HOleh ARMIN A. SALEH

                                        Judul              :  Rempit di Malaysia Isu dan Cabaran

                                        Pengarang     :  Rozmi Ismail

                                        Penerbit         :  Dewan Bahasa dan Pustaka

                                        Tahun             :  2015

Prenggg!  Prenggg!  Prenggg!  Bunyi itu memecahkan keheningan malam dan mungkin mengganggu mimpi indah sesetengah orang.  Kelihatan beberapa buah motosikal (tidak sempat untuk mengira jumlahnya) memecut laju dari Jalan Daeng Selili menuju ke Jambatan Sultan Abdul Jalil. “Begitulah keadaan remaja pada hujung minggu.  Mereka gemar merempit.  Jiwa muda,” kata seorang pekerja hotel murah yang sudah berusia di Kuala Kangsar.

Rupa-rupanya aktiviti rempit bukan hanya berlaku di kota raya, seperti Kuala Lumpur, malah bandar lain juga.  Jika di Kuala Kangsar, selain jalan tersebut, Jalan Kangsar turut menjadi tumpuan kerana jalan tersebut lurus dan biasanya tiada kenderaan lain sesudah tengah malam. Di ibu kota pula, aktiviti ini berlaku di, antaranya, Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Halim (dahulunya Jalan Duta), lebuh raya Kuala Lumpur Klang dan lebuh raya Damansara Puchong meskipun ada kenderaan lain.  Agak menarik juga apabila dikatakan bahawa aktiviti ini sudah berlaku sejak tahun 1980-an dan kini kelihatannya sudah menjadi wabak yang sukar dibendung oleh pihak berkuasa.

Apakah makna rempit?  Menurut pendapat Rozmi Ismail, istilah rempit merupakan gabungan “rem” dan “pit”.  Perkataan “rem” bermaksud perlakuan memulas pedal tangan motosikal bagi memerah minyak sewaktu memecut. Semakin kuat pulasannya, semakin lajulah motosikal itu.  Perkataan “pit” pula dikatakan berasal daripada pit stop di litar lumba, yang merujuk keadaan rehat sekejap dan mengisi petrol.

Seorang ahli bahasa turut memberikan pandangannya tentang etimologi perkataan rempit.  Katanya, perkataan itu merupakan akronim untuk remaja enggan mematuhi peraturan isyarat trafik!  Ada benarnya juga pandangan ini kerana yang lazimnya terbabit dalam aktiviti rempit ialah remaja.

Siapakah pula mat rempit? Istilah mat rempit dikatakan diperkenalkan dan dipopularkan oleh media massa Malaysia. Istilah ini merujuk fenomena kegilaan pembabitan anak muda dalam kegiatan lumba haram motosikal pada suatu masa dahulu.  Istilah ini juga merujuk individu yang menyertai perlumbaan haram dengan menggunakan motosikal berkuasa kecil.

Hal yang amat menarik juga apabila ada kajian yang menyatakan ciri mat rempit, iaitu:

1. Mereka terdiri daripada golongan remaja.

2. Mereka menggunakan motosikal berkuasa rendah.

3. Mereka terbabit dalam perlumbaan haram.

4. Perlumbaan mereka membabitkan pertaruhan atau tidak.

5. Mereka melakukan aktiviti dalam kumpulan sendiri.

6. Mereka mempunyai struktur kumpulan yang tidak formal.

7. Mereka mempunyai subbudaya yang tersendiri.

8. Mereka melakukan aksi berbahaya dan mengganggu ketenteraman awam.

Pada hakikatnya, aktiviti mat rempit dikatakan melibatkan semua kaum, baik Melayu, Cina, India mahupun kaum lain.  Namun demikian, menurut Rozmi, kajian Universiti Kebangsaan Malaysia dari tahun 2001 hingga 2003 mendapati bahawa 95 hingga 98 peratus mat rempit  terdiri daripada remaja Melayu, yang berusia antara 13 tahun hingga awal 20-an, dengan purata umur 18 tahun. Persoalannya, mengapakah remaja Melayu yang banyak terbabit dalam aktiviti rempit?

Jadi apakah faktor yang menyebabkan remaja membabitkan diri dalam aktiviti rempit?  Rozmi menyebut 14 faktor secara khusus selain beberapa faktor lain. Satu daripadanya ialah peranan rakan sebaya.  Memang tidak dapat dinafikan bahawa rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap golongan remaja. Pada waktu sedemikian, remaja cenderung untuk membentuk klik.  Jika klik itu dikenali sebagai “geng kuat makan”, tentulah mauduk perbincangan tentang makanan dan minuman.  Begitulah juga dengan klik rempit – sebagai contoh, apakah minyak yang dapat digunakan untuk memberikan lebih kuasa?

Memang menarik juga apabila Rozmi menyebut sekolah sebagai satu daripada faktor yang mendorong tingkah laku mat rempit. Katanya, “guru mengutamakan pelajar yang baik sahaja, manakala pelajar yang tercorot kurang diberi perhatian. Pelajar yang tercorot ialah pelajar yang tidak berminat belajar. Hal ini mungkin ada kaitan dengan sikap berlumba-lumba mengejar nama baik dan prestasi akademik sekolah.” Sebagai akibatnya, pelajar sedemikian berubah arah. Adakah hal ini bermakna bahawa sekolah gagal menerapkan nilai murni dalam kalangan pelajarnya?

Untuk mengatasi aktiviti rempit, Rozmi menyenaraikan 13 kaedah.  Satu daripada kaedah itu ialah penyediaan litar lumba agar mat rempit berlumba di tempatnya.  Pada ketika ini, negara hanya mempunyai litar Sepang dan litar Pasir Gudang.  Pastinya kehadiran dua litar tersebut tidak mampu menampung kehendak mat rempit di seluruh negara. Memang tidak logik juga jika remaja Kuala Kangsar ke Sepang, dengan menunggang motosikal berkuasa rendah, semata-mata untuk melepaskan “nafsu” rempit mereka dan setelah itu, kembali ke tempat asal mereka.

Dalam hal ini, ada baiknya jika pihak berkuasa tempatan memainkan peranannya.  Sebagai contoh, di Kampung Gajah, Perak, terdapat litar go-kart. Barangkali pihak berkuasa tempatan dapat menyediakan litar sedemikian untuk mat rempit menjalankan aktiviti mereka dengan lebih teratur selain tidak membahayakan diri dan orang lain serta mengganggu ketenteraman awam.

Satu kaedah lagi yang dapat dikatakan menarik yang dikemukakan oleh Rozmi untuk menangani aktiviti rempit ialah peranan agensi kerajaan. Dalam hal ini, Kementerian Belia dan Sukan disarankan supaya memajukan sukan permotoran dengan mengenal pasti bakat pelumba muda dalam kalangan mat rempit yang dapat dilatih untuk menjadi pelumba motosikal profesional.  Dengan perencanaan yang teliti, tidak mustahil jika pada suatu hari nanti, mat rempit, yang dahulunya mengganggu ketenteraman awam dan mungkin juga dipandang serong oleh masyarakat, mampu menjulang nama negara di persada antarabangsa.

Rozmi turut menyarankan media cetak dan media elektronik agar memainkan peranan untuk membantu usaha mengurangkan gejala mat rempit dengan mempamerkan foto ngeri kemalangan sebagai akibat aktiviti tersebut di samping menyiarkan kisah mangsa kegiatan itu. Namun demikian, beliau melahirkan rasa dukacita apabila ada filem yang seolah-olah menunjukkan kehebatan aktiviti rempit. Mungkin ada mesej tersirat yang ingin disampaikan, tetapi mesej itu tidak terlihat oleh penonton, apatah lagi mereka yang remaja.

Rempit di Malaysia Isu dan Cabaran berjaya memberikan pencerahan tentang aktiviti tersebut.  Persoalannya, jika mat rempit membaca buku ini, adakah mereka akan berubah?

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1260284
    Visit Today : 213
    This Month : 16421
    Total Visit : 1260284
    Hits Today : 828
    Total Hits : 5708123
    Who's Online : 18
  • Kategori