pasir lintang1

Judul                        :           Pasir Lintang

Pengarang               :           S.M. NOOR

Terbitan                    :           Dewan Bahasa dan Pustaka

Halaman                   :           416 halaman

Genre                         :           Novel

Pengulas                  :           MELDRED OVIE JAMILY

 

Adam telah kehilangan seorang sahabat yang amat disayanginya, Zaidin bin Zainal Abidin. Teman seperjuangannya itu telah menghadap Ilahi ketika berada di Makkah. Pemergian sahabatnya itu amat menyentap perasaan batinnya. Zaidin merupakan bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Pasir Lintang yang dicalonkan oleh Parti BBB untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kawasan Pasir Lintang bagi jawatan Wakil Rakyat Pasir Lintang. Pencalonannya itu tidak dipersetujui oleh beberapa orang politik seperti Dato’ Bazli Abdul Karim yang juga merupakan Ketua Bahagian dalam Parti BBB. Isterinya sendiri iaitu Jamilah juga hendak menentang suaminya. Jamilah merupakan ahli Parti al-Hilal yang sangat aktif. Fahaman dunia politik dengan agama Islam menyebabkan hubungan kedua-dua suami isteri itu berantakan.

Zaidin ingin isterinya turut serta berkempen untuk dirinya kerana dia amat memerlukan sokongan daripada isterinya, Jamilah. Namun, Jamilah tidak memberi sokongan kepada suaminya malah dia bertekad untuk menentang suaminya itu. Kemarahan dan kekecewaan Jamilah terhadap ahli-ahli al-Hilal yang tidak memilih dia sebagai wakil Parti al-Hilal yang akan bertanding dalam PKR, sebaliknya memilih seseorang yang bukan anak tempatan iaitu Ustaz Haji Mansor al-Urduni menambahkan lagi geramnya terhadap BBB dan menyebabkan dia lari ke Kuala Lumpur ke rumah anaknya. Izzudin meninggalkan Zaidin terkapai-kapai keseorangan menempuhi PRK. Zaidin amat memerlukan sokongan moral daripada isteri dan anaknya sepanjang tempoh berkempen, tetapi anaknya juga tidak pulang ke Pasir Lintang untuk menyokong ayahnya itu. Izzudin sekadar menghantar wang dengan alasan dia sibuk bekerja manakala Jamilah pula terperap di dalam rumah Izzudin membiarkan Zaidin berkempen sendirian tanpa sokongan daripada keluarganya. Sebenarnya, Izzudin dengan tiga rakannya pergi berkempen untuk menolong ayahnya menang, tetapi Zaidin tidak tahu-menahu tentang perjuangan anaknya itu. Yang Zaidin tahu, hanya Adam, temannya sahaja yang setia di sisi Zaidin menyokong dan memberi kata-kata semangat sepanjang tempoh berkempen sehinggalah tamat PRK.

Zaidin telah tewas dengan hanya undian sebanyak 39 di tangan Ustaz Haji Mansor al-Urduni, wakil dari Parti al-Hilal. Dia amat kecewa. Terlalu kecewa sehingga dia membawa diri ke Makkah tanpa ditemani sesiapa dan pemergiannya secara tiba-tiba itu menimbulkan tanda tanya dalam diri Adam dan keluarganya. Zaidin sengaja tidak mahu memberitahu keberadaannya di tanah suci itu kerana dia ingin bersendirian. Lagipun, dia rindu akan Allah. Dia ingin mencari ketenangan di tempat asing itu.

Zaidin akan membawa komputer ribanya ke mana sahaja dia pergi. Sementara Zaidin bermusafir, Adam dan Jamilah tercari-cari keberadaan Zaidin. Semasa berada di Makkah, Haji Hassim rakan sebiliknya memperkenalkan adiknya, Hashimah kepada Zaidin. Kuasa Tuhan Yang Maha Esa, tiada sesiapa pun yang tahu hayat hidupnya di muka bumi sementara ini. Zaidin telah dipanggil oleh Pencipta-Nya sebelum sempat dia menjejakkan kaki ke Pasir Lintang dan menemui sahabat handai serta keluarganya. Adam amat sedih mendengar berita kematian sahabatnya itu dan sedikit terkilan kerana Zaidin tidak membawanya pergi ke Makkah.

Haji Hashim, anak saudara arwah Ustaz Haji Maliki yang juga merupakan rakan sebilik Zaidin ketika berada di Makkah datang menziarahi Adam untuk memberi amanat Zaidin kepada Adam. Kotak kecil berwarna merah dari Zaidin itu berisi sebuah pemacu pena yang mengandung cacatan sepanjang perjalanan Zaidin di Makkah. Anak Adam, Idham telah menjilid cacatan peribadi Zaidin sepanjang mengerjakan umrah yang berupa luahan hati dan perasaan itu menjadi sebuah buku yang diberi tajuk Warkah dari Makkah. Adam mencari kebenaran melalui Warkah dari Makkah.  Melalui bacaannya, Adam mengetahui isi hati Zaidin yang hancur remuk setelah kalah dalam PRK. Zaidin kecewa dengan anak dan isterinya. Zaidin berharap agar keluarganya akan menyayangi dan merinduinya suatu hari nanti.

Jamilah pula selalu bergelumang dengan kekesalan yang menggunung dalam hati. Dia sentiasa berendam dengan air mata apabila mengenangkan layanannya terhadap suaminya. Jamilah taasub dengan perjuangan parti sehingga lupa akan tanggungjawabnya sebagai isteri. Dia isteri yang tidak soleh, mengabaikan suaminya ketika suaminya amat memerlukan sokongannya. Sifat egonya telah menjadikan dia seorang isteri yang tidak berguna.

Melalui pengamatan Adam terhadap Warkah dari Makkah, Adam dapat menyelami kesengsaraan  jiwa dan batin Zaidin yang lebih memerlukan dia daripada Jamilah dan Izzudin. Zaidin kerap kali mengalah dengan keadaan. Adam juga tahu yang Zaidin amat menyesal kerana tidak membawanya sama bermusafir ke Makkah. Dia kecewa dengan dirinya sendiri kerana tidak mampu pertahankan kehidupan keluarganya walaupun telah hidup bersama selama tiga puluh tahun.

Jamilah pula sibuk mencari Adam setelah pemergian Zaidin. Adam berasa Jamilah sedang menggodanya. Dia faham bahawa Jamilah seorang janda sahabatnya dan wajar dia tolong, tetapi dia berasa jengkel setiap kali wanita itu mencarinya. Adam berusaha mencari alasan untuk mengelakkan bertemu mata dengan Jamilah. Jamilah sepertinya sudah bosan dengan hidup dalam idah. Dia ingin mencari pengganti Zaidin. Terbit pula nama Hashimah. Dalam berusaha menjauhkan diri daripada Jamilah, timbul rasa rindu untuk wanita yang bernama Hashimah.

Keinginan Adam untuk bertemu dengan Hashimah membuak-buak apabila Zaidin menyatakan Hashimah seorang wanita yang baik dalam Warkah dari Makkah dan keinginan Zaidin untuk memperkenalkan Hashimah kepada Adam membuatkan Adam tertanya-tanya mengapa Zaidin bertindak sedemikian. Setelah diamat-amati, Adam akhirnya mengetahui punca Zaidin mengambil tindakan untuk memasangkan dia dengan Hashimah, bukan dengan Zaidin sendiri. Ungkapan Zaidin “carilah seorang Sakinah, bukan seorang Jamilah” bukan sekadar ungkapan melepaskan rasa kecewa yang sering menekan sahabatnya itu, tetapi lebih berupa nasihat kepadanya untuk mencari teman hidup yang baik dan solehah. Tambahan pula, Zaidin sudah meminang Hashimah untuknya. Lagipun, isteri Adam, Sakinah telah enam tahun pergi meninggalkan Adam dan Idham. Sudah tiba masanya Adam membuka lembaran baharu. Dia yakin pilihan Zaidin adalah yang terbaik untuknya.

Sungguh tidak disangka, kerinduan Adam terhadap wanita yang menggerakkan nalurinya akan datang menemuinya. Haji Hashim datang ke Terengganu melawat Adam dengan membawa Hashimah dan Noor Hasmida. Niat di hati ingin melangsaikan tanggungjawab terhadap ikatan antara Adam dan Hashimah, tetapi hajat murni tidak kesampaian apabila Hashimah tahu bahawa Latifah menantu Adam merupakan adik kepada Razali. Razali merupakan bekas tunangan Hashimah 12 tahun lalu. Hubungan mereka terputus di tengah jalan setahun selepas bertunang kerana Razali terpaksa berkahwin dengan gadis pilihan keluarga. Kekecewaan yang melanda Hashimah masih belum dapat dia lupakan menyebabkan dia tidak ingin berkahwin dengan Adam kerana dia tidak mahu ada sebarang kaitan dengan Razali. Hashimah pulang dengan membawa kemarahannya. Latifah pula menangis kerana dialah punca kekecohan itu berlaku. Adam berniat untuk berjumpa dengan Haji Hashim dan Hashimah untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Berita kemalangan yang membabitkan Haji Hashim, Hashimah dan Noor Hasmida membuatkan Adam tidak senang duduk. Dia amat risau terutamanya dengan keadaan Hashimah yang terlantar di wad kecemasan kerana Hashimah pengsan. Kepalanya terhantuk papan pemuka kereta. Kemarahan Hashimah tidak memanjang, dia telah meminta maaf kepada Adam dan keluarganya atas tingkah laku biadabnya yang tidak menghormati Adam sekeluarga. Dia sebenarnya marah dengan Razali, bekas tunangnya. Dia juga telah memaafkan Latifah kerana Latifah tidak bersalah. Hashimah akhirnya menerima Adam sekeluarganya dan menerima baik peminangan Adam. Adam yakin anak dan menantunya akan menerima kehadiran Hasimah sebagai emak dalam keluarga mereka.

Jamilah pula membawa hati yang lara apabila mengetahui Adam sudah bertunangan dengan Hashimah. Jamilah sememangnya telah memasang niat untuk mendekati Adam, tetapi Adam berusaha menjauhkan diri daripadanya. Jamilah juga telah keluar daripada Parti al-Hilal. Tidak ada lagi tempatnya bergantung. Lalu, Jamilah menyerahkan seluruh jiwa dan raganya kepada Allah. Dia kesunyian dan dia ingin mencari cahaya untuk menyinari hidupnya semula. Wajah Zaidin kerap kali muncul. Jamilah kini amat merindui suaminya itu. Kekesalan mula bertapak dalam hati semula. Jamilah meminta petunjuk daripada Allah untuk memberinya petunjuk.

Akhirnya, Jamilah mengambil keputusan untuk mengubah garaj rumahnya menjadi Pusat Asuhan Islam Zaidin (PAIZ). Pusat asuhan itu akan berjalan secara percuma dan terbuka kepada anak sesiapa sahaja serta bebas daripada sebarang fahaman politik. Dia ingin berbakti selagi ada keupayaan. Jamilah tahu bahawa jika suaminya masih ada tentu suaminya itu akan menyokongnya.

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035047
    Visit Today : 1263
    This Month : 17646
    Total Visit : 1035047
    Hits Today : 6282
    Total Hits : 4244616
    Who's Online : 9
  • Kategori