Oleh ROSANI HIPLEE

Johan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2015, SMK Kuhara, Tawau, Sabah.

Johan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2015, SMK Kuhara, Tawau, Sabah.

Pada tahun 1993, Negeri Sarawak julung kalinya telah dipilih sebagai tuan rumah Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan semasa Sarawak menyambut perayaan 30 tahun Sarawak dalam Malaysia. Kini, semasa Kuching baru diisytiharkan sebagai “Bandaraya Perpaduan” oleh Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem, Ketua Menteri Sarawak pada 1 Ogos 2015, sekali lagi Negeri Sarawak telah dijadikan tuan rumah bagi pertandingan yang bersejarah ini.

Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2015 ini telah disempurnakan oleh Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada 27 Ogos 2015 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuching Utara, Kuching.

Sesungguhnya pada tahun ini, Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan ini merupakan kali yang ke-25 telah diadakan sejak tahun 1989. Pertandingan ini dilaksanakan sebagai menyahut seruan kerajaan supaya sebutan baku digunakan sepenuhnya di sekolah selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Menengah pada tahun 1988.

Oleh itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) telah diamanahkan untuk merealisasikan Pertandingan Forum Remaja ini.

Pertandingan ini dibuka kepada para pelajar tingkatan empat (4) hingga tingkatan enam (6) daripada sekolah bantuan kerajaan, sekolah berasrama penuh, sekolah menengah agama negeri, sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah bantuan modal.

Setiap pasukan yang menyertai pertandingan ini harus terdiri daripada lima (5) orang ahli daripada sekolah yang sama. Kendatipun, setiap pasukan digalakkan untuk menggambarkan kumpulan etnik di Malaysia. Setiap pasukan diberikan kebebasan membina tajuk forum masing-masing berdasarkan tema yang ditetapkan (politik, sosial, budaya, ekonomi, keusahawanan, pendidikan, alam sekitar, bahasa dan sastera serta sains dan teknologi).  TYT-1

Dalam amanat perasmian penutupannya, Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata, mereka yang banyak membaca mempunyai pengetahuan lebih dan mengetahui apa sedang berlaku pada masa kini. “Malah, dengan kemajuan teknologi dikecapi masa kini membuktikan bahawa tahap pemikiran manusia semakin maju. Dengan kajian serta ilmu baharu, manusia dapat mencipta sesuatu yang sangat berguna,” katanya.

Untuk itu, diharapkan 16 pasukan dari seluruh negeri di Malaysia yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat kebangsaan ini dapat memanfaatkan setuntasnya hasrat dan objektif yang disasarkan. Malahan, sebelum layak bertanding di peringkat kebangsaan, setiap pasukan harus melepasi peringkat daerah dan peringkat negeri dahulu.

Sememangnya antara objektif utama pertandingan ini ialah melahirkan pelajar yang berkeyakinan tinggi dan berketerampilan serta berkebolehan berhujah dan mengungkapkan buah fikiran dalam bahasa Melayu dengan baik dan berkesan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan penglibatan semua pelajar dalam kegiatan koakademik dengan bimbingan guru dalam mencari idea yang bernas dan fakta yang tepat tentang tajuk yang dibincangkan. Secara tidak langsung pertandingan ini membina hubungan kerjasama sesama pelajar, dan pelajar dengan guru.Dr. Awang Sariyan1

Sebelum itu, Datuk Dr. Haji Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa istimewanya pertandingan peringkat kebangsaan pada tahun ini ia diadakan di Kuching, Sarawak. “Pihak Kerajaan Negeri Sarawak turut serta menyokong penuh pelaksanaan pertandingan peringkat kebangsaan pada tahun ini serta menyumbangkan sejumlah dana dalam menjayakan program ini,” katanya.

Menurut beliau juga, melalui forum seperti ini generasi muda akan dapat mengetengahkan standard Bahasa Melayu sebagai medium ketinggian budaya. Malahan, melalui format forum itu akan membolehkan para pelajar sekolah menengah untuk berinteraksi dengan pelbagai idea serta reaksi mereka berdepan persoalan dilontarkan kepada mereka.

Berdasarkan statistik Johan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan, bermula pada tahun 1989 sehingga tahun 2014, sekolah yang mewakili Negeri Sabah paling tinggi kedudukannya menjuarai carta iaitu sebanyak lima kali. Kemudian diikuti oleh sekolah yang mewakili Negeri Sembilan iaitu sebanyak  empat kali. Manakala sekolah yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Sarawak pula sebanyak tiga kali. Kendatipun, sekolah-sekolah yang mewakili Negeri Pahang, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan, Perak dan Kedah hanya satu kali sahaja.

Naib Johan, SMK Tatau, Bintulu, Sarawak.

Naib Johan, SMK Tatau, Bintulu, Sarawak.

Tempat ketiga, SMK Dato Perdana, Bachok, Kelantan.

Tempat ketiga, SMK Dato Perdana, Bachok, Kelantan.

 Waima apa pun, para panel hakim peringkat akhir Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2015 iaitu Profesor Madya Dr. Haji Ahmad Ridzuan Haji Abang Awet (Ketua Hakim) dari Universiti Teknologi Swirnburne Kampus Sarawak, Tuan Haji Hussin Mahmud dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Sarawak dan Puan Kalthum Ibrahim juga Ahli Majlis Persatuan Linguistik Malaysia dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah memutuskan bahawa SMK Kuhara, Tawau, Sabah sebagai johan bagi pertandingan ini. Sebelum ini pada tahun 2011, sekolah tersebut juga pernah menjuarainya. Manakala naib johan telah dirangkul oleh SMK Tatau, Bintulu, Sarawak dan tempat ketiga telah disandang oleh SMK Dato Perdana, Bachok, Kelantan.

Ahli Forum Terbaik, Nur Hadianna Samad dari SMK Tatau, Bintulu, Sarawak dan Pengerusi Forum Terbaik, Muhammad Zamrin Maddimunri dari SMK Kuhara, Sabah.

Ahli Forum Terbaik, Nur Hadianna Samad dari SMK Tatau, Bintulu, Sarawak dan Pengerusi Forum Terbaik, Muhammad Zamrin Maddimunri dari SMK Kuhara, Sabah.

Sementara itu, Nur Hadianna Samad dari SMK Tatau, Bintulu telah dinobatkan sebagai Ahli Forum Terbaik. Manakala Muhammad Zamrin Maddimunri dari SMK Kuhara pula dipilih sebagai Pengerusi Forum Terbaik.

Sebagai tanda penghargaan yang cukup bermakna, kesemua hadiah kepada para pemenang Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2015 telah disampaikan sendiri oleh Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014277
    Visit Today : 306
    This Month : 33622
    Total Visit : 1014277
    Hits Today : 901
    Total Hits : 4137703
    Who's Online : 11
  • Kategori