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP yang mewakili Ketua Pengarah DBP.

Deklamasi Puisi Oleh Encik Kamarul Zaman Shaharudin.

Deklamasi Puisi Oleh Encik Kamarul Zaman Shaharudin.

Kemuncak persembahan Malam Bahasa Jiwa Bangsa ialah Persembahan Deklamasi Puisi oleh Datu Ruslan Sulai dengan tajuk Bahasa Jiwa Bangsa. Acara ditutup dengan nyanyian lagu tema Bahasa Jiwa Bangsa yang diharapkan sebagai pembakar semangat seluruh warganegara Malaysia untuk terus mencintai bahasa kebangsaan. 1 Bahasa 1Bangsa 1 Negara! Bahasa Jiwa Bangsa!

Tetamu Kehormat bersama-sama Para Artis.

Tetamu Kehormat bersama-sama Para Artis.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036045
    Visit Today : 823
    This Month : 18644
    Total Visit : 1036045
    Hits Today : 3071
    Total Hits : 4249161
    Who's Online : 10
  • Kategori