Oleh NISAH HARON
PELAJAR yang ingin menulis pada hari ini amat bertuah. Mereka sudah didedahkan dengan asas sastera sejak dari tingkatan satu lagi. Komponen Sastera (KOMSAS) dalam Bahasa Melayu telah membawa subjek sastera merentas disiplin. Oleh itu, mempelajari sastera tidak lagi menjadi hak eksklusif pelajar aliran sastera.
Melalui KOMSAS juga, pelajar mengenali T-W-L-P-G-S iaitu tema, watak, latar, plot, gaya bahasa dan sudut pandangan iaitu enam elemen yang sering dikaji melalui komponen ini. Elemen ini menjadi asas kepada kajian sastera. Hal ini berbeza apabila ada pelajar yang ingin menulis karya sastera, contohnya, cerpen. Untuk menulis karya sastera, saya menyarankan anda supaya melupakan T-W-L-P-G-S ini terlebih dahulu. T-W-L-P-G-S harus digunakan ketika mengkaji karya yang sudah siap dan bukannya sebagai tempat memulakan penulisan.
Tema, sebagai elemen utama yang dikaji dalam karya sastera amat penting untuk mengetahui jenis karya yang selesai dibaca. Bagi karya yang belum lagi ditulis, mana mungkin kita mengetahui apakah tema yang bakal dipaparkan.
Sebagai contoh, apabila bertemu seorang sahabat lama, kita terus menegurnya dengan ungkapan “Apa khabar?” atau “Apa cerita?” Belum pernah lagi kita bertanya “Apa tema?” kepada sahabat kita itu. Mungkin, setelah pulang barulah kita simpulkan bahawa perbualan dengan sahabat kita tadi bertemakan pengalaman pendidikan, kekeluargaan, dan sebagainya.
Berdasarkan peta minda di atas, perhatikan bahawa cara membina cerita bermula dengan empat elemen di sebelah kanan iaitu : apa, siapa, di mana dan bila. Ini bererti, fokuskan cerita anda kepada empat perkara ini:
– Apa ceritanya? (Subjek cerita)
– Siapa yang terlibat di dalam cerita ini? (Watak )
– Di mana cerita ini terjadi (Latar tempat dan masyarakat)
– Bila cerita ini berlaku? (Latar masa)
Apabila penulis jelas dengan keempat-empat perkara asas ini, barulah asas sebuah cerita dapat dibentuk. Anda sebagai penulis dapat membayangkan di dalam minda atau melakar rangka cerita berdasarkan empat soalan ini. Jika tidak, anda akan keliru dengan fokus cerita, watak-watak yang penting dan latar tempat serta masanya. Ketika sedang menulis, rangka yang tidak jelas akan mengganggu kelancaran proses dan kekeliruan yang timbul akan menjadikan cerpen anda huru-hara.
Contoh : bayangkan anda mahu menulis tentang –
– Rumah terbakar (subjek)
– Siapa yang terlibat atau terbakar (watak)
– Di mana rumah itu? Rumah kayu, banglo, apartmen (latar tempat)
– Pukul berapa kejadian berlaku (latar masa)
Daripada empat perkara di atas ini sahaja, pelbagai cerita boleh dibentuk. Bina cerita dengan bertanya banyak soalan. Apakah punca kebakaran? Litar pintas, bermain mancis? Mengapa hal itu boleh terjadi? Sesudah anda kumpulkan cebisan-cebisan maklumat yang kita bina sendiri, barulah anda susun kembali untuk melihat bagaimana cerita ini harus disampaikan.
(Catatan: Nisah Haron merupakan pengarang sepenuh masa yang sering membimbing penulisan kreatif di dalam dan luar negara. Banyak memenangi anugerah penulisan termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Hadiah Sastera Berunsur Islam. Ikuti tip-tip menulis di Facebook: “Nisah Haron – Pengarang” atau Twitter : @nisahharon)