Oleh JA’AFAR HAJI HAMDAN

 

BAHASA Melayu sudah sekian lama menjadi bahasa lingua franca di gugusan kepulauan di Asia Tenggara. Gugusan yang terbentuk sejak keruntuhan pelantar bumi Lapisan Sunda di sebelah timur, lebih daripada 1.7 juta tahun dahulu. Keruntuhan itu telah memisahkan Lautan Teduh dengan gugusan kepulauan, termasuk Semenanjung Tanah Melayu yang menjadi hulu kepada gugusan kepulauan tersebut. Semenjak penduduk asal dari Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan ini berhubung dengan bangsa-bangsa asing, kepulauan ini dipanggil oleh mereka dengan gelaran Gugusan Kepulauan Melayu (Malayan Archipelagogugusan kepulauan yang diduduki oleh orang berketurunan Melayu) terutama setelah terbentuknya Kerajaan Srivijaya pada awal kurunke-6 Masihi.

Itu antara inti sari imbasan semula sebuah nostalgia tentang wibawa bahasa Melayu masa silam yang dikongsi oleh Tan Sri Dato’ Yusof Hitam sebagai tokoh pembicara dalam Siri Wacana Fikrah Ummah kelima bagi tahun 2015 dengan judul syarahannya “Bahasa Melayu: Identiti Peradaban Nusantara dan Pemangkin Perdagangan Serantau Zaman Silam” pada 27 Julai 2015 bertempat di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tan Sri Dato’ Yusof Hitam merupakan salah seorang yang bertanggungjawab menubuhkan Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) dan kini sebagai Pengerusi Majlis ADAB. Beliau juga merupakan Ahli Kerja Majlis Tertinggi Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia (PEMIKIR). Beliau cukup berpengalaman dalam kancah pergolakan dan perkembangan bahasa Melayu dan turut terlibat secara langsung dalam Kongres Bahasa Melayu ke-3 pada tahun 1956.

WACANA

Datuk Dr. Haji Awang Sariyan (kanan) tekun mendengar penjelasan mengenai Bahasa Melayu: Identiti Peradaban Nusantara dan Pemangkin Perdagangan Serantau Zaman Silam oleh Tan Sri Dato’ Yusof Hitam (kiri).

Siri wacana yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Haji Awang Sariyan ini telah memberi penilaian makna terhadap sejarah bahasa Melayu melalui horizon perenungan semula tentang masa silam yang berkaitan dengan wibawanya dalam konteks serantau. Mauduk perkongsian ini, mengemukakan episod bahasa Melayu yang berdepan dengan perubahan demi perubahan yang berlaku mengiringi pemodenan dan pembangunan. Jelas, bahasa Melayu berdepan dengan cabaran dan pancaroba baharu yang lebih rumit dan sulit pada masa kini.

Pada wacana ini, Tan Sri Dato’ Yusof Hitam memulakan bicaranya dengan memperkatakan susur galur sejarah bahasa Melayu yang dikaitkan dengan soal Peradaban Gugusan Kepulauan Melayu di Asia Tenggara melalui kaca mata semangat dan kesetiaan Rumpun Bangsa Melayu yang kini sedang dan akan berdepan dengan cabaran serta gejala globalisasi dalam alaf ke-21.

Beliau menjadikan sejarah lampau sebagai pembuktian bahawa wibawa bahasa Melayu cukup diyakini dan telah melingkari rantau Asia Tenggara sehingga menjadi bahasa komunikasi gugusan kepulauan Melayu. Pada pendapat beliau, beberapa aspek yang menjadi pendukung dan seterusnya merealisasikan hakikat tersebut turut terbentuk melalui penduduk asal yang berada dalam gugusan kepulauan Melayu itu.

Tan Sri Dato’ Yusof Hitam menegaskan bahawa ada lima aspek yang dianggap sebagai teras inti pati pandangan beliau iaitu mengenai gugusan kepulauan Melayu itu sendiri, penduduk asal di kepulauan itu, sosiobudaya penduduk asal, bahasa penduduk asal dan pandangan hidup penduduk asal. Kelima-lima aspek ini ditekuni melalui unsur yang melahirkan persamaan nilai dan pedoman hidup yang bersangkut paut antara satu dengan yang lain berdasarkan keperluan alam sekitar.

Beliau menegaskan bahawa, aspek gugusan kepulauan Melayu dilihat melalui kewujudan lebih kurang 40,000 ribu pulau kecil dan besar yang ada di Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei dan Singapura. Kuantiti pulau-pulau ini memberi satu gambaran tentang jalinan yang membentuk satu gugusan yang meliputi sebuah lingkaran persamaan.

Di samping kesuburan tanahnya dengan pelbagai tumbuhan dan haiwan, yang menghasilkan pelbagai produk pertanian serta ternakan. Ini termasuk juga kekayaan yang dimiliki buminya seperti emas, perak, timah dan pelbagai sumber logam yang lain. Kekayaan ini menjadikan gugusan kepulauan Melayu sebagai laluan perdagangan suatu ketika dahulu.

Penemuan rangka manusia di Tanah Jawa, di Semenanjung, Borneo, Sumatera dan lain-lain, jelas membuktikan penduduk asal di kepulauan ini sudah ada hampir 100 ribu tahun dahulu. Mereka mendudukinya dengan sifat-sifat tersendiri yang membentuk tamadun dan peradaban mereka. Maka, teori yang mengatakan bahawa gugusan kepulauan Melayu berasal daripada penghijrahan penduduk benua lain boleh dipertikaikan.

Data-data ini membuktikan bahawa penduduk asal sebagai penghuni yang dominan membentuk masyarakat masing-masing, kemudiannya membina negeri sebelum Masihi. Mereka telah melakukan penerokaan sekitarnya sehingga menjalinkan hubungan antara daerah ke daerah dan seterusnya menamakannya setiap jajahannya sebagai “Tanah Air”.

Melalui penerokaan itu, pelbagai perkongsian ilmu dilakukan termasuk perairan dan pelayaran sehingga negeri-negeri kepulauan ini terbentuk sebagai sebuah rumpun manusia dengan satu ragam budaya melalui satu rumpun bahasa. Akhirnya, terbina pandangan hidup pada penduduk asal gugusan kepulauan Melayu dalam persamaan nilai dan berkembang ke melata daerah persisiran benua Asia dan Lautan Teduh serta Hindi.

Wacana kali ini yang menampilkan Tan Sri Dato’ Yusof Hitam sebagai tokoh, telah mengembalikan kita dalam sebuah nostalgia yang cukup bermakna. Sebuah sejarah nostalgia yang hampir dan tidak kita pedulikan. Sebuah pembentukan peradaban yang cukup gemilang sehingga mewujudkan sebuah ketamadunannya yang tersendiri.

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044890
    Visit Today : 1311
    This Month : 27489
    Total Visit : 1044890
    Hits Today : 4904
    Total Hits : 4289877
    Who's Online : 5
  • Kategori