Oleh NISAH HARON
“SAYA mahu menulis cerpen tetapi saya tidak suka membaca cerpen,” seorang calon penulis pernah datang mengadu.
Kenyataannya itu ibarat seorang pelukis yang tidak suka melihat lukisan orang lain atau seorang komposer lagu yang tidak suka mendengar muzik atau lagu.
Tidak dapat tidak, seorang penulis itu mestilah pertama-tamanya seorang pembaca. Sekiranya anda tidak suka membaca tetapi amat berkeinginan untuk menjadi penulis, eloklah ditanamkan minat membaca itu terlebih dahulu.
Ada yang mungkin berkata, “Saya banyak membaca, cuba lihat buku “NILAM” saya. Penuh!”
Ya, bagus juga anda banyak membaca. Namun, bilangan buku yang anda baca tidak menjamin anda boleh menjadi penulis yang baik. Pembaca yang baik amat berhati-hati memilih bahan bacaannya. Akal yang murni ini harus diisi dengan bahan-bahan bacaan yang berkualiti.
“Mestikah saya membaca karya Sasterawan Negara sahaja untuk menjadi penulis?” ada yang bertanya.
Tidak, bahan bacaan yang berkualiti itu luas maknanya. Karya Sasterawan Negara itu ialah kemuncak kepada pengkaryaan. Namun, bacalah juga karya-karya yang lain. Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) misalnya, atau penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia, dan juga penulis-penulis lain yang berpengalaman dan juga penulis-penulis muda (baharu) yang mungkin seangkatan.
Apabila membaca bacaan yang baik, tidak semestinya menjurus hanya kepada seorang penulis terkenal. Seimbangkan bahan bacaan dengan penulis lama dan baharu. Penulis yang baik atau mungkin yang kurang baik (berdasarkan komen pembaca yang lain). Lihat di manakah kekuatan dan kelemahan pengarang tersebut. Pendek kata, kita mengkaji penulisan orang lain.
Usah membaca kerana mahu menunjuk-nunjuk kepada rakan-rakan yang lain. Hal itu amat tidak berfaedah kerana mungkin bahan yang kita pilih itu tidak sesuai dengan tahap pemikiran kita. Tidak perlulah kita menipu diri sendiri. Nikmati bahan bacaan. Kenal bentuk karya dan juga tentunya kenal gaya penulisan seseorang.
Pelaburan seseorang penulis itu ialah kepada bahan bacaan. Tanyalah kepada para penulis yang mapan. Wang mereka banyak dihabiskan dengan membeli buku. Buku sendiri tentulah lebih bebas ditanda, digaris atau dibuat catatan ke atasnya. Andai meminjam buku dari perpustakaan atau orang lain, hormati etika meminjam! Usah diconteng atau ditandakan sebarang titik.
Sekiranya anda mampu berbahasa Inggeris atau bahasa asing dengan baik, bacalah juga bahan-bahan penulis luar negara. Baca karya penerima Anugerah Nobel Kesusasteraan untuk mengetahui sebab karya mereka diiktiraf dunia. Anda akan bertemu dengan nama-nama seperti Ernest Hemingway, Yasunari Kawabata, Rabindranath Tagore, Pearl S. Buck, Boris Pasternak, Naguib Mahfouz, Orhan Pamuk, Mo Yan dan ramai lagi.
Keistimewaan menjadi pelajar sekolah atau mahasiswa di universiti ialah anda boleh meminjam sahaja buku-buku penulis-penulis di atas. Baca dan nikmati tanpa perlu membelinya. Jika anda bernasib baik, mintalah hadiah buku pada hari lahir anda. Pasti ada yang berminat untuk membantu anda sebagai penulis.
Membaca bahan-bahan yang dinyatakan itu akan menjadi lebih bermakna apabila ada rakan yang turut minat membaca. Rakan anda itu tidak semestinya penulis atau berminat menjadi penulis. Bersama-sama rakan anda itu, berbincanglah tentang buku yang sudah dibaca itu. Cari keindahan, keistimewaan dan paling penting makna serta kandungan buku yang menjadikan buku itu buku yang baik.
Di laman maya pula, anda boleh sertai kumpulan pembaca di Goodreads.com. Ada komuniti Malaysia yang turut sama membaca buku berbahasa Melayu (dan juga Inggeris) di laman ini. Anda hanya perlu mendaftar dan meletakkan senarai buku yang anda telah baca, ingin baca atau ingin tahu pendapat orang lain tentang buku yang anda mahu baca. Sifat Goodreads.com sama seperti laman sosial yang lain, cuma ahli-ahlinya terdiri daripada manusia seperti anda – yang gilakan buku dan membaca. Ramai penulis yang turut menyertai laman ini.
Banyakkan membaca sebelum menjadi penulis!
(Nisah Haron merupakan pengarang sepenuh masa yang sering membimbing penulisan kreatif di dalam dan luar negara. Beliau banyak memenangi anugerah penulisan termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Hadiah Sastera Berunsur Islam. Ikuti tip-tip menulis di Facebook : “Nisah Haron – Pengarang” atau Twitter : @nisahharon.)