Pengulas MARSLI N.O

kump cerpen padah

 

Judul                          :           Padah

Penulis                      :           Zaid Ahmad

Terbitan                     :           Dewan Bahasa dan Pustaka

Halaman                    :           138

Harga                         :           RM 18.00

 

ANTOLOGI yang memuatkan sembilan buah cerpen hasil karya pengarang Zaid Ahmad dari negeri Kelantan ini dimulai dengan cerpen berjudul “Resah”. Melalui watak Makcik Salmah dan Encik Talib yang bersikap pilih kasih terhadap dua orang anak lelakinya dan anak perempuannya pula, Roslaili yang tersepit di tengah-tengah kemelut dalam keluarga ini. Antara Rostam, seorang anak bersemangat waja dan demi masa depannya bersemangat ingin meneruskan pembelajaran dengan wang hasil titik peluhnya sendiri dan Rosli, anak yang tidak bertanggungjawab dan malas bekerja, Makcik Salmah dan Encik Talib tidak seimbang membahagikan kasih dan sayang terhadap kedua-dua anak lelaki mereka ini.

Di tengah-tengah situasi inilah, Roslaili yang sangat menyayangi abang kandungnya ini berasa terjepit dan selalu dilanda resah. Kemuncaknya, setelah  tidak tertanggung lagi menahan sabarnya, Rostam memilih untuk keluar dari rumah yang sudah hampir 21 tahun didiami bersama-sama ibu, ayah dan adiknya. Untuk membuktikan betapa setiap perbuatan yang baik itu akan diganjarkan dengan kejayaan serta kemenangan, pengarang memaparkan betapa akhirnya Rostam pulang bersama-sama kejayaan dan seorang isteri keturunan Amerika. Rosli yang selama ini disanjung sebagai anak manja kesayangan pula, ditahan polis kerana terlibat dengan kes jenayah.

Tanpa jalinan plot yang simpang-siur dan menyulitkan pencernaan serta penghayatan pembaca, pengarang mengemukakan tema perpaduan dalam cerpen kedua dalam kumpulan ini, berjudul “Mengejar Hari Esok”. Cerpen yang dicatatkan sebagai pemenang tempat pertama  peraduan menulis cerpen anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Jerantut pada tahun 1973 ini memaparkan kegundahan hati seorang ayah bernama Pak Rejab, saat memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi membayar yuran peperiksaan SPM anak lelaki sulungnya, Mazlan. Akhirnya, Pak Rejab nekad meredah hujan lebat di tengah malam yang gelap dan pekat untuk ke kedai Maniam. Tanpa banyak soal,  Maniam sudi menghulurkan bantuan untuk melangsaikan segala beban yang sedang merongrong fikir dan perasaan Pak Rejab.

Melalui cerpen berjudul “Tiada Siapa yang Tahu” pengarang seakan-akan membenarkan kata dan maksud pepatah yang menyebutkan betapa air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Melalui teknik imbas kembali, pembaca dibawa menghayati kesengsaraan hidup Munah selepas kematian suaminya, Kundur, akibat diracun. Melalui cerpen ini juga pengarang memaparkan sifat durjana Lebar yang sanggup meracuni Kundur, suami Munah. Hal ini disebabkan dendam Lebar kerana tidak berjaya memperisteri Munah. Pengarang  melukiskan secara langsung sifat dan sikap watak Lebar yang tanpa sedikit pun berasa belas dan kemanusiaan, berselindung di sebalik kebaikan dan keakraban persahabatan di antara mereka, tetapi pada masa yang sama bersifat gunting di dalam lipatan.

Jika cerpen “Hati Seorang Isteri” pengarang melukiskan pergolakan perasaan seorang isteri OKU yang salah sangka kerana berasakan cinta suaminya telah berubah dan kerana rasa cemburu menyangkakan suaminya berlaku curang dengan wanita lain, cerpen “Antara Budi dan Harta” pula memaparkan seorang menantu yang sangat dibenci itulah yang akhirnya sanggup membantu di kala ibu dan mentuanya dilanda kesulitan. Bertolak dari premis rasa salah sangka juga, melalui cerpen “Cepat Melatah” pengarang memaparkan betapa kerananya pelbagai kekeliruan boleh berlaku.

Sesuatu, ketika berada dekat dengan kita atau menjadi milik kita, seringnya baharu kita rasakan kehadiran dan kepentingannya setelah ianya hilang atau pergi daripada kita. Bertolak daripada premis inilah pengarang, melalui cerpen berjudul “Parah” melukiskan tentang seorang isteri yang sentiasa mengabaikan suaminya ketika lelaki itu masih hidup, akhirnya dilanda sesal dan tekanan perasaan sehingga terganggu fikiran sihatnya.

Dari segi teknik penulisan, jelas bahawa cerpen-cerpen dalam kumpulan ini ditulis dengan alur penceritaan yang lurus dan tidak berbelit-belit. Dengan cara demikian juga, cerpen-cerpen di dalam kumpulan ini terasa sangat mudah untuk dicerna dan dihayati, terutamanya bagi pembaca yang hanya mencari kisah dan cerita daripada sesebuah cerpen yang dibacanya. Malah, tidak berlebihan juga jika dikatakan betapa cerpen-cerpen dalam kumpulan ini memang ditulis pengarang dengan premis moral atau ajaran yang baku atau standard – buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Kesan ini, misalnya, sangat terasa ketika membaca dua buah cerpen terakhir dalam kumpulan ini, iaitu “Keinsafan” dan “Padah”.

Pada sisi biodata kepengarangan pula, sebelum menghabiskan bacaan kumpulan cerpen ini dan untuk mengelakkan keliru, pembaca perlu juga dimaklumkan bahawa buku yang memuatkan sembilan buah cerpen ini memang ditulis oleh seorang penulis kelahiran Kelantan bernama Zaid Ahmad. Tetapi Zaid Ahmad yang menulis kumpulan cerpen ini tidak sama dengan seorang lagi pengarang kelahiran Kelantan yang juga bernama Zaid Ahmad.

Zaid Ahmad yang disebutkan kemudian ini merupakan pengarang novel “Lambak” dan kumpulan cerpen “Perjalanan Ke Mentari”, kedua-duanya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Tetapi, Zaid Ahmad yang menulis kumpulan cerpen “Padah” ini menggunakan nama samaran Za’ba.

Jika Zaid Ahmad yang menulis novel Lambak dan kumpulan cerpen “Perjalanan Ke Mentari” merupakan seorang kakitangan di Jabatan Perikanan, pengarang Zaid Ahmad yang menggunakan nama samaran Za’ba ini pula merupakan seorang guru dan aktif juga menulis skrip drama radio dan tv.

Setelah pemergiannya menyambut panggilan ilahi pada 13 November 2006, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur telah mengusahakan penerbitan kumpulan cerpennya ini, yang memuatkan karya Za’ba hasil ciptaan beliau atau yang telah disiarkan oleh akhbar seperti Mingguan Perdana, Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman sekitar tahun 1973 hingga 1997.

Dengan terbitnya kumpulan cerpen ini, kita selaku pembaca sekali gus mendapat maklumat bahawa negeri Kelantan memiliki dua orang pengarang bernama Zaid Ahmad. Zaid Ahmad yang pertama ialah pengarang kumpulan cerpen “Padah” ini yang juga menggunakan nama samaran Za’ba. Seorang lagi Zaid Ahmad pula adalah pengarang yang meghasilkan novel “Lambak” dan kumpulan cerpen “Perjalanan ke Mentari”.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035048
    Visit Today : 1264
    This Month : 17647
    Total Visit : 1035048
    Hits Today : 6286
    Total Hits : 4244620
    Who's Online : 9
  • Kategori