Komitmen yang ditunjukkan oleh para pelajar dan guru untuk menyertai Festival Bahasa dan Sastera 2015 ini menunjukkan kesungguhan mereka untuk bersama-sama memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu kepada satu tahap yang tinggi. Aktiviti seperti pertandingan  forum, bercerita, koir, pidato dan deklamasi puisi merupakan satu medan bagi para pelajar untuk mencungkil bakat yang ada pada diri mereka selain dapat meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi harian mereka.

Usaha yang dilaksanakan menerusi Festival Bahasa dan Sastera oleh DBP kepada masyarakat bukan Melayu khususnya kepada para pelajar diharap dapat merubah persepsi bahawa bahasa Melayu itu hanya boleh dituturkan dengan baik dan betul oleh orang Melayu sahaja. Diharapkan usaha-usaha ini disokong oleh pihak sekolah, guru-guru dan agensi yang terlibat dalam pendidikan negara. Para guru terutamanya perlulah menunjukkan kesungguhan dan memberi tunjuk ajar  tanpa jemu kepada para pelajar dalam mengasah bakat mereka untuk menyertai acara yang dipertandingkan.

Sehingga kini setelah DBP menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-59, DBP tidak pernah jemu berusaha untuk mengembangkan dan meningkatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat. Pelbagai program dan dasar yang strategik telah dirancang sebagai satu usaha DBP untuk mengembangkan bahasa dan persuratan kebangsaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, latar belakang dan kepercayaan di negara ini. Usaha sebegini tidak boleh diletakkan seratus peratus ke atas  bahu DBP sahaja malah perlu digembleng dan diperkemas lagi dengan kerjasama pelbagai pihak, khususnya pertubuhan bukan kerajaan.

Sesungguhnya Festival Bahasa dan Sastera ini merupakan wadah yang paling baik kepada para pelajar bukan Melayu untuk memperbaiki kelemahan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul. Walaupun kita maklum bahawa para pelajar daripada Sekolah Menengah Persendirian Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil yang menyertai festival ini menghadapi kesukaran untuk menggunakan bahasa Melayu dengan fasih dan lancar,  namun dengan usaha yang gigih  diharap mereka dapat menggunakan kesempatan dan peluang ini semaksimum mungkin bagi memahirkan diri serta menguasai bahasa kebangsaan. Apabila pelajar bukan Melayu dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan baik dan betul maka seolah-olah  mereka memiliki aset yang berharga dan menjadi nilai tambah kepada diri mereka sebagai pelajar dan warga yang mendukung wawasan negara.

DBP sentiasa berusaha untuk memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dalam kalangan pelajar bukan Melayu. Untuk itu, DBP telah mengadakan Bengkel Penataran bahasa Melayu untuk guru Sekolah Menengah Persendirian Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil secara berkala. Bengkel sebegini dirasakan amat penting untuk para guru kerana merekalah individu yang bertanggungjawab untuk mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada pelajar tentang penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

Selain itu, dalam arus kemodenan dan kepesatan teknologi maklumat DBP turut mengorak langkah dengan menyediakan pelbagai kemudahan berkaitan bahasa dan persuratan kebangsaan untuk para pengguna. Kemudahan yang disediakan oleh DBP dapat dicapai secara maya dan para pengunjung dapat mengakses segala maklumat dengan mudah dan cepat. Antara kemudahan yang disediakan, adalah Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) kepada para pengguna Internet termasuk para guru dan pelajar untuk membuat rujukan terus tentang perkara yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Sebagai contoh, domain PRPM yang paling ramai dikunjungi oleh pengguna Internet ialah penyemakan makna kata, istilah, kamus dan khidmat nasihat bahasa. Kemudahan yang disediakan oleh DBP ini sangat berguna dan amat memberi manfaat kepada para pengguna khususnya kepada para penyelidik dan pelajar.

Dalam usaha mengembangkan ilmu pengetahuan menerusi pencetakan, DBP telah berjaya menghasilkan puluhan ribu judul yang boleh didapati dalam bentuk bercetak atau digital. DBP juga turut melaksanakan program penerbitan berpakej bertujuan memperbanyak karya ilmiah dalam pelbagai ranah ilmu. Usaha yang dilaksanakan oleh DBP ini bukanlah satu tugas yang mudah tetapi sekiranya mendapat dukungan dan sokongan semua pihak sudah tentu ia mudah dilaksanakan serta semua pihak keseluruhannya akan mengecap hasil dan nikmat bersama-sama. Diharapkan semua pihak memberikan kerjasama yang padu kepada DBP agar dapat bergerak lebih maju dalam penerbitan buku dan pengembangan bahasa dan sastera hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

(Teks ini disampaikan di Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Festival Bahasa dan Sastera 2015, di Auditorium Menara DBP, Kuala Lumpur, 4 Ogos 2015).

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048788
    Visit Today : 1106
    This Month : 31387
    Total Visit : 1048788
    Hits Today : 3582
    Total Hits : 4302628
    Who's Online : 14
  • Kategori