Oleh NAZURA ABDUL MANAP

 

Abstrak

Dewasa ini penghasilan sebuah filem yang diadaptasikan daripada novel sudah menjadi semakin popular dalam kalangan produser filem Melayu. Fenomena ini sudah menjadi kebiasaan dalam filem-filem asing terutama dari Amerika Syarikat. Filem sekuel Harry Potter yang berasaskan tujuh novel masyhur hasil tulisan JK. Rowling antara yang ditunggu-tunggu saban tahun. Malah, filem sekuel Lord of the Ring yang masih dinanti-nantikan kemunculan sekuel baru telahpun diperpanjangkan dengan adaptasi novel yang berkaitan dengannya seperti “The Hobbiton” dan juga telah diuar-uarkan bakal munculnya filem “The Elf”  berasaskan watak Legolas yang berkesan daripada filem tersebut. Di Malaysia, walaupun perkembangannya tidak sepesat di Amerika Syarikat, mengadaptasi novel ke filem telah pun menjadi semakin meluas. Filem Legenda Budak Setan dan Ombak Rindu telah membuktikan filem berasaskan novel semakin mendapat tempat di hati peminat-peminat filem tempatan dan mereka sanggup melabur duit untuk menontonnya di pawagam. Adaptasi filem ke novel merupakan isu penting dalam undang-undang hak cipta. Mungkin ramai dalam kalangan penggiat filem dan penulis novel tidak sedar mengenai hak dan liabiliti yang telah diperuntukkan dalam undang-undang hak cipta. Oleh yang demikian, artikel ini akan membincangkan:

(i) hak-hak eksklusif yang diberikan di bawah Akta Hak Cipta 1987; dan

(ii) liabiliti atau tanggungan yang boleh dikenakan terhadap pihak yang mencabul hak ini (adaptasi) tanpa izin.

Pengenalan

Hak cipta melindungi sesuatu hasil karya yang ditulis tanpa kebenaran tuan punya hak cipta bukan sahaja melarang peniruan sesuatu hasil kerja tetapi juga menghalang aktiviti–aktiviti lain seperti melakukan adaptasi terhadap sesuatu hasil karya, mempersembahkan atau mempamerkan hasil karya kepada awam, menyiarkan hasil hak cipta serta berurusan dengan hasil karya yang telah ditiru daripada karya hak cipta.

Hak cipta biasanya dikaitkan dengan  hasil karya sastera dan seni iaitu ciptaan tulen dari sudut kesusasteraan dan kesenian. Hasil karya tersebut biasanya diluahkan dalam bentuk perkataan, simbol, muzik, lukisan, objek tiga dimensi atau gabungan semuanya.

Sebenarnya hak cipta bukan hanya melindungi satu-satu profesion tertentu sahaja. Golongan  seperti kanak-kanak, suri rumah tangga, pelajar sekolah dan lain-lain juga dilindungi hasil karya hak cipta mereka asalkan memenuhi syarat yang ditetapkan dalam undang-undang. Semua hasil karya hak cipta dilindungi tanpa mengira kualiti atau nilai komersilnya.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat bidang-bidang tertentu yang lebih memerlukan perlindungan hak cipta. Dari segi hasil karya sastera, pihak seperti penulis buku, skrip dan lain-lain penulisan, novelis, penerbit, pengaturcara komputer, pereka grafik dan koreografer merupakan golongan yang perlukan perlindungan. Karyawan filem, pencipta lagu dan lirik, penyanyi, penerbit filem dan muzik juga merupakan pihak-pihak  perlu dilindungi hasil karya intelek mereka. Selain daripada itu, pelukis, pemilik stesen televisyen, pengusaha laman web dan lain-lain lagi (hanya menyebut sebahagian sahaja) termasuk dalam kategori pekerjaan atau perniagaan yang memerlukan perlindungan hak cipta.

Bersesuaian dengan era perkembangan teknologi maklumat ini, ruang perlindungan hak cipta diperluaskan kepada hasil karya yang lebih canggih seperti hasil karya siaran dan penerbitan elektronik seperti yang dipaparkan di televisyen dan Internet. Ini bermakna hasil karya ciptaan pencipta yang diterbitkan di alam siber menerusi laman web, home page sama ada dalam bentuk tulisan, lukisan, gambar, animasi, hasil karya tiga dimensi, muzik dan sebagainya boleh dilindungi di bawah undang-undang hak cipta.

Perlindungan di Bawah Undang-Undang Hak Cipta 1987

Perlindungan hak cipta di Malaysia ditadbirkan oleh Akta Hak Cipta 1987  yang memperuntukkan  perlindungan yang komprehensif bagi hasil karya hak cipta. Akta itu menggariskan  sifat hasil karya yang diberi perlindungan, skop perlindungan, dan cara bagaimana perlindungan itu boleh diberikan. Akta ini juga dilengkapkan dengan peruntukan mengenai penguatkuasaan  seperti kuasa bagi  memasuki premis yang disyaki menyimpan salinan langgaran dan kuasa bagi menyiasat dan merampas barang-barang cetak rompak. Terdapat sekumpulan penguatkuasa khusus dilantik bagi menguatkuasakan akta hak cipta ini. Malaysia merupakan anggota Konvensyen Berne, oleh itu negara-negara yang menganggotai konvensyen ini juga dilindungi sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.

Latar Belakang  Perkembangan Undang-undang Hak Cipta di Malaysia

Sebelum wujudnya Akta Hak Cipta 1987 yang diguna pakai pada waktu ini, perlindungan hak cipta telah pun diberikan seawal tahun 1911, dengan penguatkuasaan Akta Hak Cipta (UK) 1911 di Negeri-negeri Selat iaitu Penang dan Melaka. Undang-undang hak cipta di kedua-dua buah negeri tersebut mengikut undang-undang hak cipta yang diguna pakai di England pada waktu itu. Manakala negeri-negeri lain  tidak mempunyai undang-undang yang sebegitu memandangkan tiada keperluan terhadap undang-undang hak cipta pada masa itu.

Akta Hak Cipta (UK) 1911 telah mentadbir undang-undang hak cipta di kedua-dua negeri selat tersebut  sehingga tahun 1930-an  apabila Enakmen Hak Cipta digubal dan diguna pakai di Negeri-negeri  Melayu Bersekutu. Manakala Ordinan Hak Cipta 1935 digubal dan dikuatkuasakan di Borneo Utara (Sabah), serta di Sarawak Ordinan Hak Cipta (Cap 94) diguna pakai. Pada tahun 1957, Malaya telah dianugerahkan kemerdekaan, ketika itu terdapat dua statut hak cipta yang berkuatkuasa  iaitu Akta Hakcipta 1911 dan Enakmen Hakcipta (Cap 73). Apabila Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1963, Akta Hak Cipta 1956 (UK) telah menjadi sebahagian undang-undang hak cipta di Malaysia.

Oleh sebab terdapat keperluan  bagi menggabungkan statut-statut hak cipta yang pelbagai  menjadi satu undang-undang hak cipta di peringkat kebangsaan, maka Akta Hak Cipta 1969 berkuatkuasa pada 1/8/1969 digubal. Ia terpakai di seluruh Malaysia  bagi menggantikan statut-statut terdahulu.

Pada era 70-an disebabkan pembangunan teknologi semakin pesat, kesedaran bagi  mendapatkan perlindungan hak cipta semakin menggalakkan, terutama negara ketika itu sedang menuju ke arah negara industri. Justeru, semakan terhadap Akta Hak Cipta 1969 dibuat pada tahun 1986 yang menghasilkan Akta Hak Cipta 1987 yang berkuatkuasa  pada 1.12.1987. Akibat daripada keahlian Malaysia dalam Konvensyen Berne, Akta Hak Cipta 1987 dipinda pada tahun 1990 untuk memastikan akta tersebut menepati piawaian dan kehendak konvensyen tersebut. Ia juga menghasilkan  Peraturan Hak Cipta (pemakaian kepada negara-negara lain) 1990 yang berkuatkuasa pada 1.10.1990. Sehingga kini, Akta Hak Cipta telah dipinda beberapa kali termasuklah pindaan pada tahun 1996,1997, 2000 dan yang paling terkini pada tahun 2012.

Hasil Karya yang Dilindungi

Walaupun pada asalnya undang-undang hak cipta  memberi penekanan kepada perlindungan kepada hasil karya sastera dan seni, Akta Hak Cipta telah mengkategorikan kepada tujuh hasil karya hak cipta yang utama iaitu :- 1) karya sastera 2) karya muzik 3) karya seni 4) filem 5) rakaman bunyi 6) siaran 7) hak pelaku/penghibur

Selain tujuh hasil karya utama yang disebut di atas, karya terbitan atau adaptasi daripada hasil karya asal juga diberi perlindungan di bawah Akta ini.

Daripada kategori yang dinyatakan di atas, hasil karya ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu:-

1) Hasil Karya Asal

Terdiri daripada karya sastera, seni dan muzik. Ia dikatakan asal kerana dicipta tanpa menggabungkan dengan hasil karya lain.

2) Hasil Karya Jiran (Neighbouring works)

Terdiri daripada karya filem, rakaman bunyi dan siaran serta karya terbitan atau adaptasi. Hasil karya jenis ini biasanya digabungkan dengan hasil karya lain, sebagai contoh karya filem mengandungi drama, skrip, muzik, rakaman bunyi dan siaran.

Definisi Hasil Karya

Definisi hasil karya dinyatakan dalam seksyen 3 Akta Hak Cipta 1987.

1) Hasil karya sastera

(a)       Seperti yang dinyatakan dalam Akta Hak Cipta 1987 karya sastera termasuklah novel, cerita, buku, risalah, manuskrip, karya syair dan penulisan lain;

(b)       lakonan, drama, arahan pentas, senario filem, skrip siaran, karya kareografi dan pantomim;

(c)        treaties, sejarah, biografi, karangan dan artikel;

(d)       ensiklopedia, kamus dan karya rujukan lain;

(e)       surat, laporan dan memorandum;

(f)        syarahan, ucapan, khutbah dan karya-karya lain yang sama sifatnya;

(g)       jadual atau penyusunan, sama ada atau tidak dinyatakan dalam perkataan, angka atau simbol dan sama ada atau tidak dalam bentuk yang tampak; dan

(h)      program-program komputer.

2) Hasil karya muzik

Apa-apa karya muzik, dan termasuklah karya yang digubah untuk iringan muzik

3) Hasil karya seni

(a)       karya grafik, fotograf, seni ukir atau kolaj, tanpa mengira kualiti seni;

(b)       karya seni bina dalam bentuk bangunan atau model bagi bangunan; atau

 (c)        karya pertukangan seni;

4) Hasil karya filem

Apa-apa penetapan suatu siri gambaran pandangan pada bahan daripada apa-apa perihalan, sama ada lut cahaya atau tidak, supaya boleh dengan menggunakan bahan itu dengan atau tanpa apa-apa bantuan suatu perekaan:

a) ditunjukkan sebagai gambar bergerak; atau

b) dirakamkan pada bahan-bahan lain, sama ada lut cahaya atau tidak supaya dengan menggunakan bahan itu ianya boleh ditunjukkan sedemikian,

c) dan termasuklah bunyi yang terkandung dalam sesuatu alur-bunyi yang berkaitan dengan suatu filem.

5) Hasil karya rakaman bunyi

Apa-apa penetapan siri bunyi yang boleh didengar dan boleh dikeluarkan semula dengan apa-apa cara, tetapi tidak termasuk apa-apa alur-bunyi yang berkaitan dengan suatu filem.

6)      Hasil karya siaran

Pemancaran, melalui cara  wayar atau wayarles akan imej tampak, bunyi atau maklumat yang lain yang;

a) boleh diterima dengan sahnya oleh orang awam; atau

b) dipancarkan bagi persembahan kepada orang awam,

dan termasuklah pemancaran isyarat penyulitan jika cara untuk penyahsulitan disediakan kepada orang awam oleh perkhidmatan penyiaran atau dengan persetujuannya.

7) Hasil karya penghibur/pelaku

8) Hasil karya terbitan

Karya-karya terbitan termasuklah terjemahan, penyesuaian (adaptasi), susunan dan perubahan lain hasil karya yang layak bagi hak cipta dan koleksi karya-karya sastera, yang layak bagi hak cipta yang oleh sebab pemilihan dan susunan kandungannya menjadikan suatu hasil karya ciptaan intelek. Hasil karya adaptasi novel ke filem terlindung di bawah peruntukan ini.

Pemilik Hak Cipta

Hasil karya pada asasnya dimiliki oleh penciptanya seperti  komposer lagu, penulis buku, pencipta laman web atau pun siapa sahaja yang membuat atau mencipta hasil karya tersebut. Walau bagaimanapun, sekiranya pembikinan hasil karya tersebut diupah atau dibuat oleh pekerja, maka pemiliknya ialah orang yang mengupah atau majikan pekerja tersebut. Hak milik kepada hak cipta tersebut berpindah daripada pencipta kepada pihak  yang mengupah atau majikan melalui penyerahhakan, lesen atau pemberian berwasiat. Dalam keadaan ini penerima hak merupakan pemiliknya.

Syarat-syarat Perlindungan Hak Cipta   

Terdapat syarat-syarat tertentu  yang perlu dipenuhi kesemuanya serentak sebelum perlindungan hak cipta boleh diberi kepada penciptanya iaitu:-

1) Hasil karya perlu merupakan sesuatu luahan idea (expression of idea) bukannya idea semata-mata.

Hak cipta mementingkan luahan idea. Kemungkinan dua orang  mempunyai idea yang sama tetapi luahan yang berbeza. Yang dilindungi oleh hak cipta ialah luahan idea bukannya idea semata-mata. Sebagai contoh, dua orang pengaturcara komputer mempunyai idea untuk membuat satu program bagi mengendalikan sistem pangkalan data sesebuah organisasi, walaupun idea kedua-duanya sama iaitu membuat program komputer tetapi oleh kerana kod sumber, struktur, logik berperingkat  dan lain-lain adalah berbeza kerana kedua-duanya mempunyai luahan idea yang tersendiri, maka kedua-dua program ciptaan dua pengaturcara ini masing-masing diberi perlindungan. Pencipta sesuatu hasil karya tidak memonopoli sesuatu idea mengenai sesuatu hasil karya. Setiap orang bebas  untuk menggunakan idea selagi luahan sesuatu idea itu tidak diambil. Ini bermaksud seseorang dibenarkan untuk mencipta hasil karya  yang serupa dengan hasil karya sedia ada dengan syarat  hasil karya yang terkemudian dihasilkan bersendirian iaitu tidak meniru yang sedia ada. Prinsip seperti ini timbul untuk membenarkan  kemajuan dan pembaikian  dalam sesuatu hasil karya. Contoh mengenai perbezaan di antara idea dan luahan idea ini boleh dilihat dalam kes Baker V Selden, Baker telah menulis sebuah buku  berkenaan dengan sistem perakaunan. Persoalan yang timbul ialah  sama ada berlaku pelanggaran hak cipta sekiranya pembaca menggunakan sistem perakaunan tersebut. Diputuskan dalam kes ini tiada pelanggaran hak cipta  terhadap isi kandungan buku itu apabila pembaca menggunakan sistem perakaunan tersebut. Ini kerana  hak cipta tidak memberi perlindungan kepada teori-teori yang telah dinyatakan (teori lebih berbentuk idea)  tetapi ia memberi perlindungan  kepada cara penyampaian teori itu, iaitu  dalam bentuk buku. Oleh kerana tiada salinan kepada isi kandungan buku maka tiada pelanggaran.

2) Hasil karya mesti asli

Bagi mendapat hak cipta sesuatu karya itu mestilah memiliki ciri-ciri keaslian. Keaslian di sini bukanlah bermakna bahawa karya tersebut mestilah sesuatu yang unggul tetapi ia mestilah karya asal dan tidak disalin daripada karya lain. Keaslian juga tidak bermakna bahawa seseorang itu mesti membuat  hasil karya itu buat pertama kalinya. Sebagai contoh, A menulis  satu program komputer  yang serupa dengan program yang dibuat oleh B. Bolehkah  A menuntut  hak cipta ke atas  program yang diciptanya, walaupun B telah menciptanya terlebih dahulu? Jawapannya ialah A boleh menuntut hak cipta ke atas program itu  asalkan ia menciptanya bersendirian tanpa meniru atau menyalin program yang dibuat oleh B. Keaslian di sini bermakna hasil karya tersebut tidak disalin daripada hasil karya lain. Oleh itu dua orang yang berlainan boleh  memiliki  hak cipta sendiri atas hasil karya yang serupa  asalkan hasil karya  itu adalah usaha sendiri pihak-pihak tersebut  tanpa menyalin atau meniru antara satu sama lain. Prinsip mengenai keaslian diasaskan daripada keputusan yang dibuat oleh  Hakim Peterson dalam kes University of London V University of Tutorial Press.

Persoalan yang timbul dalam kes ini ialah  sama ada kertas  peperiksaan  yang dipunyai oleh University of London merupakan hasil karya asli yang patut mendapat perlindungan hak cipta? Defendan  menyatakan bahawa kertas-kertas soalan  itu cuma mengandungi  perkara-perkara  yang merupakan pengetahuan umum. Tidak ada  nilai-nilai sastera yang membolehkan  kertas-kertas itu diberi hak cipta. Walau bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa kertas-kertas soalan itu mengandungi ciri-ciri keaslian seperti dikehendaki di bawah prinsip hak cipta. Mahkamah berpendapat hak cipta bukanlah sesuatu yang mengambil  berkenaan  dengan keaslian idea itu  tetapi keaslian dalam luahan idea hasil karya tersebut. Jadi ia tidak memerlukan karya yang unggul, akan tetapi hasil karya itu  mestilah tidak disalin daripada hasil karya orang lain.

3) Hasil karya perlu ditetapkan dalam bentuk bahan

Hak cipta hanya boleh wujud dalam sesuatu hasil karya sekiranya ia ditetapkan dalam bentuk bahan. Makna bentuk bahan ada dinyatakan dalam seksyen 3 Akta Hak Cipta 1987 iaitu “ ….termasuklah apa-apa bentuk penyimpanan (sama ada boleh dilihat atau tidak) yang daripadanya karya atau karya terbitan itu, atau sebahagian besar daripada karya atau karya terbitan itu, boleh dikeluarkan semula” . Ini bermakna syarat ini dipenuhi sekiranya sesuatu hasil karya itu telah ditulis, dicatat, dirakam atau dengan cara-cara penyimpanan yang lain termasuklah menyimpan di dalam disket atau cakera keras. Syarat ini penting bagi hasil karya sastera, seni dan muzik. Hasil karya dalam bentuk rakaman bunyi, filem dan siaran pada asalnya perlu diletakkan dalam bentuk bahan.

4)  Pencipta adalah seorang yang layak

Selain daripada syarat-syarat di atas, syarat kelayakan juga perlu dipenuhi sebelum seorang pencipta layak diberi perlindungan. Terdapat beberapa syarat tetapi cuma satu syarat sahaja yang perlu dipenuhi. Senarai syarat-syarat tersebut adalah seperti di bawah:-

a) Pencipta adalah seorang berkelayakan semasa karya itu dibuat iaitu dia merupakan warganegara atau residen tetap di Malaysia.

Warganegara termasuklah seseorang yang sekiranya dia masih hidup pada hari berkaitan adalah layak menjadi warganegara di bawah Perlembagaan Persekutuan. Orang yang layak di sini termasuk syarikat atau perbadanan yang berdaftar di Malaysia.

b) Hasil karya itu mula-mula diterbitkan di Malaysia.

Maksud diterbitkan di sini ialah bagi hasil karya sastera, muzik atau seni atau edisi sesuatu karya itu sekiranya salinan karya itu secara sahnya memenuhi keperluan awam yang munasabah seperti melalui jualan dan lain-lain. Manakala bagi filem ia dianggap telah diterbitkan apabila salinan filem itu dijual, disewakan atau ditawarkan atau didedahkah untuk jualan atau sewaan. Begitu juga dengan hasil karya rakaman bunyi, ia diterbitkan apabila secara sahnya disediakan salinan oleh pencipta dan memenuhi keperluan awam yang munasabah.

c) Hasil karya dibuat di Malaysia.

Hak cipta wujud dalam tiap-tiap karya yang layak mendapat hak cipta jika karya itu telah dibuat di Malaysia.

d) Hasil karya itu dibuat oleh atau di bawah kawalan kerajaan Malaysia.

Perlindungan hak cipta boleh diberi kepada hasil karya yang dibuat oleh atau di bawah kawalan kerajaan atau mana-mana pertubuhan kerajaan atau badan antarabangsa seperti yang ditetapkan oleh Menteri dalam warta.

e) Warganegara atau residen tetap sesebuah negara yang menjadi pihak dalam triti.

Peruntukan ini memperluaskan perlindungan yang diberi oleh Akta Hak Cipta 1987 kepada negara-negara yang menjadi ahli dalam triti atau konvensyen atau persatuan mengenai hak cipta yang mana Malaysia juga merupakan ahli.

Hak Cipta Perlu Pendaftaran Atau Tidak?

Akta Hak Cipta 1987 tidak mensyaratkan pendaftaran rasmi dibuat  terhadap  sesuatu hasil karya hak cipta. Hak cipta di bawah Akta tersebut mengiktirafkan pencipta sebagai tuan punya  hasil karya apabila  memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Walau bagaimanapun, bagi tujuan penerimaan sesuatu keterangan mengenai hak milik sesuatu hak cipta, Akta memperuntukkan bahawa sesuatu afidavit atau akuan berkanun hendaklah dibuat oleh pencipta hasil karya di hadapan mana-mana pihak yang mempunyai kuasa  untuk mentadbir sumpah seperti pesuruhjaya sumpah.

Melalui pindaan terbaru terdapat peruntukan mengenai pemberitahuan sukarela  yang boleh dibuat kepada Pengawal oleh atau bagi pihak pencipta karya, pemunya hak cipta karya, pemegang serah hak cipta, atau seseorang yang telah diberi kepentingan dalam hak cipta melalui lesen.

Hak Eksklusif  Pemilik

Sekiranya seseorang pencipta telah memenuhi syarat yang ditetapkan maka beliau dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987 dengan mendapat beberapa hak eksklusif terhadap keseluruhan atau sebahagian besar hasil karya hak cipta sama ada dalam bentuk asal atau bentuk terbitan. Hak-hak eksklusif tersebut adalah:

–  Hak untuk membuat pengeluaran semula karya tersebut dalam apa-apa bentuk bahan.

–  Hak untuk melakukan penyampaian kepada orang awam.

–  Hak untuk membuat pertunjukan, tayangan atau permainan kepada orang awam.

–  Hak untuk mengedar salinan hasil karya hak cipta kepada orang awam dengan menjualkannya atau melalui cara-cara pemindahan pemunyaan yang lain.

–  Hak untuk menyewa secara komersil kepada orang awam.

Pelanggaran Hak Cipta  

Pelanggaran hak cipta juga boleh berlaku dalam beberapa keadaan seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 36 Akta Hak Cipta 1987.

1) Pelanggaran hak cipta berlaku sekiranya seseorang yang bukan pemilik hasil karya hak cipta tersebut melakukan atau menyebabkan orang lain melakukan hak-hak eksklusif pemilik hak cipta tanpa kebenaran beliau. Sebagai contoh, seorang pencipta reka bentuk web mempunyai hak untuk menjual reka bentuknya kepada orang lain. Sekiranya orang lain tanpa kebenaran pencipta mereka bentuk web yang merupakan pemilik hak cipta terhadap hasil karya tersebut membuat salinan terhadap reka bentuk tersebut tanpa kebenaran beliau, orang tersebut telah melakukan pelanggaran hak cipta di bawah Akta ini.

2) Pelanggaran hak cipta juga boleh berlaku apabila seseorang mengimport sesuatu artikel langgaran daripada luar negara bagi tujuan perdagangan atau komersil tanpa persetujuan tuan punya salinan asal hasil karya tersebut. Sebagai contoh, A mengimport salinan langgaran program Windows Millennium Edition daripada Amerika Syarikat tanpa kebenaran daripada Syarikat Microsoft. Sekiranya A mengetahui bahawa salinan yang diimport itu dibuat tanpa kebenaran pemilik, maka A melakukan kesalahan pelanggaran hak cipta.

3) Pelanggaran hak cipta berlaku sekiranya apabila seseorang melakukan atau menyebabkan orang lain melakukan pemintasan kepada apa-apa langkah teknologi yang berkesan yang digunakan oleh pencipta-pencipta berkaitan dengan perjalanan hak mereka. Sekiranya pencipta perisian menggunakan teknologi-teknologi tertentu bagi menghalang seseorang lain meniru atau mengambil tanpa izin hasil karya mereka seperti menetapkan kata laluan tertentu untuk digunakan, maka sekiranya seseorang yang lain mencerobohi perisian dengan memintasi atau menyebabkan orang lain memintasi adalah melakukan pelanggaran.Kamalanathan Ratnam JC memutuskan dalam kes Creative Purpose bahawa penggodaman yang dilakukan oleh defendan bagi memintasi dongle dalam satu program perisian pada hakikatnya merupakan satu pelanggaran hak cipta meskipun ia dilakukan tanpa salinan langsung program yang asal. Contoh yang lain ialah UKM membangunkan laman web yang mengumpul artikel-artikel yang ditulis oleh para pensyarahnya. Bagi memastikan artikel ini tidak disalin atau dipalagiat dengan sewenang-wenangnya, UKM meletakkan keperluan kata laluan. Ini hanya membenarkan orang yang diberi hak sahaja mendapat capaian kepada artikel-artikel tersebut. Sekiranya sistem kata laluan ini dicerobohi sehingga membolehkan orang yang mencerobohi masuk ke dalam sistem dan mendapat capaian kepada himpunan artikel tersebut maka ia dikatakan telah melakukan kesalahan pelanggaran hak cipta.

4) Pelanggaran hak cipta berlaku apabila perbuatan pembuangan atau pengubahan maklumat pengurusan hak elektronik tanpa kebenaran pemilik hasil karya. Pelanggaran hak cipta berlaku apabila seseorang dengan disedarinya melakukan pembuangan atau pengubahan apa-apa maklumat pengurusan hak  elektronik daripada sesuatu hasil karya hak cipta  tanpa kebenaran dan melakukan pengedaran, pengimportan untuk pengedaran salinan hasil karya berkenaan. Maklumat pengurusan hak maksudnya  maklumat yang mengenal pasti karya, pencipta karya, pemunya apa-apa hak dalam karya, atau maklumat tentang terma-terma dan syarat-syarat penggunaan karya, apa-apa nombor atau kod yang melambangkan maklumat  itu, apabila mana-mana perkara maklumat ini dilampirkan pada satu salinan karya atau terhadap berkaitan dengan penyampaian sesuatu karya kepada orang awam.

Sebagai contoh artikel-artikel yang diterbitkan dalam jurnal elektronik dalam internet, sekiranya seseorang tanpa izin pemilik hasil karya tersebut melakukan penyalinan (downloading) artikel tersebut dan membuang nama pemilik atau terma-terma penggunaan artikel yang dilampirkan bersama artikel berkenaan dianggap telah melakukan perlanggaran hak cipta.

Pengecualian kepada Pelanggaran Hak Cipta

Dalam keadaan tertentu sesuatu perbuatan yang boleh menjadi pelanggaran hak cipta akan dikecualikan daripada pelanggaran sekiranya ia termasuk dalam senarai seksyen 13(2) Akta Hak Cipta 1987. Terdapat lebih kurang 20 pengecualian yang diberi. Walau bagaimanapun pengecualian yang pertama iaitu pengecualian di atas urusan yang wajar selalu digunakan bagi mempertahankan diri sekiranya tindakan pelanggaran diambil ke atas seseorang. Urusan wajar di sini bermaksud sekiranya seseorang melakukan perlakuan yang merupakan hak eksklusif pemilik hakcipta tanpa mendapat kebenaran daripada pemilik tersebut, melakukannya kerana tujuan penyelidikan yang bukan mencari keuntungan, pengajian persendirian, kritikan, ulasan atau pelaporan peristiwa semasa. Walau bagaimanapun jika ia digunakan untuk tujuan awam ia perlu hendaklah disertai  dengan perakuan mengenai tajuk dan penciptanya. Ini bermakna sekiranya seseorang pelajar atau ahli akademik mengambil maklumat dari sumber yang didapati di Internet untuk penyelidikan mereka, maka perlu diletakkan di nota kaki atau nota penghujung bahawa sumber ini asalnya ditulis oleh siapa dan apakah artikel asal tersebut. Apa yang biasa dibuat ialah meletakkan alamat Internet di nota kaki tersebut. Ini merupakan salah satu cara memperakukan pencipta atau pemilik asal hasil karya tersebut.

Tindakan yang Boleh Diambil oleh Pemilik Hak Cipta

Akta  Hak Cipta 1987 merupakan Akta yang bersifat quasi jenayah. Di mana tindakan sivil dan tindakan jenayah boleh diambil. Pelanggaran hak cipta merupakan kesalahan menurut undang-undang hak cipta. Pemilik boleh mengambil tindakan sivil dengan menyaman orang yang melakukan salinan langgaran tersebut atau membuat aduan kepada pihak berkuasa agar tindakan undang-undang selanjutnya boleh diambil. Bagi pemilik yang mempunyai bukti kukuh untuk mengambil tindakan kepada pihak tertentu yang telah melakukan pelanggaran hak cipta hasil karya pemilik, beliau boleh terus mengemukakan saman melalui peguam yang dilantik. Walau bagaimanapun tindakan  melalui undang-undang yang mempunyai kesan hukuman jenayah juga boleh dilakukan dengan membuat laporan kepada pihak polis dan hukuman berbentuk penjara dan denda boleh dikenakan.

Penguatkuasaan Akta Hak Cipta 1987

Kuasa penguatkuasaan ada dinyatakan jelas  dalam Akta Hak Cipta 1987 di Bahagian VII.

Penguatkuasaan Akta Hak Cipta  secara asasnya dikuatkuasakan oleh Penguatkuasa  di Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna. Pemilik hak cipta  boleh membuat aduan  dengan sebaik-baiknya disertakan dokumen yang perlu bagi menyokong aduan. Bahagian Penguatkuasa ini akan menjalankan penyiasatan dan pendakwaan.

Terdapat beberapa tambahan kepada peruntukan yang sedia ada dalam Akta Hak Cipta 1987. Tujuan  pindaan itu dibuat ialah untuk menyahut cabaran akibat daripada ledakan teknologi maklumat. Ia dikuatkuasakan pada tahun 1999  yang bertujuan mengemaskini undang-undang hak cipta yang sedia ada.

Antara pindaan  yang dibuat  adalah:-

– Transmisi tanpa kebenaran hasil karya hak cipta di Internet merupakan pelanggaran hak cipta, contohnya seperti penghantaran hasil karya orang lain melalui e-mel dan laman web tanpa kebenaran.

– Definisi karya sastera termasuk jadual atau penyusunan sama ada dalam bentuk tampak atau tidak. Contoh, disket atau CD.

– Pemilik mempunyai hak eksklusif bagi mengawal transmisi hasil karya melalui wayar atau wayarles kepada orang awam.

– Merupakan pelanggaran hak cipta jika memintas langkah teknologi berkesan atau menghapuskan maklumat pengurusan hak.

– Pindaan besar-besaran terhadap Akta Hak Cipta 1987 pada tahun 2012 melibatkan banyak bahagian dalam statut berkenaan. Ini termasuk penambahan peruntukan mengenai tanggungan penyedia khidmat internet, pengecualian kepada pelanggaran peruntukan mengenai pemintasan teknologi berkesan dan pembuangan hak pengurusan maklumat elektronik, kesan elemen keaslian kepada himpunan hasil karya, pemberitahuan sukarela mengenai hasil karya hak cipta dan lain-lain lagi.

Kesimpulan

Dengan ledakan teknologi maklumat dewasa ini, terutama dengan kemunculan  teknologi Internet yang menghubungkan manusia seluruh dunia tanpa batas sempadan, hasil karya hak cipta semakin mudah dicabuli. Dengan sentuhan tetikus dan menekan papan kekunci sudah memungkinkan sesuatu karya sastera seperti  penciptaan program komputer, buku dan lain-lain berpindah ke tangan orang lain. Karya seni seperti lukisan pelan rekaan grafik dan sebagainya boleh dimanipulasikan hanya dengan bermodalkan cerdik siber atau komputer. Karya filem juga sangat terkesan daripada gelombang kamajuan teknologi ini, penyebaran filem melalui laman sosial seperti You Tube dan laman-laman perkongsian yang lain turut menjejaskan industri ini. Peristiwa yang berlaku terhadap filem KL Gangstar II juga menjadi contoh bagaimana teknologi Internet boleh dimanipulasi untuk tujuan pelanggaran hak cipta.

Justeru, kerajaan mengambil langkah drastik dengan membuat pindaan kepada Akta Hak Cipta 1987 pada tahun 1997 bagi memastikan undang-undang hak cipta di Malaysia berupaya menangani masalah pencerobohan hak cipta dengan menggunakan teknologi canggih ini. Terdapat beberapa tambahan kepada peruntukan yang sedia ada dalam Akta Hak Cipta 1987. Tujuan  pindaan itu dibuat ialah untuk menyahut cabaran akibat daripada ledakan teknologi maklumat. Ia dikuatkuasakan pada tahun 1999  yang bertujuan mengemaskini undang-undang hak cipta yang sedia ada. Di antara pindaan  yang dibuat  ialah transmisi tanpa kebenaran hasil karya hak cipta di Internet merupakan pelanggaran hak cipta, contohnya seperti penghantaran hasil karya orang lain melalui e-mel dan laman web tanpa kebenaran. Definisi karya sastera termasuk jadual atau penyusunan sama ada dalam bentuk tampak atau tidak dimasukkan, ini untuk membolehkan penyimpanan dibuat dalam disket atau CD. Pemilik mempunyai hak eksklusif bagi mengawal transmisi hasil karya melalui wayar atau wayarles kepada orang awam, ini bermakna penyebaran hasil karya melalui Internet juga merupakan hak eksklusif pemilik. Ia juga memasukkan peruntukan bahawa merupakan pelanggaran hak cipta jika memintasi langkah teknologi berkesan seperti  seseorang memecah masuk dengan menembusi sistem keselamatan  komputer atau laman web tanpa kebenaran atau menghapuskan maklumat pengurusan hak seperti memadam nama pencipta hasil karya berkenaan. Walau bagaimanapun, selengkap mana pun Akta Hak Cipta 1987, ia masih memerlukan kerjasama berterusan dan sokongan padu daripada masyarakat bagi membanterasi gejala cetak rompak dan perlanggaran hakcipta yang semakin bercambah di negara ini. Industri penerbitan dan filem juga tidak lari daripada masalah yang dihadapi oleh hasilkarya hakcipta yang lain. Karya adaptasi daripada novel ke layar filem sudah menjadi tren di kalangan penggiat filem di Malaysia. Oleh yang demikian, kesedaran mengenai perlindungan hakcipta terhadap hasilkarya sebegini perlu ditekankan bagi memastikan industri perfileman berkembang dengan baik serta pihak yang terbabit dalam penghasilan filem sebegini mendapat pulangan yang memuaskan.

Makalah ini merupakan kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Hak Cipta: Dari Novel ke Skrin yang telah diadakan pada 10-11 Jun 2014 di DBP. Pemakalah ialah pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ruangan Maklum Balas ditutup.

  • Arkib

  • Statistik

    1050945
    Visit Today : 258
    This Month : 33544
    Total Visit : 1050945
    Hits Today : 752
    Total Hits : 4315213
    Who's Online : 7
  • Kategori