Oleh MARSLI N.O

 

Jauh Kita Berjalan, Saudara

“jauh kita berjalan, saudara
atas landasan sama
kita berbicara

waktu di silam zaman kehidupan,
masa kini
pun tentang usia semakin tua

kita akan berhenti
tatkala bertemu
simpang di hadapan

aku telah berjanji
mahu ke utara
dan kau hendak ke mana, saudara?”

Salmi SaidAPABILA membaca sajak di atas, yang disiarkan dalam majalah Dewan Sastera, Mei 1996, kita tidak akan menyangka sama sekali bahawa sajak tersebut ditulis oleh seorang yang hanya pandai menulis dan membaca setelah menanjak usia 25 tahun. Penyair yang dimaksudkan ialah Salmie Said yang dilahirkan pada 12 Julai 1958 di Kampung Belimbing, Kedai Mulong, Kota Baharu, Kelantan.

Anak kepada seorang penyadap kelapa ini sejak kecilnya memang tidak pernah bersekolah kerana sewaktu usianya tujuh tahun, semua ahli keluarganya diserang penyakit malaria. Akibat penyakit tersebut, ahli keluarganya yang terselamat hanyalah ayah, kakak dan Salmie sendiri.

Salmie tinggal bersama-sama datuknya sehingga berusia sembilan tahun. Apabila usianya sepuluh tahun pula Salmie tinggal bersama-sama bapa saudaranya dan menggembala lembu. Dalam persekitaran dusun dan bendang, Salmie meniti zaman kanak-kanaknya.

Menjejak usia remaja, Salmie menampung hidupnya dengan bekerja sebagai pembuat batik. Adat anak muda yang penuh gelora di dada, Salmie ingin merantau melihat suasana lain daripada persekitaran kampungnya. Dengan pengalaman kerja sebagai pembuat batik, Salmie berhijrah ke Singapura pada tahun 1974 untuk bekerja di sebuah kilang batik yang dimiliki oleh seorang pengusaha batik dari negeri kelahirannya. Akhir 1974, Salmie kembali ke Kota Baharu. Bagi meneruskan kehidupan, Salmie bekerja sebagai penyembelih ayam di pasar besar Kota Bharu.

Iri melihat teman-teman yang bernasib baik dapat belajar sempurna dan dapat membaca, secara diam-diam Salmie menyimpan hasrat untuk belajar membaca. Hasrat ini mulai tumbuh sewaktu usianya mencecah remaja. Gigih dan tekun tanpa berputus asa, dia belajar membaca sendiri. Menjelang usia 25 tahun, keingian untuk mengenal huruf semakin berkobar-kobar dalam dirinya. Mulai saat itu, Salmie secara terbuka suka membelek akhbar lama untuk belajar mengenal huruf. Akibatnya, dalam kalangan teman sekampung, Salmie selalu menjadi bahan sindiran dan dikatakan “sudah gila”.

Sindiran dan apa-apa sahaja ejekan tidak dipedulikan Salmie. Dengan bantuan beberapa orang teman yang bersimpati, Salmie belajar mengenal huruf dan mengingati cantuman huruf yang menerbitkan bunyi.  Sambil belajar mengenal huruf dan bunyi, Salmie belajar dan berlatih membaca. Buku yang dijadikan latihan pelajaran membacanya ialah novel Salina karya SNA. Samad Said.

Pada tempoh waktu itu juga, didorong oleh keghairahan beliau membaca apa-apa sahaja bahan yang diperolehi, niat untuk menulis mulai tumbuh dalam diri. Akhirnya, dengan usaha gigih beliau, mulai tahun 1972, Salmie dapat membaca dan sekali gus dapat menulis.

Demi mencari ilmu dan pengalaman kesusasteraan, Salmie menerima ajakan seorang sahabat bernama Abdul Rahman Said untuk menyertai ASWADA pada tahun 1979 sebagai ahli jawatankuasa penaja dan telah dilantik sebagai Pengerusi Biro Kebudayaan.

Bersama-sama ASWADA jugalah Salmie mula menulis puisi. Dorongan menulis ini tidak lain kerana Salmie memang bercita-cita mahu menjadi penyair mengikut cara sendiri. Antara teman penyair terdekat waktu itu ialah Ahmad Usra Putra (Ahmad Rahimi Husin).

Pada awal pembabitannya dalam bidang penulisan puisi, kebanyakan puisi-puisi Salmie yang dikirimkan ke syarikat penerbitan ditaip dengan bantuan seorang teman penyair bernama M Yarisman Kelantan (Mat Yaakub Deraman) yang ketika itu  merupakan Setiausaha Persatuan Penulis Kelantan (PPK).Penulis (kanan) bersama-sama Salimie Said

Setelah beberapa tahun menulis puisi, karya Salmie yang berjudul “Kadangkala Kita Menjadi Rindu” telah disiarkan oleh akhbar Utusan Zaman. Walau bagaimanapun, judul puisi tersebut ditukar oleh editor menjadi “Kadangkala Kita Menjadi Lupa”. Menurut Salmie, sebelum puisi ini disiarkan, dia telah pun menghasilkan sejumlah puisi yang telah dikirimkan kepada pelbagai syarikat penerbitan.

Salmie telah mendaftar sebagai ahli PPK. Sehingga tahun 1997, sekitar 50 buah puisi beliau disiarkan oleh media seperti Bacaria, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Watan dan Dewan Sastera. Mengenai proses penciptaan puisinya, Salmie mengakui bahawa beliau biasanya mencipta pada waktu malam dan sesebuah puisi pula tidak menentu jangka masa penciptaannnya. Ada yang memakan waktu yang agak lama dan ada pula yang dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat. Penyiar yang masih bujang ini mengaku pernah dua kali jatuh cinta, tetapi kesemuanya itu tidak pernah kesampaian.

Untuk kelangsungan hidup,  Salmie bekerja sebagai penjual ayam di sebuah gerai menjual ayam di pasar Kota Bharu. Walaupun tidak tersohor dan dikenali sebagai penyair, Salmie tetap juga menulis sajak demi sajak.

“Walau agak perlahan, aku tetap juga menulis,” kata Salmi. Sajaknya yang berjudul “Bola Fikirku Berguling-guling” menggambarkan sikap dan kecintaannnya terhadap sajak.

 

Bola Fikirku Berguling-guling

bola fikirku berguling-guling
ligat mengendap arah
setelah keluar mengecap bebas

(kerana entah berapa senja
ia terpenjara
dalam sempit tempurung kepala)

maka dengan kebebasan ini adalah wajar
untuk kujarakkan cepat melintas benua semua
atau pelosok dunia
demi memberi semangat manusia malang
kerana sengketa perang.

(Sumber: Dewan Sastera, Oktober 1995)

Kini, Salmie Said hidup bersendirian di sebuah rumah yang dibina oleh keluarganya di Kampung Belimbing, Mulong, Kota Bharu setelah diserang penyakit angin ahmar. Serangan penyakit ini telah menjejaskan pertuturan dan pergerakan beliau dan sekali gus juga menghalang beliau meneruskan tugas hariannya sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Bandar Baru Tunjong.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1053537
    Visit Today : 482
    This Month : 1790
    Total Visit : 1053537
    Hits Today : 1329
    Total Hits : 4324847
    Who's Online : 15
  • Kategori