Oleh NURDIANA BINTI MOHD NOR

 

Seminar Sastera Pelbagai Kaum telah diadakan pada 7 April 2015 di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dengan tema “Memperkasa Integrasi Nasional Melalui Sastera Kebangsaan”. Seminar ini merupakan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan ASWARA dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Antara objektif utama seminar ini adalah untuk menjalin serta merapatkan hubungan antara kaum di negara ini, khususnya dalam kalangan penulis pelbagai kaum melalui aktiviti dan wacana sastera. Di samping itu, seminar juga bertujuan agar teks sastera kreatif dapat digunakan sebagai sumber kajian sosiobudaya yang boleh dimanfaatkan dalam usaha pemupukan serta pemerkasaan integrasi nasional.

hadirin II

Antara yang hadir dalam Seminar Sastera Pelbagai Kaum baru-baru ini.

Penganjuran seminar ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memupuk perpaduan antara kaum dan mengintegrasikan rakyat Malaysia menjadi satu keluarga besar bangsa Malaysia melalui pelbagai cara dan pendekatan. Seminar ini telah dihadiri oleh karyawan DBP, ahli akademik, penggiat sastera, penulis, pelajar IPT dan pelajar sekolah.

Majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YBhg. Prof. Dr. Hatta Azad Khan, Rektor ASWARA. Menurut beliau, seminar seumpama ini merupakan salah satu medium untuk DBP dan ASWARA membantu mengukuhkan persefahaman dan pengertian antara masyarakat pelbagai kaum.

Hatta azad khan

Ucapan perasmian oleh YBhg. Prof. Dr. Hatta Azad Khan, Rektor ASWARA.

Beliau berharap agar seminar ini menjadi medan para karyawan dan pelajar berkongsi pendapat dan cadangan untuk memantapkan bidang kesusasteraan di samping menemukan kekuatan akademik bagi menyelesaikan polemik dalam kehidupan yang majmuk.

Prof. Dr. Hatta turut berterima kasih kepada pihak DBP kerana sentiasa melibatkan ASWARA dalam pelbagai program DBP dan turut berharap agar seminar ini dapat diteruskan bagi meningkatkan mutu karya sastera pelbagai kaum seterusnya merapatkan hubungan antara kaum di negara ini.

ding choo ming

Ucaptama oleh YBhg. Prof Dr. Ding Choo Ming, Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

Seterusnya, ucaptama telah disampaikan oleh YBhg. Prof Dr. Ding Choo Ming, Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM. Menurut beliau, semasa era penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, penjajah dan pedagang Inggeris telah merampas kuasa ekonomi dan politik Melayu. Kesannya, sehingga kini, orang Melayu masih takut dengan orang bukan Melayu, sehinggakan wujudnya pelbagai polemik antara mereka.

“Protes orang Melayu kepada orang bukan Melayu pada satu masa dahulu, dicetuskan melalui beberapa karya seperti “Syair Dagang Jual Beli” dan “Syair Potong Gaji””, kata beliau.

Menurut beliau lagi, antara karya sastera sebelum perang yang menyentuh masalah hubungan kaum ialah “Cerita Awang Putat” karya Abdul Rahim Kajai. “Sastera ialah hasil seni yang terpancar daripada daya kreatif, intelek dan kesedaran penulis yang peka dengan peristiwa yang berlaku.”

panel pembentang

Antara panel yang membentangkan kertas kerja mereka pada hari tersebut.

Dalam seminar ini sebanyak sembilan kertas kerja telah dibentangkan, meliputi genre umum; drama dan puisi moden; cerpen dan novel. Bagi genre umum, pembentang yang terlibat ialah Encik Eh Chot Cha Chan, Dr. Jeniri Amir dan Dr. Ramzah Dambul. Pembentang bagi drama dan puisi ialah Dr. Loy Chee Luen, Dr. Nur Afifah Vanita Abdullah dan En. Chai Loon Guan. Bagi sesi pembentangan genre cerpen dan novel, Puan Raja Rajeswari Seetha Raman, Encik Saifullizan Yahaya dan Dr. Phat Awang Deng telah membentangkan kertas kerja mereka.

Semoga seminar ini akan terus diadakan bagi meningkatkan mutu karya sastera pelbagai kaum, khususnya yang ditulis dalam bahasa kebangsaan, seterusnya, merapatkan hubungan antara penulis pelbagai kaum di negara ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1053683
    Visit Today : 628
    This Month : 1936
    Total Visit : 1053683
    Hits Today : 1925
    Total Hits : 4325443
    Who's Online : 7
  • Kategori