Oleh ADNAN JAMIL

 

Sungai Besar, sebuah pekan yang terletak di antara Sekinchan dan Sabak Bernam, Selangor. Jarak jauh pekan ini dari Kuala Lumpur ialah 120 kilometer.

Pekan Sungai Besar

Sungai Besar, pekan yang terletak di antara Sekinchan dan Sabak Bernam, Selangor.

Kebanyakan penduduk Sungai Besar terdiri daripada petani, pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS) dan nelayan. Padi merupakan tanaman utama, selain kelapa kelapa sawit. Sungai Besar menjadi pusat pentadbiran Majlis Daerah Sabak Bernam.

 Pekan ini menjadi tempat persinggahan bagi mereka yang menuju ke Sabak Bernam atau Teluk Intan. Sebagai pekan terbesar di daerah Sabak Bernam, banyak premis perniagaan muncul bagi memenuhi keperluan pelanggan tempatan dan luar. Penulis berkesempatan meninjau pekan ini untuk melihat penggunaan bahasa pada papan tanda nama kedai dan kawasan perumahan.

Pengunjung pasti tertarik dengan nama sebuah kedai peralatan perkahwinan yang dinamakan “Galeri Memori Indah”. Perkahwinan suatu memori yang indah dan akan menjadi kenangan manis bagi pasangan pengantin. Pemilik kedai bijak menamakan kedainya yang tentu sahaja menjadi tarikan bakal raja sehari.

sg besar 2

Pemilik kedai bijak menamakan kedai.

Sebuah kedai dobi dinamakan “Aneka Mesra”. Menarik juga nama kedai dobi ini. Bagaimanakah agaknya kemesraan yang beraneka yang ditunjukkan oleh pemilik dan pelayan kedai tersebut?

sg besar 3

Kedua-dua premis ini menggunakan Hukum D-M yang tepat.

“Pusat Pakaian Kime” mengutamakan bahasa Melayu, selain bahasa Cina. Pelanggan pelbagai bangsa sudah tentu mudah memahami bahasa Melayu yang ditulis dengan saiz huruf yang jelas dan besar.

Begitu juga dengan “Poliklinik Gunwant”, nama poliklinik ditulis dalam bahasa Melayu dengan jelas dan saiz tulisan bahasa Cina yang kecil sedikit di bawahnya. Kedua-dua premis ini menggunakan Hukum D-M yang tepat.

sg besar 10

Keprihatinan mereka menggunakan bahasa kebangsaan, harus dibanggakan.

Pemilik “Restoran Chan Kee”, “Restoran How Wan” dan “Kedai Kopi Yen Woh” turut mengutamakan bahasa Melayu pada papan tanda kedai mereka. Walaupun restoran ini khusus untuk pelanggan bukan Melayu, keprihatinan mereka menggunakan bahasa kebangsaan, harus dibanggakan.

Pemilik “Kedai Elektrik Syarikat Ban Soon Leong” meletakkan papan tanda kedainya dalam bahasa Melayu yang jelas dan mudah difahami. Perkataan “elektrik” yang sering menjadi kekeliruan dan kerap kali salah ejaannya ditulis dengan betul.

sg besar 8

Menamakan papan tanda kedai dalam bahasa Melayu yang jelas.

“Hair Salon & Kedai Dobi” mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pada papan tanda kedai. Pemilik kedai ini dinasihatkan supaya menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. “Hair Salon” digantikan dengan “Salun Rambut”.

sg besar 4

“Hair Salon” sepatutnya digantikan dengan “Salun Rambut”.

Terdapat juga premis perniagaan yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya bagi nama kedai mereka, seperti “Zarith Collection”, “Cindai Rita Collection”, “Zek Collection” dan “Gan Fashion Boutique”. Penulis berharap Pihak Berkuasa Tempatan dapat menegur dan meminta pemilik premis-premis tersebut agar menggantikan nama pada papan tanda nama kedai mereka kepada bahasa Melayu.

sg besar 5

Pemilik premis-premis tersebut perlu menggantikan nama pada papan tanda nama kedai mereka kepada bahasa Melayu.

Dari pemerhatian penulis, kebanyakan pemilik premis perniagaan yang melakukan kesalahan dan sukar menulis kata majmuk “pasar raya” dengan betul Pemilik “Pasaraya Borong Sakan”, “Pasaraya Billion” dan “Pasaraya Eng Siong” hendaklah membetulkan ejaan “pasaraya” pada papan tanda nama kedai mereka menjadi “pasar raya”. Kata majmuk hendaklah ditulis dua patah perkataan.

sg besar 6

Ejaan “pasaraya” hendaklah ditulis dua patah perkataan.

sg besar 9

Masih terdapat pengguna bahasa Melayu yang keliru dengan penggunaan kata sendi “di”.

Di samping itu, masih terdapat pengguna bahasa Melayu yang keliru menulis “di” sebagai imbuhan awalan dan “di” sebagai kata sendi nama. Kedudukan “di” sebagai imbuhan awalan hendaklah digabungkan dengan kata dasar selepasnya. Manakala “di” “yang berfungsi sebagai kata sendi nama dijarakkan daripada frasa atau kata nama yang mengikutinya.

sg besar 7

Antara nama jalan yang sesuai dan indah sebutannya.

Mengakhiri tinjauan, penulis melewati jalan dan kawasan taman perumahan yang diberi nama agak menarik. Kebanyakannya menggunakan nama pokok, seperti Jalan Ceri, Jalan Keriang, Jalan Sena, Jalan Meranti dan Jalan Jati. Kawasan perumahan, nama-nama seperti Taman Raya, Taman Ria dan Taman Desa Indah sangat sesuai dan indah sebutannya.

Orang ramai, termasuk pemilik premis perniagaan dinasihatkan supaya merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam semua urusan kebahasaan. Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa disediakan bagi para pengguna bertanya tentang kemusykilan bahasa, sastera, penerbitan dan korporat. Pertanyaan akan dijawab oleh pemudah cara yang bertugas, iaitu Pegawai Khidmat Nasihat Bahasa dan Pakar Rujuk Bahasa.

DBP turut menerbitkan Siri Lembar Bahasa sebagai panduan bagi menamakan bangunan, syarikat, jalan, taman perumahan, perkhidmatan, pusat rekreasi, fesyen dan program media. Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa dan Siri Lembar Bahasa dapat dicapai melalui Laman Sesawang DBP – http://www.dbp.gov.my.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1050155
    Visit Today : 1000
    This Month : 32754
    Total Visit : 1050155
    Hits Today : 5336
    Total Hits : 4310097
    Who's Online : 10
  • Kategori