Oleh NUR HIDAYAH ISMAIL

Bahasa baku bahasa bermutu. Perlu dipelajari, dijiwai sehingga diwarisi. 

JEREBU hanya singgah di Negara kita hanya sekejap sahaja. Namun, begitu ramai orang sibuk bersoal jawab, mengeluh malah mengutuk punca jerebu. Cuba kita soal diri kita sendiri. Jika jerebu tidak menyapa Negara kita, adakah kita akan ambil peduli berita jerebu yang singgah di Negara lain? Betapa meriah masyarakat hari ini memandang isu jerebu. Jika ditampilkan isu bahasa baku, adakah masyarakat di Negara ini akan sibuk bersoal jawab dan membincangkan isu berkenaan?

Sepanjang pemerhatian saya sebagai seorang penulis, pembaca dan pemerhati, kewujudan bahasa baku sejak dahulu tidak meriah seperti kehadiran jerebu yang menyapa Negara kita baru-baru ini. Bahasa baku yang sudah lama ditekankan dalam pendidikan bahasa hanya dipandang sebelah mata. Segelintir masyarakat kita bukan sekadar tidak mempelajari bahasa baku malah bahasa baku diperlekeh tanpa perasaan serba salah. Bahasa baku juga dianggap bahasa asing yang dirasakan geli apabila singgah di gegendang telinga masyarakat yang tidak menguasai bahasa baku.

Terdapat beberapa peristiwa yang mengundang rasa sedih jauh di sudut hati saya mengenai bahasa baku yang diperlekeh segelintir masyarakat. Antaranya adalah ketika saya menghadiri majlis pengucapan awam di sebuah tempat, jelas kedengaran pengacara majlis menyebut perkataan ‘agen’ menggunakan bahasa baku. Ketika itu juga jelas kedengaran suara beberapa orang di sekeliling saya yang mengajuk perkataan yang diutarakan oleh pengacara majlis. Mereka menyebut perkataan ‘agen’ sebagai ‘ajen’ sambil ketawa kecil seolah-olah pengacara majlis telah membuat kesilapan sedangkan perkataan yang disebut adalah betul menurut bahasa baku.

Pernah saya menjawab soalan beberapa orang rakan yang bertanya mengenai perkataan ‘agen’ dan ‘generasi’ menggunakan teknik menjawab menggunakan soalan. Saya menunjukkan sebaris perkataan yang saya tulis pada sehelai kertas iaitu ‘gigi’. Saya bertanya, “Macam mana awak sebut perkataan ini?” Ringkasnya, soalan yang saya ajukan membuatkan rakan saya berfikir tanpa bertanya semula mengenai soalan mereka sebelum ini. Sehubungan dengan itu, jika perkataan ‘agen’ disebut sebagai ‘ajen’ atau perkataan ‘generasi’ disebut sebagai ‘jenerasi’, maka cubalah sebut perkataan ‘gigi’ sebagai ‘jiji’. Jelas di sini bahawa penguasaan bahasa baku sangat penting untuk kehidupan seharian.

Saya akui setiap orang perlu menguasai bahasa baku. Saya juga begitu. Setiap hari malah setiap saat kita sentiasa belajar. Sungguhpun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan, namun sejauh manakah bahasa baku dituturkan oleh masyarakat kita pada hari ini? Jauh di sudut hati saya, setiap orang perlu meneroka. Ya, meneroka bahasa. Hal ini kerana, jika kita tidak meneroka bahasa, maka kita akan mencemarkan bahasa. Kadang kala timbul di hati kita untuk menyindir seseorang yang menyebut bahasa baku sehingga kita tidak sedar bahawa bahasa baku diperlekeh oleh diri kita sendiri.

Tuntasnya, marilah kita meneroka bahasa baku. Bercakap dengan menggunakan bahasa baku sehingga kita biasa dengan bahasa baku. Selain itu, biasakan diri kita menulis teks dan berkomunikasi dengan menggunakan bahasa baku. Cara terbaik mengelakkan bahasa baku diperlekeh adalah dengan meneroka dan menanam bahasa baku dalam diri kita sendiri. Jika tiada orang yang meluah perasaan mengenai bahasa baku yang diperlekeh, samalah halnya seperti kita turut sama memperlekeh bahasa kita sendiri.

Jika bahasa baku diperlekeh, tiang bahasa hanya menanti masa untuk tumbang.

Jika bahasa baku dijiwai, tiang bahasa akan kukuh hingga generasi akan datang.

  1. MOHD. REDZWAN BIN ABDUL MAJID says:

    Ada pihak yang mengatakan bahawa perkataan-perkataan seperti contoh yang dikemukakan di atas, iaitu ‘agen’ dan ‘generasi’ merupakan perkataan yang diserap daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu.
    Oleh hal yang demikian, unsur utama, yakni bunyi suku kata perkataan-perkataan tersebut perlulah dikekalkan bagi menghormati bahasa asal untuk perkataan tersebut. Hanya sedikit modifikasi dilakukan terhadap perkataan tersebut agar bersesuaian dengan lidah Melayu. Namun begitu, sebagai pengguna bahasa, kita perlulah mengenali bahasa kita terlebih dahulu lantas mampu menajamkan kebolehan untuk mengenal pasti perkataan-perkataan yang diserap bagi mengelakkan isu yang ditimbulkan penulis di atas.

    Apakah pandangan saudari?

  2. Nur Hidayah Ismail says:

    Terima kasih kerana saudara sudi memberikan pendapat.
    Boleh terangkan dengan lebih terperinci mengenai “pihak” yang saudara maksudkan itu?

    Terima kasih.

  3. Kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tidak tampak. Saudari Mur Hidayah begitu lancang memperkatakan bahasa baku, tetapi malangnya kekhilafan bahasa kerap dilakukan. Sebagai contohnya, entah mengapa kata nama ‘negara’ ditulis sebagai kata nama khas; mempedulikan ditulis sebagai ambil peduli; sebagai penulis ditulis sebagai seorang penulis; diperlekehkan ditulis sebagai diperlekeh; dan sebagainya. Penguasaan tatabahasa Melayu baku juga penting untuk mempertikaikan sesuatu isu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1055279
    Visit Today : 895
    This Month : 3532
    Total Visit : 1055279
    Hits Today : 2693
    Total Hits : 4330764
    Who's Online : 8
  • Kategori