Oleh ROSANI HIPLEE

PADA tahun 2011, Sayembara Dekon Perkhidmatan Awam Piala Ketua Menteri Sarawak telah diwujudkan sebagai membuktikan kemampuannya untuk menjadi salah satu kegiatan yang mengangkat keupayaan pengucapan melalui bahasa yang indah dan menjadikan puisi sebagai wacananya.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak telah menganjurkan Sayembara Dekon Piala Ketua Menteri Sarawak ini untuk julung kalinya ialah pada 22 Jun 2011. Sayembara ini adalah sesuatu yang istimewa kerana memaparkan puisi-puisi terkenal daripada tokoh-tokoh penyair Negara, selain puisi ciptaan peserta sendiri.

Selaras dengan tema ke arah gagasan 1Malaysia, para peserta akan mengetengahkan pemikiran tentang kesejagatan, nilai serta keperibadian bangsa. Ia  disampaikan menerusi pengucapan pada nada, irama dan intonasi serta gerak lakon yang menyerlahkan emosi bagi membentuk plot cerita berdasarkan inti pati teks yang digunakan.

Pada tahun berikutnya, Sayembara Dekon telah berjaya diperluaskan dengan penambahan bilangan penyertaan yang begitu menggalakkan. Malah, diharapkan sebagai dapat menjadi projek sayembara yang paling berprestij.

Kendatipun pada kali ke-5 penganjurannya, pihak DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak telah berjaya melaksanakan Sayembara Dekon Piala Ketua Menteri Sarawak 2015 pada 30 hingga 31 Julai yang lalu.

Dekon merupakan gabungan deklamasi dan gerak lakon dengan menjadikan puisi sebagai teksnya. Elemen deklamasi menjadi wahana peluahan pemikiran dan perasaan melalui pengucapan yang bernada, berirama dan berintonasi. Elemen gerak lakon pula menjadi ekspresi terhadap gerak, sama ada mimik muka, ayunan tangan, bahasa badan dan sebagainya bagi membentuk plot cerita berdasarkan inti pati teks puisi yang digunakan.

Oleh itu, penganjuran Sayembara Dekon kali ini menyasarkan agar ia dapat menjadi satu wadah untuk pelbagai agensi kerajaan di negeri Sarawak bersemuka dalam satu medan keilmuan, kesenian dan kesusasteraan. Selain itu, ia menjadi wahana untuk kakitangan perkhidmatan awam pelbagai jabatan dan agensi berinteraksi, berbincang dan bertukar-tukar idea. Kendatipun,  ia dapat memupuk budaya kreatif dan inovasi dalam kalangan penjawat awam.

Penyertaan Sayembara Dekon ini terbuka kepada semua individu atau kumpulan yang terdiri daripada kakitangan jabatan kerajaan dan agensi kerajaan, termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang berada di Sarawak sahaja.

Berbanding beberapa kali penganjuran yang sebelumnya, jumlah angka penyertaan peserta Sayembara Dekon kali ini kian meningkat. Seolah-olah sebagai memperlihatkan komitmen yang tinggi daripada pelbagai pihak jabatan kerajaan dan agensi kerajaan, termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Misalnya pada tahun 2014, hanya sejumlah tujuh penyertaan, berbanding tahun ini yang telah bertambah kepada sembilan penyertaan dari seluruh bahagian Negeri Sarawak.

 Antara yang menyertai pertandingan ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Kapit, Politeknik Sarawak, Sekolah Seni Malaysia, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Sekolah Kebangsaan Petra Jaya, Jabatan Imigresen Malaysia, dan dua lagi penyertaan dari agensi yang sama iaitu IPG Kampus Tun Abdul Razak (IPGTAR). Kesemua pihak yang menyertai Sayembara Dekon ini harus melalui peringkat separuh akhir terlebih dahulu sebelum layak mara ke peringkat finale sayembara.

Peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kapit, Hafiz Mohamad tampil dengan puisi berjudul “Keramat Perpaduan”, Noraisah Haji Sulhi dari Sekolah Kebangsaan Petra Jaya dengan puisi berjudul “Syukur Alhamdulillah”, Abang Jalani Abang Mazadi dari Sekolah Menengah Kerajaan Batu Lintang dengan puisi berjudul “Aksara Merdeka”, Radna Wismawati Muhibah Sawek, Ismail Libar, Syed Ammar Syed Mahamud dan Syed Aieman Syed Mahamud mewakili IPGTAR dengan puisi berjudul “Jangan Berduka Malaysiaku” oleh Kemala, Radna Wismawati Muhibah Yahya Sawek, Jwenney Vivi Jackson, Nursyafiqah Madnan dan Wiriany Luna juga dari IPGTAR dengan puisi berjudul “Keranamu Malaysia” karya Ahmad Sarju manakala Siti Aspanisya Zimi dan Nurhazwani Ramli dari Jabatan Imigresen Malaysia dengan puisi berjudul “Emansipasi Wanita (Kaum Hawa)”.

Johan Sayembara Dekon dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kapit, Politeknik Sarawak.

Johan Sayembara Dekon dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kapit, Politeknik Sarawak.

Waima demikian, puisi berjudul “Mantera Anak Wawasan” karya Borhan Mohd Zain telah berjaya menobatkan Politeknik Sarawak yang dianggotai oleh Khalid Hussiene Tuah, Saiful Irwan Sarkawi dan Kiprawi Sani sebagai johan Sayembara Dekon Piala Ketua Menteri Sarawak 2015 yang sebelum ini pernah dipertahankan kejuaraannya selama dua tahun berturut-turut (2013 dan 2014) oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).

Manakala puisi berjudul “Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta” karya Mohamad Daud Ahmad yang dipersembahkan oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) yang dianggotai oleh Awang Mohadir Awang Bujang dan Mohamad Daud Ahmad hanya mampu merangkul tempat kedua. Seterusnya, puisi berjudul “Mengenang Kanang” dari Sekolah Seni Malaysia yang dianggotai oleh Moh Azam Rezali, Zulfakhri Mos, Siti Aminah Hamzah, Camelia Asyikin Mohd Khairy Henary dan Abang Rohaizad Abang Rammad telah berupaya memperoleh tempat ketiga.

Persembahan Juara Sayembara Dekon Piala Ketua Menteri Sarawak.

Persembahan Juara Sayembara Dekon Piala Ketua Menteri Sarawak.

Johan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala pusingan, sijil pengiktirafan dan buku iringan. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,800 dan RM1,500 serta sijil pengiktirafan dan buku iringan. Manakala enam penyertaan lagi telah menerima hadiah sagu hati yang berupa wang tunai RM300.00 dan sijil pengiktirafan.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Yang Berhormat Datuk Fatimah Abdullah, yang mewakili Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem, Ketua Menteri Sarawak.

Menurut Yang Berhormat Datuk Fatimah Abdullah dalam ucapan perasmiannya, Sayembara Dekon itu dilihat dapat melahirkan individu yang kreatif, inovatif dan sensitif terhadap sekitar dan seterusnya akan wujud kepintaran emosi dan intelektual untuk mendepani kehidupan yang semakin mencabar.”

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045773
    Visit Today : 669
    This Month : 28372
    Total Visit : 1045773
    Hits Today : 2169
    Total Hits : 4292734
    Who's Online : 6
  • Kategori