Oleh ZA’ABAIE HJ SHUAINI

 

SEJARAH terlakar dalam buku catatan Persatuan Penulis Utara Sarawak atau nama singkatannya PUTERA apabila buat julung kalinya Sasterawan Negara (SN) Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh sudi meluangkan masa datang jauh dari tanah Semenanjung untuk berandau dengan kerabat PUTERA dan khalayak sastera di utara Sarawak dalam acara “Randau Bersama Sasterawan Negara” dan “Malam Puisi”. Acara yang diadakan pada 07 November 2015 yang lalu di Pustaka Negeri Sarawak, Miri (Pustaka Miri) dihadiri oleh Yang Berbahagia Datuk Abang Sallehudin Abang Syukran, Pengarah Jabatan Pengembangan Sastera dan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Yang Berusaha Dr. Hazami Jahari, Pengarah DBP Cawangan Sarawak (DBPCS) dan lebih kurang 30 orang kerabat PUTERA, penulis, pengarang, penyair, pensyarah IPGM Kampus Miri, pelajar, pencinta dan penggiat kesusasteraan Melayu di bandar raya Miri. Meskipun berlangsung dalam suasana yang amat sederhana, acara anjuran bersama DBP dan Pustaka Miri dianggap satu acara kesusasteraan yang berjaya dalam pembangunan sastera di Miri.

Ahli PUTERA bergambar kenangan bersama-sama Sasterawan Negara Muhammad haji Salleh.

Ahli PUTERA bergambar kenangan bersama-sama Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dan tetamu kehormat yang lain.

Kesudian SN Muhammad Hj. Salleh menerima jemputan PUTERA untuk berandau di utara Sarawak merupakan satu penghormatan kepada semua kerabat PUTERA khasnya dan khalayak sastera di Miri amnya. Peluang keemasan yang mungkin hanya datang sekali dipergunakan sepenuhnya untuk menimba sebanyak yang boleh ilmu kepengarangan. SN yang kaya dengan ilmu kepenyairannya itu merupakan seorang pujangga dan bijak pandai bangsa. Beliau telah menghasilkan begitu banyak puisi dan tulisan ilmiah yang bernilai dan bermutu tinggi isi dan pengucapannya.

“Bahasa kebangsaan penting dalam konteks pembinaan Negara bangsa kerana berkait dengan persoalan idealogi, nasionalisme, integrasi nasional dan identiti nasional bahasa Melayu yang telah dipilih sebagai bahasa rasmi dan menjadi wadah komunikasi yang memupukkan perpaduan kaum dan seterusnya pemangkin kepada pembangunan negara. Salah satu daripada wadah penting untuk mengembangkan dan memartabatkan bahasa ialah sastera, yang merupakan seni berbahasa yang menghantar tamsil dan makna kepada masyarakat. Tetapi ada waktunya masyarakat tidak mengenali secara dekat para penulis dan sasterawan serta tidak dapat menangkap sepenuhnya kias dan tanda yang dihantarkan oleh mereka.” Begitulah kata-kata Sdr. Zainal Abidin Hj Suhaili @ Abizai, Ketua Satu PUTERA dalam ucapan alu-aluannya.

 Sdr. Zainal Abidin Hj Suhaili @ Abizai, Ketua Satu PUTERA ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Sdr. Zainal Abidin Hj Suhaili @ Abizai, Ketua Satu PUTERA ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Khalayak yang dihidangkan dengan karya yang pelbagai genre kebiasaannya hanya mengenali nama pengarang tanpa mengenali siapa penulisnya secara dekat. Menurut Abizai lagi, “salah satu daripada usaha untuk menambahkan pengenalan, kefahaman dan penghayatan khalayak terhadap sasterawan dan karya sastera ialah dengan mengadakan acara randau bersama SN atau pengarang, di samping mendekatkan penulis kepada khalayak pembaca.”

Dengan adanya kunjungan sambil berandau dalam sesuatu acara, penulis dan khalayak sastera akan dapat mengenali diri sesama mereka. Bertemu sendiri pengarang yang menjadi idola akan membantu seseorang penulis untuk mempertingkatkan lagi karya mereka. Pendedahan dalam genre yang diceburi atau apa sahaja ilmu kepengarangan yang diturunkan akan menjadi ilmu bantu dalam menghasilkan sesuatu karya sastera. Kata-kata atau pengucapan yang disampaikan boleh menjadi azimat dan bekalan untuk melangkah jauh dalam dunia sastera.

Di Bendul Dunia Penulisan, ceramah SN yang dipengerusikan oleh Sdr. Poul Nanggang semasa sesi randau memperkatakan tentang perjalanan beliau dalam dunia kepengarangan yang bermula dengan sastera Inggeris di Brinsford, England pada tahun 1963 – 1964. Pada ketika itu, beliau cenderung menghasilkan sajak-sajak tentang alam yang berlatarkan perpisahan, serangan dan pengalaman dunia baru England. Untuk memantapkan diri dalam penguasaan bahasa Inggeris, beliau menonton dan mendengar rancangan BBC, berkawan dengan penulis serta menjadi “hantu buku” di kedai buku.

Muhammad Haji Salleh ketika sesi Randau Bersama Sasterawan Negara.

Muhammad Haji Salleh ketika sesi Randau Bersama Sasterawan Negara.

Untuk menjadi seorang pengarang, seseorang itu harus lebih sensitif daripada orang lain, punya pendirian sendiri, suka, peka – bahasa dan bunyi, perenung/pemikir, sedikit terpisah untuk melihat masyarakat – bukan dari tengah-tengah dan perlu ada khalayak seni/sastera yang menyokong serta membantu.

Persediaan untuk memasuki dunia penulisan harus ada proses penulisan, persediaan dan pembacaan yang merangkumi jenis bahan bacaan, penyelidikan, temuduga dan pengalaman peribadi.

Latihan sendiri, membandingkan diri dengan karya lain/orang lain, memperlihatkan karya kepada orang lain, berguru secara tidak formal/formal, bersama kumpulan kritikan dan kumpulan pengarang siber – esastera merupakan langkah yang harus diambil dalam proses penulisan.

Manakala dalam proses pembacaan, seseorang penulis harus membaca sesuatu bahan bacaan yang agak meluas seperti majalah yang boleh membawa pemikiran dan suratkhabar yang canggih yang boleh membuat penulis berfikir dan berpendirian. Cari dan baca karya yang pelbagai bahasa dan juga terjemahan Melayu/Indonesia dan Inggeris untuk mendalami ilmu.

Mengambil contoh karya yang baik untuk dijadikan panduan memungkinkan seseorang penulis menjadi seorang penulis yang berjaya. Susunan idea, cara mengarang, elakkan tulisan yang klise, kata-kata basi – kata-kata yang sering digunakan dalam penulisan, eksperimen dengan bentuk seperti genre yang bercampur, dunia ceritera yang berbagai, pengeditan, perbincangan karya, bagaimana mencari penerbit dan mengekalkan kepengarangan dibicarakan serta diturunkan ilmu kepada semua hadirin yang ada.

“Malam Puisi Sasterawan Negara” yang dihadiri oleh hadirin yang sama mengisi acara di sebelah malamnya. Acara yang cukup santai tanpa dihadiri oleh golongan yang bergelar “VIP” diceriakan dengan pengacara yang petah berkata-kata, Sdr Poul Nanggang, Ketua Dua PUTERA. Dengan pengucapan dan tutur kata yang dilontarkan tanpa protokol memudahkan beliau untuk mengacarakan majllis dengan bersahaja sambil bergurau senda dengan para hadirin yang menghadiri majlis.

Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka turut mendeklamasikan puisi.

Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka turut mendeklamasikan puisi pada Malam Bersama Sasterawan Negara.

Tarian ngajat dari suku kaum Iban yang dipersembahkan oleh dua orang gadis cilik berketurunan Iban dari Kelab Penari Sekolah Kebangsaan Temenggong Datuk Muip, Miri memulakan acara pada malam tersebut dan disusuli dengan bacaan doa, untuk memberkati majlis yang sedang berlangsung. Acara diserikan dengan baca puisi oleh beberapa orang kerabat PUTERA seperti Sdr. Siti Rokiah Metali, Sdr. Zainuddin Ibrahim, Sdr. Frankie Latit, Sdr. Hipani Alwi, mantan ahli PUTERA yang datang jauh dari Mukah, Sdr. Zainal Kasan, Pensyarah IPGM Kampus Miri, SN sendiri, penampilan khas Datuk Abang Sallehudin, Dr. Hazami Jahari, lagu puisi masing-masingnya oleh Abizai dengan lagu puisi gubahan beliau sendiri berjudul “Terima Kasih Kekasih” dan Sdr. Jaya Ramba serta syair oleh Sdr. Mohamad Faizal Jamil.

SN diberi penghormatan untuk melancarkan buku kumpulan cerpen terbaharu karya Sdr. Abang Median Abang Said yang berjudul “Kukembalikan Namamu”. Pelancaran penuh simbolik itu yang diiringi bacaan puisi oleh pengarang sendiri, memberi makna besar kepada beliau di mana kesempatan bersama SN tidak dilepaskan begitu sahaja. Seperti mulanya, acara diakhiri dengan tarian ngajat dari suku kaum Iban oleh dua orang gadis yang sama.

Penulis bergambar kenangan bersama-sama Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh.

Penulis bergambar kenangan bersama-sama Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh.

Bertemu, berandau dan membaca puisi bersama SN bukan acara yang mudah untuk dicapai. Jika bukan kerana kesudian dan rasa rendah diri SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh, mustahil PUTERA dan rakan penganjur acara “Randau Bersama Sasterawan Negara” dan “Malam Puisi” menemui kejayaan. Semoga segala ilmu dan pengalaman yang dikongsikan dapat memanfaatkan semua hadirin yang hadir dan akan menjadi sumber inspirasi kepada semua kerabat PUTERA untuk menghasilkan karya yang bermutu tinggi.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049826
    Visit Today : 671
    This Month : 32425
    Total Visit : 1049826
    Hits Today : 4097
    Total Hits : 4308858
    Who's Online : 12
  • Kategori