Oleh WAN NORASIKIN WAN ISMAIL

Kucing ialah haiwan peliharaan yang sangat jinak dan manja serta haiwan yang paling akrab dengan kehidupan manusia. Malahan keakraban kucing dengan manusia kadang kala melebihi hubungan sesama manusia. Kucing merupakan haiwan yang banyak berjasa kepada manusia. Selain daripada teman di kala sunyi, tempat meluahkan perasaan dan jika kehilangan haiwan ini boleh menyebabkan kehidupan seharian manusia berubah. Rasulullah SAW amat menyayangi binatang dan  pernah memberi gelaran kepada Abd al-Rahman Ibn Sakhr Al-Azdi sebagai “Abu Hurairah” yang bererti bapa anak-anak kucing kerana sikapnya yang sangat menyayangi kucing. Selain daripada itu ada kisah seorang wanita yang telah mengurung seekor kucing. Kucing tersebut telah mencakar tangan wanita itu. Oleh kerana amat marah kucing tersebut tidak diberi makanan dan minuman. Akhirnya Allah menjatuhkan balasan yang buruk ke atas wanita itu kerana perbuatannya itu. Menurut Raminah (2003) dalam bidang sains perubatan, kajian saintifik telah membuktikan bahawa orang yang memelihara dan menjadikan kucing sebagai teman kurang menghadapi masalah tekanan darah tinggi dan masalah kolesterol yang tinggi dalam darah. Tekanan yang dihadapi dapat diluahkan melalui belaian dan usapan manja sang kucing. Namun begitu, haiwan ini juga boleh mendatangkan masalah kepada sesetengah penghuni rumah jika membuang najis merata-rata. Sifat kucing yang suka menyelongkar tong sampah juga menjadikan kucing tidak digemari oleh sesetengah orang.

Bagi masyarakat Melayu, kucing sering kali dijadikan fokus dan perhatian dalam membuat perbandingan dengan manusia. Contohnya perlakuan kucing seperti berjalan, melompat berlari dan sebagainya menjadi pemerhatian kepada masyarakat dahulu dalam mencipta peribahasa. Pelbagai simpulan bahasa tentang jenis kucing yang diberi pengelasan oleh masyarakat Melayu antaranya adalah seperti jadual berikut:

 Bil. Jenis kucing                  Maksud
 1. Kucing jalang Kucing yang tidak dipelihara orang
 2. Kucing kurap Orang hina yang suka bergelandangan
 3. Kucing kerung Orang yang berani dan ganas
 4. Kucing miang Terlalak-lalak membuat bising pada waktu malam
 5. Kucing biang Keadaan berkeluh kesah
6. Kucing Belanda Arnab
 7. Kucing manja Orang yang minta belas kasihan
 8. Kucing pekak Perangkap tikus
 9. Kucing negeri Kucing yang dipelihara
10. Kucing garung Kucing hutan

JWH Wee Sew (2009) berpendapat dari sudut budaya bahasa, tabiat buruk kucing telah diterapkan dengan jelas ke dalam peribahasa. Menurut Raminah (2003) sifat kucing yang berpura-pura baik menjadi ilham kepada orang Melayu dalam mencipta peribahasa. Contohnya senyum-senyum kucingmerupakan senyuman yang mengandungi muslihat. Malu-malu kucing pula seseorang yang berpura-pura malu tetapi mahu. Di sebalik sifat malu kucing ini ada sifat masyarakat kita yang nampak baik tetapi tidak boleh dipercayai seperti peribahasa bagai kucing dengan balur, bagai kucing dengan ikan dan bagai kucing dengan panggang. Ketiga-tiga peribahasa ini merupakan kelemahan kepada kucing berkaitan sesuatu yang disukainya seperti ikan dan panggang. Begitu juga dengan sifat manusia yang akan kalah dengan godaan terutamanya yang berkaitan dengan perempuan. Peribahasa ini dimaksudkan juga dengan hubungan antara lelaki dan perempuan yang tidak boleh dipercayai. Jika berdekatan lambat laun akan terjadi perkara yang tidak baik seperti peribahasa berkucing-kucing, berburu kucing di dapur dan kucing menyembunyikan kuku, terlihat panggang berubah laku. Dalam peribahasa ini kucing merupakan haiwan yang mempunyai kuku yang tajam yang digunakan untuk mencakar mangsanya seperti tikus dan mempertahankan diri. Kucing jarang menunjukkan kukunya kecuali apabila keadaan terdesak. Panggang pula ialah sejenis makanan yang dibakar dengan api dan disepit dengan buluh. Makanan yang dipanggang biasanya ikan dan merupakan makanan  kegemaran bagi kucing. Haiwan ini merupakan haiwan yang baik dan manja namun apabila ia berjumpa dengan makanan kegemarannya sifat tadi akan berubah menjadi sebaliknya. Peribahasa ini memberi gambaran tentang perangai seseorang yang jahat peribadinya memperlakukan dirinya seperti orang baik-baik sementara belum bertemu dengan kegemarannya iaitu apa yang diidamkannya.

Selain itu perbuatan sia-sia dilambangkan dengan peribahasa menanti kucing bertanduk. Kucing sudah diketahui umum sejenis haiwan yang manja dan jinak. Menantikan kucing bertanduk. Sifat semula jadi haiwan ini tidak mempunyai tanduk seperti rusa ataupun kerbau. Tanduk biasanya digunakan untuk mempertahankan diri daripada musuh. Kucing hanya menggunakan kuku kakinya untuk mencakar itu pun jika terdesak. Menantikan kucing tumbuh tanduk di kepala adalah sesuatu yang mustahil dan tak mungkin akan terjadi kerana genetik spesies ini tidak mempunyai tanduk. Ini merupakan sindiran kepada sesuatu perbuatan yang mustahil atau tidak mungkin akan berlaku. Bagai mengail kucing hanyut juga merupakan perbuatan yang sia-sia kerana kucing yang hanyut tidak akan menangkap kayu yang dihulurkan kerana kucing tidak akan berpaut pada kayu yang dihulurkan kerana ia takut jatuh ke dalam air. Peribahasa bagai kucing menjemput api pula menggambarkan usaha yang tidak mendatangkan apa-apa hasil malahan alat yang digunakan pula turut hilang.

Memang menjadi tabiat haiwan mempunyai tabiat makan yang buruk begitu juga dengan kucing. Bagai kucing buruk makan menggambarkan sikap pelahap ketika makan manakala bagaikan kucing muka calar menunjukkan orang yang comot dan tidak tahu menjaga kekemasan diri. Bagai kucing buruk tidur pula berkaitan orang yang selalu tidur mati. Peribahasa berak-berak kucing pula gambaran orang yang cepat berubah air muka seperti orang yang tidak waras. Biarpun kucing naik haji, pulangnya mengiau juga menunjukkan sifat buruk seseorang yang sukar di ubah. Dalam budaya Melayu orang yang telah menunaikan ibadah haji adalah orang yang telah melakukan perubahan daripada kurang baik kepada sikap yang lebih baik serta berazam tidak akan mengulangi lagi segala perbuatan jahat. Namun begitu dalam peribahasa ini menunjukkan bahawa sifat buruk yang ada pada seseorang tidak dapat diubah walaupun telah bertaubat tetapi kembali kepada perangai asal. Samalah seperti perangai kucing walau ke mana di bawa sekalipun apabila pulang ke rumah ia tetap mengiau juga. Selain itu percakapan seorang perempuan yang bercakap dengan suara yang terlalu keras tidak ubah seperti kucing biang yang suka terjerit-jerit tanpa rasa malu malahan mengganggu orang lain terutamanya pada waktu malam. Kucing biang ini bersikap demikian kerana ingin menarik perhatian pasangannya untuk mengawan. Sebab itulah orang yang sedang berahi akan perempuan akan hilang perasaan segan dan malunya tidak ubah seperti tak akan aib kucing.

Bagai kucing kehilangan anak pula memberi gambaran orang yang berada dalam kebingungan ataupun hilang akal. Kucing yang kehilangan anak akan mencari anaknya sambil mengiau-ngiau ke hulu dan ke hilir sehinggalah anaknya ditemui. Perbuatan kucing ini akan mengambil masa berhari-hari. Bayangkan sifat manusia pula, sedangkan haiwan sayangkan anaknya bagaimana pula sikap manusia yang sanggup membuang zuriat yang dianugerahkan oleh Allah tanpa ada perasaan belas kasihan. Seperti kucing berakkan rambut menerangkan keadaan orang yang terlalu susah atau sakit dan terkejar-kejar seperti kucing jatuh anak pula membawa makna tergopoh-gopoh kerana sesuatu kesusahan manakala seperti kucing keguguran menunjukkan suatu keadaan yang keluh kesah dan termakan kucing mati bermaksud orang yang dituduh dengan sesuka hati.

Untuk mengajar dan memberi hukuman kepada kucing, penggunaan lidi amat berkesan. Kucing amat takut dengan lidi. Haiwan ini akan lari lintang pukang apabila dibawakan lidi seperti dalam perumpamaan bagai kucing dibawakan lidi yang menggambarkan perasaan takut tentang sesuatu.  Betapa takutnya tikus kepada kucing digambarkan dalam peribahasa kucing lalu tikus tidak berdecit lagi. Orang yang berkuasa atau seorang ketua akan digeruni oleh anak buahnya. Perbuatan bersuka ria oleh pekerja apabila ketua tidak ada diibaratkan seperti kucing pergi tikus menari dan tikus menari apabila kucing tiada gigi. Kekuatan dan kehebatan kucing adalah berkait dengan misainya yang diibaratkan sebagai kuasa. Kehilangan kuasa dan hilang martabat menyebabkan seorang ketua dan pemimpin tidak lagi disegani samalah seperti kalau kucing tidak bermisai, tak akan ditakuti tikus lagi. 

Segala perbuatan kucing menjadi perhatian contohnya peribahasa seperti kucing di atas titian. Kucing yang meniti titian akan berjalan dengan berhati-hati. Kuku kakinya akan mencengkam titi dan kucing akan berjalan dengan perlahan-lahan. Keadaan ini menggambarkan orang yang berada dalam keadaan bimbang atau takut ditimpa bahaya.  Berbeza pula dengan kucing di atas tembok yang membawa makna orang yang mempunyai dua tugas tetapi tidak tahu akan tugas yang harus diberi tumpuan. Raminah (2003) dalam artikelnya mengulas tentang cara kucing berjalan. Cara kucing berjalan iaitu catwalk merujuk kepada peragawati yang berjalan di atas pentas peragaan. Begitu teratur dan kemas menyusun langkah.

Namun begitu kucing mempunyai kehebatan dan ketangkasannya dalam melakukan sesuatu. Contohnya seperti dalam peribahasa bagai kucing bermain daun dan duduk seperti kucing, melompat seperti harimau. Jika diperhatikan, kucing akan menunjukkan kecergasan dan ketangkasannya dalam bermain daun. Daun itu akan ditampar, dicakar dan pelbagai cara dibuat dengan daun itu sehinggakan terguling-guling kucing tersebut beraksi.  Gambaran orang yang hidup senang dan mewah pula terdapat dalam perumpamaan bagai kucing tidur di bantal. Sudah menjadi kebiasaan kucing biasanya akan tidur di muka pintu rumah atau di  dapur untuk menangkap tikus  tetapi jika kucing tidur di bantal ini memberi gambaran istimewanya kucing ini daripada kucing biasa. Kucing biasanya akan berehat pada waktu siang dan berjaga pada waktu malam. Mengikut kepercayaan orang dulu-dulu kucing yang membasuh muka di hadapan pintu menandakan ada tetamu yang akan datang bertandang ke rumah. Selain menjaga rumah salah satu fungsi kucing dipelihara ialah untuk  menangkap tikus. Perangkap tikus juga dinamakan kucing pekak kerana perangkap tersebut bukan benda hidup. Kucing amat peka dengan pergerakan tikus. Sesungguhnya kucing mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam memburu mangsanya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046798
    Visit Today : 414
    This Month : 29397
    Total Visit : 1046798
    Hits Today : 915
    Total Hits : 4295717
    Who's Online : 17
  • Kategori