Oleh MUHAMAD RAFIQ ABDUL RAHMAN

 “Jelajah Negara, Semarakkan Bahasa” merupakan slogan yang menggambarkan kerancakan aktiviti utama dalam merakyatkan bahasa kebangsaan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan. Acara yang telah digazet oleh kerajaan dan di rai pada setiap bulan Oktober ini berkonsepkan turun padang ke setiap negeri ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat juang khususnya rakyat di negara ini dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.

Kembara Bahasa ialah kegiatan simbolik pergerakan berkonvoi ke seluruh negara yang melibatkan masyarakat setempat dalam pelbagai kegiatan. Falsafah yang dijadikan landasan Kembara Bahasa ialah pergerakan dari pelbagai arah, pelbagai kelompok rakyat bergerak seiring menuju destinasi dan matlamat yang sama, iaitu pembentukan satu bangsa dan satu negara.

memperkenalkan kuih tradisional di Sering, Negeri Sembilan.

memperkenalkan kuih tradisional di Sering, Negeri Sembilan.

Tahun ini, pengisian utamanya ialah merakamkan kearifan tempatan dan kosa kata yang digunakan semasa melaksanakan aktiviti dan kerja yang berkaitan kearifan tempatan. Kembara Bahasa 2015 bermula dengan perasmian dan pelancaran Kembara Bahasa Peringkat Negeri Pahang di Kampung Gua, Kuala Lipis Pahang pada 1 Oktober 2015. Yang lebih mengujakan, Kuala Lipis yang dijadikan sebagai lokasi untuk memungut kearifan tempatan berjaya mempersembahkan lebih 21 jenis kuih tradisional.

Persembahan Awang Batil.

Persembahan Awang Batil.

Pada 2 Oktober pula, perakaman kearifan tempatan cerita Awang Batil telah dilaksanakan di Kampung Pokok Sena Chuping Perlis. Tidak cukup dengan aktiviti tersebut, pada 3 Oktober, program serentak melibatkan enam buah negeri, iaitu warisan adat dan budaya Orang Asli suku Jakun di Segamat Kecil Johor, perikanan laut di Pangkalan Balak Melaka, proses membuat kuih tradisional di Kampung Serting Ilir, Negeri Sembilan, mengoca di Hulu Langat, Selangor, Gayong Ota-ota di Marang Terengganu dan Main Puteri di Kota Baharu, Kelantan dijalankan.

Acara yang dilaksanakan secara berterusan ini diperhebatkan lagi pada 4 Oktober. Kali ini Perak menjadi lokasi untuk mencari kearifan tempatan yang melibatkan peserta dari tiga buah negeri di utara, iaitu Perusahaan Labu Sayong dan Pertukangan Besi di Kuala Kangsar Perak, Penternakan Lebah Kelulut dan Udang Galah di Ulu Legong, Baling, Kedah dan Seni Boria di Pulau Pinang.

Para peserta kembara sedang melihat proses membuat labu sayong di Kuala Kangsar, Perak.

Para peserta kembara sedang melihat proses membuat labu sayong di Kuala Kangsar, Perak.

Usai program yang direncanakan di peringkat negeri, semua peserta konvoi yang datang dari setiap penjuru negeri dikumpulkan di Kedah, yang juga tuan rumah untuk majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan. Pada 5 Oktober, sebelum aktiviti peringkat pusat dijalankan, perasmian Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Bahasa 2015 disempurnakan oleh Yang Berhormat Amiruddin Omar, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Kedah yang mewakili Menteri Besar Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Star Kedah.

Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Bahasa 2015 disempurnakan oleh Yang Berhormat Amiruddin Omar, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Kedah yang mewakili Menteri Besar Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Star Kedah.

Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Bahasa 2015 disempurnakan oleh Yang Berhormat Amiruddin Omar, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Kedah yang mewakili Menteri Besar Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Star Kedah.

Selesai majlis pelepasan, peserta dari seluruh negeri dibahagikan kepada empat kumpulan kecil untuk melaksanakan program kearifan tempatan peringkat kebangsaan khususnya di Kedah. Antara kearifan tempatan dan lokasinya termasuklah masakan Nasi Daging di Pendang Kedah, Kesenian Menora di Kampung Cheng Deng Kuala Nerang Kedah, Perikanan Laut Dalam dan Persisir Pantai di Kuala Kedah, dan Wayang Kulit Seri Asun di Jitra Kedah.

Selain mengumpul kearifan tempatan, para peserta turut mengadakan program Pantau Tegur Bahasa yang diadakan di Bandar Jitra, Kedah. Program ini bertujuan meninjau papan tanda, iklan-iklan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul ini mendapat respons yang cukup baik daripada peserta dan pemilik premis.

Bagi menyemarakkan lagi Kembara Bahasa, DBP mewujudkan portal iPintar untuk menempatkan maklumat kearifan tempatan rakyat Malaysia. Maklumat kearifan tempatan yang diperoleh daripada aktiviti Kembara Bahasa ini akan ditempatkan dalam iPintar. Tidak ketinggalan, portal eBorneo yang menghimpunkan maklumat kearifan tempatan di Borneo yang akan melibatkan Sabah, Sarawak, Kalimantan dan Brunei turut diwujudkan.

Malah, kosa kata yang diperoleh semasa melaksanakan aktiviti Kembara Bahasa akan dirakamkan dalam Gerbang Kata DBP. Pantau Tegur Bahasa yang dilaksanakan dalam Kembara Bahasa ini pula akan dirakamkan melalui Perkhidmatan Pantau Tegur Bahasa DBP. Sememangnya, gabungkan portal iPintar, eBorneo, Gerbang Kata dan pelbagai inisiatif lain selepas ini dengan perkhidmatan dalam talian yang telah tersedia di DBP seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Khidmat Nasihat Bahasa, Khidmat Pengesahan Bahasa, eJurnal, eTesis dan lain-lain, serta kerjasama pintar dengan pelbagai pihak akan mewujudkan eBuana yang merupakan Pusat Rujukan Sehenti Persuratan Melayu.

Persembahan oleh peserta Kembara Bahasa.

Persembahan oleh peserta Kembara Bahasa.

Kemuncak Kembara Bahasa ialah Majlis Teguh Bahasa yang diadakan pada malam 7 Oktober. Acara yang mengumpulkan lebih 250 orang peserta dengan 70 buah kenderaan ini sebagai simbolik kepada penyataan ikrar bersama-sama dalam memperjuangkan bahasa dan sastera kebangsaan. Bagi Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan, pelibatan masyarakat secara langsung mahupun tidak langsung dalam program ini menunjukkan bahawa bahasa kebangsaan merupakan agen pemersatu yang paling berjaya di negara ini.

Kembara Bahasa bukanlah acara “Cuti-cuti Malaysia” yang bertujuan untuk menikmati keindahan pemandangan semata-mata. Semestinya peserta perlu membuat pengamatan, pencerapan dan penggarapan tentang keindahan bahasa kebangsaan di samping bersama-sama dengan masyarakat setempat melaksanakan aktiviti menggali kearifan setempat yang merupakan sebahagian daripada khazanah bangsa.

Walaupun negara sudah lebih 58 tahun mencapai kemerdekaan, namun kemantapan bahasa kebangsaan dalam sistem bernegara masih perlu terus ditingkatkan. DBP yang diamanahkan oleh kerajaan untuk membina dan memperkembangkan penggunaan bahasa kebangsaan akan terus melaksanakan program memartabatkan bahasa tersebut agar terpamer jati diri dan citra bangsa Malaysia.

Sebuah negara yang berdaulat pastinya mempunyai bahasa kebangsaan yang menjadi salah satu teras dalam kehidupan bernegara. Unsur bahasa menjadi salah satu faktor penting dalam pembentukan negara bangsa. Menjadi harapan semua rakyat, bahawa pada saat kita mencapai taraf negara maju pada tahun 2020, kita tidak hanya maju dalam bidang pembangunan fizikal bahkan dalam pembangunan kerohanian yang meliputi bahasa dan persuratan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045037
    Visit Today : 1458
    This Month : 27636
    Total Visit : 1045037
    Hits Today : 5405
    Total Hits : 4290378
    Who's Online : 11
  • Kategori