Oleh MARSLI N.O

 buku Marsli

Sebuah novel, sebagai sebuah karya sastera terbina oleh dua unsur, iaitu dalaman (intrinsik) dan luaran (ekstrinsik). Jika unsur dalaman merupakan komponen yang membangunkannya dari dalam seperti tema atau pokok permasalahan dalam karya, penokohan, latar, alur atau plot, sudut pandang dan gaya bahasa, unsur luaran pula merupakan unsur yang membangunkan karya sastera dari luar seperti masa karya tersebut dicipta, latar belakang kehidupan pengarang, latar belakang sosial pengarang, latar belakang penciptaan, sejarah, biografi pengarang dan sebagainya. Kedua-dua unsur ini, dalaman (intrinsik) dan luaran (ekstrinsik), saling berkaitan serta turut juga mempengaruhi sikap dan cara kepengarangan seseorang novelis.

 Sebuah novel yang ditulis oleh seorang pengarang, sebagai karangan fiksi, walaupun berupa khayalan, namun adalah tidak benar jika dianggap sebagai hasil kerja lamunan belaka. Sebanyak atau sedikit, sebuah novel pastilah dituliskan berdasarkan pemerhatian, renungan dan tanggapan pengarang terhadap dunia di sekitar dirinya, samada yang dikenalnya secara langsung mahupun melalui pengalaman kedua atau ketiga yang dipinjam, yang didengar melalui orang lain atau bacaan-bacaannya. Atau lebih tepat lagi, sebuah novel merupakan suatu hasil karya sastera yang ditulis hasil dari penghayatan dan perenungan secara mendalam terhadap hakikat hidup dan kehidupan, yang dilakukan dengan penuh kesedaran dan rasa tanggungjawab pengarangnya.

 Dalam kata lain, segala yang telah tercerna di dalam fikirannya akan kemudiannya dituangkan kembali dalam bentuk sebuah karya, dengan medium bahasa yang dikuasainya dengan fasih. Kata demi kata yang dirangkaikan untuk menbentuk serta menjadikannya kisah demi kisah pastilah dituliskan berdasarkan pendekatan dunia yang dilihat serta dimaknainya sendiri, yang tidak boleh tidak akan berkait rapat dengan latar belakang sosial, pendidikan dan falsafah hidup pengarangnya.

 Kenyataan ini bertepatan jika karya sastera dilihat dari sudut teori seperti ekspresif atau pragmatik. Dari pendekatan teori ekspresif, karya sastera dikatakan merupakan ekspresi seorang sasterawan yang dijadikannya alat curahan perasaan atau luapan perasaan serta fikirannya. Atau, sebagai produk imaginasi sasterawan yang bekerja dengan persepsi, fikiran atau perasaannya. Sementara itu, berdasarkan teori pragmatik, karya sastera dipandang sebagai wadah untuk menyampaikan tujuan tertentu seorang sasterawan, misalnya nilai-nilai atau ajaran kepada pembaca. Berdasarkan dua pendekatan teori ini dapatlah disimpulkan bahwa karya sastera (novel) merupakan gambaran kehidupan “nyata” yang ditulis oleh pengarang dengan tujuan untuk menyampaikan pesan tertentu kepada pembaca.

 Memang sebuah novel menyuguhkan sebuah cerita. Namun seorang pengarang tentu sahaja ketika menuliskan novelnya, tidak sahaja berniat hendak semata-mata menyampaikan cerita. Di sebalik hasrat serta keinginannya untuk bercerita itu, bagi seorang pengarang, yang bertanggung jawab serta punya visi serta misinya, pastilah punya motivasi lain untuk menyampaikan sesuatu yang bermakna kepada para pembacanya.

 Kerana, bagi seorang pengarang yang menyedari penuh akan tanggungjawab kemanusiaan yang dipikulnya, sastera di tangannya merupakan “ilmu” yang ingin disampaikan kepada khalayak pembaca dan masyarakat melalui karya-karya hasil ciptanya yang penuh dengan keindahan serta sarat dengan pesan serta makna yang berguna.

 Di samping itu, menyedari betapa sebuah karya sastera memiliki pengaruh besar di segala aspek kehidupan, secara tersembunyi juga pengarang berusaha untuk menyusupkan ideologi, misi budaya dan bujukan-bujukan agar berpihak secara tersembunyi dan terselindung di sebalik pesan dan amanat yang disampaikan di dalam karyanya.

 Hal ini bertepatan dengan apa yang telah digariskan Horatius, penyair berbahasa Latin, yang menggariskan manfaat sastera sebagai:

 a. Karya sastera dapat membawa pembaca terhibur melalui berbagai kisahan yang disajikan pengarang mengenai kehidupan yang ditampilkan. Pembaca akan memperoleh pengalaman batin dari berbagai tafsiran terhadap kisah yang disajikan.
 b. Karya sastera dapat memperkaya jiwa/emosi pembacanya melalui pengalaman hidup para tokoh dalam karya.
 c. Karya sastera dapat memperkaya pengetahuan intelektual pembaca dari gagasan, pemikiran, cita-cita, serta kehidupan masyarakat  yang digambarkan dalam karya.
 d. Karya sastera mengandung unsur pendidikan. Di dalam karya sastera terdapat nilai-nilai tradisi budaya bangsa dari generasi ke generasi. Karya sastera dapat digunakan untuk menjadi sarana penyampaian ajaran-ajaran yang bermanfaat bagi pembacanya.
 e. Karya sastera dapat dijadikan sebagai bahan perbandingan atau penelitian tentang keadaan sosial budaya masyarakat yang digambarkan dalam karya sastera tersebut dalam waktu tertentu.

Tugas dan peranan inilah yang kelihatannya cuba dilaksanakan oleh pengarang, A.Rahman C.M., dalam dua novel beliau yang dijengah di sini. Kedua-dua novel beliau, Dalam Rindu yang dicatatkan sebagai diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur tahun 2013, sementara novel Orang Ketiga yang juga merupakan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur bagi tahun 2013, tetapi dicatatkan sebagai “Cetakan Pertama 2012”.

 Dalam Rindu, novel setebal 580 halaman ini, yang dibahagikan dengan judul-judul “Yang Pergi” (halaman 1 – 170), “Yang Tinggal” (halaman 171 – 322), “Pembedahan” (halaman 323 – 419), “Derita” (halaman 420 – 507), “Pertemuan” (508 – 552) dan “Kesyukuran” (553 – 580) secara garis besarnya memaparkan persoalan kejiwaan para wataknya, terutama Sani, yang walaupun telah kembali menjejakkan kakinya ke tanah air selepas tamat belajar dan meraih kejayaan sebagai pakar bedah jantung dari luar negara, namun menangguhkan hasrat untuk menemui ayah dan ibunya, semata-mata kerana masih terkenangkan kisah suatu masa dahulu dia pernah dihalau oleh ayah kandungnya sendiri, semata-mata kerana dia membantah hasrat ayahnya yang mahukan dia melanjutkan pelajaran di bidang pengajian al-Quran di Jordan.

 Dilihat secara seimbas memang tindakan Sani yang seakan masih menyimpan dendam terhadap ayah kandungnya sendiri itu suatu tindakan yang tidak wajar. Namun, dengan lihainya A.Rahman C.M. mewajarkan tindakan watak Sani itu dengan naratifnya dalam novel ini:

“Aku tidak boleh balik ke rumah abah sekarang. Kalau aku balik, dan kalau abah masih marah, akan timbul tekanan kepada emosinya. Maka penyakit darah tingginya akan melarat.Tidak boleh balik.

Nanti mengejutkan abah.

Dalam keadaan sekarang kepala abah seharusnya sentiasa dingin.”

                                                                                 (Halaman 133)

 Namun, jika kita selaku pembaca ingin berlaku adil dengan Sani, kita juga wajar kembali bertanya, tidakkah tindakan ayahnya yang menghalau Sani keluar dari rumah semata-mata kerana Sani memilih untuk melanjutkan pengajian di bidang yang disukai serta diminatinya itu juga bukankah suatu ketegasan yang tidak kena pada tempatnya? Kerana, betapa pun seorang ayah berasa berhak untuk menentukan arah dan jalan hidup seorang anaknya, namun pada waktu sama, seorang anak juga berhak dan perlu untuk menyatakan kehendak dan hasratnya, selagi tidak sampai atau bukan sesuatu yang boleh mendatang keburukan kepada dirinya mahupun masyarakat. Apa lagi dalam soal pendidikan yang bakal menentu dan mencorakkan nasib serta masa depan seorang anak.

 Namun sebagai pengarang, A.Rahman C.M. telah menunjukkan kebijaksanaannya dengan cara tidak menghukum atau menyebelahi mana-mana pihak, anak atau ayah, dengan menurunkan naratif-naratif yang berimbang dan mewujudkan watak orang tengah yang memilih jalan sentiasa menasihati Sani agar terus berada di jalan yang benar dan tidak sampai menjadi seorang anak yang derhaka.

 Watak tersebut yang diwujudkan oleh A.Rahman C.M. dalam novelnya ini ialah watak pak long dan mak long yang tidak mempunyai anak dan sanggup menerima Sani di rumahnya selepas dihalau dari rumah. Di rumah mereka, Sani dipelihara dan dijaga seperti anak mereka sendiri, sehingga Sani melanjutkan pelajaran ke luar negeri.

 Berdasarkan naratif A.Rahman C.M. dalam novelnya ini, azimat nasihat yang disampaikan oleh pak long telah menyelamatkan Sani daripada menjadi anak yang derhaka kepada ayahnya. Pesan ini dinaratifkan oleh pengarang sebagai berikut:

“Mak long memaklumkan juga bahawa, sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, pak long ada berpesan supaya Sani meneruskan pengajiannya dalam bidang perubatan. Di samping itu terus-terusan menghafaz ayat-ayat suci al-Quran. Dan pesanan yang amat penting daripada pak long ialah, dalam apa keadaan sekalipun, Sani tidak boleh sekali-kali meninggikan suara kepada kedua-dua orang tuanya. Dalam erti kata lain, Sani tidak boleh menderhaka.Pak long juga berpesan agar Sani banyak-banyak bersabar dan menganggap sikap ayahnya itu sebagai dugaan. Kata pak long, Sani tidak boleh menderhaka kepada ayahnya.”

                                                                                   (Halaman 54)

Selain pak long, insan berjasa yang banyak menasihati serta membimbing Sani, mak longnya juga turut sama memainkan peranan. Ini antaranya dinaratifkan oleh A.Rahman C.M. dalam novel ini:

“Sani ingat, ketika dia hendak berangkat ke Bristol, UK, 12 tahun yang lalu mak long mendakapnya kemas-kemas seperti dakapan ibunya sendiri. Di cuping telinganya mak long berbisik, “Jaga dirimu baik-baik. Ingatkan Allah selalu.”

                                                                                               (Halaman 105)

 Novel ini memang berakhir dengan pengakhiran gembira. Sani akhirnya kembali bertemu dengan ayahnya, Dali, dan tentu sahaja dalam suasana yang amat mengharukan.

 Sebagai pembaca, kita akan mendapat gambaran betapa konflik terjadi kerana sikap Dali yang terlalu mengikut marah di hatinya sehingga sanggup menuturkan kata-kata yang tidak sepatutnya dituturkan oleh seorang ayah kepada anaknya. Sebagai pengarang, secara tidak langsung A.Rahman C.M. cuba menyampaikan pesan kepada para lelaki yang bergelar bapa lewat dialog ini:

“Terima kasih apanya, Dali? Anak-anak kamu, anak saudara aku. Mereka aku anggap macam anak aku,” jawab mak long. “Kamu tu kena jaga mulut. Dah tua-tua ni tidak elok ikut perangai zaman muda,” sambung mak long lagi.

                                                                                                (Halaman 566)

Demikian juga dengan novel Orang Ketiga. Jika novel Dalam Rindu memaparkan pergolakan jiwa Sani sebelum bertemu ayahnya, secara garis besarnya novel Orang Ketiga pula berkisah mengenai kehadiran seorang datuk bernama Haji Ali yang terlalu memanjakan cucu-cucunya sehingga melampaui batas dan mendatangkan akibah yang buruk kepada cucu yang dimanja-manjakannya itu.

“Ayah hanya mahu suka-suka dengan cucunya. Itu saja yang ada dalam kepalanya. Dia tak fikir masa depan cucunya. Dia tak fikir tentang pentingnya pelajaran untuk cucunya. Dia nak suka saja. Kalau boleh dia mahu ke mana-mana saja dengan cucunya. Ke pasar, ke kedai, makan,” kata Bakar turut melepaskan gelodak rasa dalam kalbunya.”

                                                                                                   (Halaman 40)

Akibat terlalu memanjakannya itu, kesan dan akibahnya telah menimpa diri cucu-cucunya iaitu Borhan, Amran dan Jalal. Jika Borhan sebagai cucu yang amat disayangi oleh Haji Ali setelah dewasa dan berumah tangga menjadi seorang suami yang mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga dan isterinya, Amran pula, akibat terlalu dimanjakan dan sentiasa dibela oleh datuk yang amat “penyayang” itu telah menjadi pemuda yang pandai berbohong dan menagih dadah. Demikian juga dengan Jalal, tidak sahaja menjadi penagih dadah, malah tergamak merompak rantai emas yang dipakai neneknya sendiri semata-mata untuk membeli dadah. Gambaran kesilapan Haji Ali yang keterlaluan memanjakan cucu-cucunya ini dinaratifkan A.Rahman C.M. sebagai:

“Dia hanya mahu suka-suka dengan cucunya. Tidak kira waktu, tidak kira masa. Bakar marahkan sikit saja Si Amran tu, terus lari ke rumah tuk kinya tu. Takkanlah berhat-hari Bakar nak ikut Amran sampai ke rumah ayah mentuanya? Akhirnya dia pun dah tak kuasa. Dibiarkannyalah. Itulah sudah jadinya. Amran jadi manja, mua tak tentu pasal. Akhirnya terlibat dengan dadah,” kata pak su. Terbayang kesal di wajahnya. Mak su menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali.”

                                                                                                 (Halaman 98)

 Novel Orang Ketiga diakhiri dengan keinsafan Amran dan di bahagian ini jugalah A.Rahman C.M. selaku pengarang novel ini menaratifkan betapa sikap Haji Ali memanjakan cucunya secara keterlaluan dan tidak kena pada tempatnya itu telah mendatangkan akibat lain yang lebih buruk kepada cucu-cucunya:

“Malam itu Amran menilai dirinya dan datuknya, Haji Ali. Dia ingat bahawa datuknyalah orang penting yang menjerumuskan dia ke lembah hina sebagai penagih dadah. Amran masih ingat. Hari pertama dia kena penampar ayahnya kerana pulang lewat, dan belakangnya pula dibedal dengan tali pinggang, datuknya yang datang mengheretnya keluar.Amran kemudian menjadi manja, menjadi mua kerana dia ada tempat bergantung yang utuh. Kalau ayahnya marah, dia lari ke rumah datuknya. Kalau ibunya berleter, dia cabut ke rumah datuknya sehingga dia hilang pedoman dan tidak boleh berfikir untuk kebaikan dirinya sendiri. Dia tidak boleh menilai antara yang baik dan buruk. Dia boleh berdusta dengan datuknya, tetapi dia tidak boleh berbohong dengan ayahnya.

                                                                                 (Halaman 307 – 308)

Sikap pemanjaan Haji Ali yang tidak kena pada tempatnya sehingga mendatangkan rasa mua atau naik tocang kepada cucu-cucunya ini dinaratifkan pengarang berakhir dengan akibah buruk. Namun demikian, selaku pengarang, A.Rahman C.M. tidak meninggalkan permasalahan yang dipaparkan dalam novelnya ini sebagai permasalahan yang tidak punya jalan penyelesaian.

 Di sinilah sebagai pengarang, A.Rahman C.M. memperjelaskan sosok keperibadiannya sebagai pengarang Muslim yang jelas memilih alternatif atau jalan penyelesaian menurut landas keislaman. Dalam novel Orang Ketiga ini, watak Amran yang dinaratifkan pengarang penagih dadah tegar yang keluar masuk pusat pemulihan konvensional akhirnya diserahkan oleh ayahnya, Bakar untuk dipulihkan oleh bapa saudaranya yang berpangkat tuk su kepada Amran secara Islam:

“Cara pemulihan yang pak su nak buat ni Bakar, cara kita orang Islam. Mulai malam ini, Am kena beristighfar 100 kali selepas selepas solat maghrib selama 41 malam ….”

                                                                                                  (Halaman 63)

 Secara langsung mahu pun tidak langsung, A.Rahman C.M. juga menyampaikan mesej yang amat penting sebagai panduan kita selaku pembaca yang beragama Islam, yang mana solat merupakan tiang dan tunjang bagi agamanya sebagai yang berikut:

“Mulai esok, selepas solat subuh, Am kena baca surah al-Ikhlas sebanyak 100 kali, selama 41 hari juga. Selepas baca 100 kali, niat dalam hati, mohon Allah tunjukkan jalan yang benar ….”

                                                                                  (Halaman 65)

 

Kesimpulan

A.Rahman C.M. atau nama sebenar Abd. Rahman bin Che Mat, pengarang kelahiran Kuala Terengganu pada 20 Januari 1943 ini merupakan bekas guru dan pernah meraih Hadiah Sastera Malaysia 1982/83 bagi kategori cerpen, melalui kedua novel yang dijengah dalam percakapan ini ternyata sangat menyedari tanggungjawab kemanusiaannya sebagai insan Muslim dan sebagai bekas seorang guru pula, beliau terkesan sangat mendahulukan amanat dan pesan berbanding unsur-unsur lain dalam kedua-dua buah karyanya ini.

 Sebagai seorang pengarang Muslim, melalui amanat dan pesan yang disampaikan melalui naratifnya dalam novel ini, terkesan bahawa jalan penyelesaian yang ditawarkan beliau adalah sebagaimana yang telah digariskan oleh agama Islam yang suci lagi mulia.

 Kedua-dua buah novel karangan A.Rahman C.M. ini memang terlalu tebal dengan pesan dan amanat. Namun, bagi pembaca yang dahagakan tidak hanya semata-mata cerita, kehadiran pesan dan amanat yang kadang-kala terasa diucapkan secara langsung oleh pengarang dalam novelnya ini bukanlah pula menjadi kecacatan sehingga mengganggu kenikmatan dalam pembacaan. Apa lagi apabila lama direnungkan, betapa A.Rahman C.M. menulis dan menciptanya dengan nafas keislaman yang kental, yang sekali gus juga menawarkan jalan penyelesaian secara Islami.

 Jika ingin dilihat keistimewaannya, maka kedua-dua buah novel inilah dapat dikatakan kelebihan A.Rahman C.M.!

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035063
    Visit Today : 1279
    This Month : 17662
    Total Visit : 1035063
    Hits Today : 6366
    Total Hits : 4244700
    Who's Online : 9
  • Kategori