Oleh HASSAN ALIAS
TANGGAL 27 November 2013, di Dewan Mahkota II , Hotel Istana Kuala Lumpur, sebanyak 40 orang pengarang karya sastera telah dinobatkan sebagai penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2012. Hadiah sastera yang paling berprestij ini diadakan untuk buat kali ke-21 sejak diadakan kali pertama pada tahun 1972.
Hadiah ini mengalami perubahan dari segi nama dan tahun penilaian. Pada peringkat awal, hadiah ini dinamai Hadiah Karya Sastera, kemudian menjadi Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1984 dan kini Hadiah Sastera Perdana Malaysia sejak tahun 1998. Tahun penilaian juga mengalami perubahan daripada setahun sekali kepada dua tahun sekali, dan kini kembali setahun sekali. Jumlah peruntukan untuk hadiah ini juga meningkat dari tahun ke tahun.
Majlis kali ini disempurnakan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, merangkap Menteri Pendidikan.
Dalam ucapannya, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin berkata, industri kreatif negara berada dalam landasan yang kukuh dengan jangkaan sasaran pendapatan RM16.1 bilion hujung tahun ini. Katanya lagi, perkembangan dalam bidang kreativiti sebagai satu cabang industri diberikan penekanan oleh kerajaan.
“Dunia seni kreatif dan teknologi saling memerlukan. Gabungan kedua-dua bidang ini mampu menjana dan membangunkan negara. Kandungan kreatif yang digerakkan oleh daya fikir penulis atau sasterawan diperlukan dalam menggerakkan industri kreatif. Tahun lalu, industri kreatif meraih pendapatan RM7 bilion dengan sumbangan RM1.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” kata Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin.
Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, salah satu usaha yang terus digiatkan adalah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin menyarankan ahli akademik menghasilkan lebih banyak karya dalam bahasa Melayu. Beliau turut menyarankan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia bergerak lebih tangkas untuk menterjemahkan lebih banyak hasil kajian antarabangsa.
Kepada para sasterawan dan karyawan, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin mempunyai pesanan khusus: “Iltizam kerajaan untuk memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu adalah jelas dan nyata. Para sasterawan dan dan karyawan tidak perlu berasa gelisah atau gundah-gulana tentang masa hadapan sastera dan bahasa kebangsaan. Teruskan menulis, menghasilkan dan menerbitkan karya yang bermutu tinggi. Saya yakin, berkat usaha kita bersama, sastera dan bahasa kebangsaan akan terus terpelihara di negara kita dan juga di persada antarabangsa.”
Sebelum itu, Datuk Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang mengarahkan sayembara ini diadakan setiap tahun.
“Dengan adanya penilaian secara tahunan ini, kami berharap bukan sahaja bilangan hasil karya akan bertambah, tetapi juga mutu karya yang semakin meningkat. Kekerapan penilaian ini juga memperlihatkan iltizam dan kesungguhan kami supaya karya sastera atau bidang persuratan berkembang subur dan sama penting dengan bidang-bidang lain di negara kita,” kata Datuk Dr. Awang.
Datuk Dr. Awang mengakui masalah pengeluaran dan pemasaran buku dan majalah DBP memberikan kesan kepada penilaian karya terbitan DBP.
“Pada masa ini, Dewan Bahasa dan Pustaka masih berhadapan dengan kekurangan penerbitan buku sastera dan bidang lain yang berkaitan dengannya kerana masalah dengan syarikat konsesi mencetak dan memasarkan buku dan majalah. Masalah ini memberikan kesan kepada penilaian buku dan majalah terbitan DBP untuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia,” katanya lagi.
Majlis tersebut dihadiri oleh lebih kurang 400 orang hadirin yang terdiri daripada pegawai kerajaan, penggiat sastera dan seni, pengarang dan golongan koporat. Majlis dimulakan dengan persembahan puisi “Balada Orang Kehilangan Jiwa dalam Ceritera Merdeka” yang ditulis dan disampaikan oleh Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Mesej puisi tersebut adalah betapa penamaan tempat dan premis negara telah diambil alih oleh bahasa Inggeris.
Pada penghujung majlis, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin menyampaikan hadiah kepada pemenang yang terdiri daripada pelbagai generasi dan ketokohan – generasi muda, generasi lama dan Sasterawan Negara. Antara yang paling istimewa ialah Rebecca Ilham, Shamsudin Othman dan Dato’ Anwar Ridhwan yang masing-masing menggondol dua hadiah.
Sesungguhnya HSPM merupakan antara wahana yang paling berkesan untuk memanjangkan hayat bahasa sesuatu bangsa. Semoga bahasa Melayu bukan setakat melekat kukuh dalam dunia persuratan malah semua aspek kehidupan.
Senarai penerima HSPM:
PUISI
BIL. |
JUDUL |
PENGARANG |
PENERBIT |
TARIKH TERBIT |
1. |
“Anggur Asmara” |
Tuah Sujana |
Dewan Sastera |
Februari 2012 |
2. |
“Benarkah Matahari Tersangat Pijar?” |
Rosli K. Matari |
Mingguan Malaysia |
26 Februari 2012 |
3. |
“Songket Teluk Berantai” |
Tseni Sastrowardojo |
Dewan Sastera |
Julai 2012 |
4. |
“Mimpi dari Sebuah Lukisan Ilusi” |
Ainunl Muaiyanah Sulaiman |
Pentas |
Julai-September 2012 |
5. |
“Aku, Bulan dan Kalbu” |
Shamsudin Othman |
Dewan Sastera |
Oktober 2012 |
6. |
“Percakapan kepada Seorang al-Amin” |
Shamsudin Othman |
Dewan Sastera |
Oktober 2012 |
7. |
“Pidato Ini, Brutus” |
Raihani Mohd Saaid |
Dewan Sastera |
Oktober 2012 |
8. |
“Mariam” |
Anwar Ridhwan |
Antologi Puisi Takah Lima Puluh, PENA |
2012 |
9. |
“Tulisan” |
Mabulmaddin Shaiddin |
Antologi Puisi Sinar Siddiq |
2012 |
10. |
“Iktikad” |
Juri Durabi |
Antologi Puisi Sinar Siddiq |
2012 |
CERPEN
BIL. |
Judul
|
PENGARANG |
SUMBER |
TARIKH TERBIT |
1. |
“20 Cerita Tentang Tuhan” |
S.M. Zakir |
Dewan Sastera |
Januari 2012 |
2. |
“Pertemuan dengan Kitul” |
Saifullizan Yahaya |
Mingguan Malaysia |
12 Februari 2012 |
3. |
“Hanya Tertulis dalam Hati” |
Maskiah Masrom |
Berita Harian |
20 Mei 2012 |
4. |
“Seorang Lelaki di Tebing Sebatang Sungai” |
Faridah Abd. Hamid |
Mingguan Malaysia |
4 Mac 2012 |
5. |
“Protes Kari, Kepoh Ferrari” |
Fudzail |
Mingguan Malaysia |
18 November 2012 |
6. |
“Anatomi Sekeping Hati” |
Rebecca Ilham |
Mingguan Malaysia |
30 September 2012 |
7. |
“Dendam Apai” |
Zainol Idris |
Dewan Sastera |
Januari 2012 |
8. |
“Alkisah Tuan dan Saksi” |
Zainal Rashid Ahmad |
Mingguan Malaysia |
15 Januari 2012 |
9. |
“Sebuah Surau, Sebuah Rumah di Tepi Kondominium” |
Osman Ayob |
Dewan Sastera |
Oktober 2012 |
10. |
“Bentuk dan Makna” |
Rebecca Ilham |
Berita Harian |
5 Februari 2012 |
ESEI/KRITIKAN/KAJIAN SASTERA
BIL. |
JUDUL |
PENGARANG |
PENERBIT |
TAHUN TERBIT |
1. |
“Srengenge dan Tunggul-tunggul Gerigis: Satu Bacaan Shishosetsu” |
Zaleha Amat |
Kajian Pemikiran SN Shahnon Ahmad, DBP |
2012 |
2. |
“Perang Budaya Ortodoks-Progresif dalam karya-karya Terpilih Shahnon Ahmad: Sebuah Interpretasi Percubaan Dialektik Hegelian” |
Lim Kim Hui |
Kajian Pemikiran SN Shahnon Ahmad, DBP |
2012 |
3. |
“Meneliti Perjudian Melalui Formula “Konflik dan Penyelesaian” Menurut Model Bremond” |
Abdul Rassid Haji Subet |
Kajian Pemikiran SN S. Othman Kelantan DBP |
2012 |
4. |
“Pahlawan Rimba Malaya: Nasionalis Kiri dan Ambivalen” |
Awang Azman Awang Pawi |
Kajian Pemikiran SN Keris Mas DBP |
2012 |
5. |
“Konsep Ruang dalam Pemikiran Melayu” |
Noriah Taslim |
Pandangan Dunia Melayu Pancaran Sastera, DBP |
2012 |
6. |
“Kuasa Raja dalam Teks Sastera” |
Prof. Dr. Ding Choo Ming |
Bil. 69 Pemikir, Utusan Karya |
Julai-September 2012 |
7. |
“Falsafah Estetik – Logikal dalam Puisi S.M. Zakir” |
Arbak Othman |
Bil. 69 Pemikir, Utusan Karya |
Julai-September 2012 |
DRAMA
BIL. |
JUDUL |
PENGARANG |
PENERBIT |
TAHUN TERBIT |
1. |
“Ini Rumah kita” |
Aina Nabila |
DBP, JKKN, ABAD dan AKRAB |
24 – 25 Disember 2012 |
2. |
“Menara Biru” |
Dayangku Mastura |
Pentas |
Januari-Mac 2012 |
3. |
“Antara Bunyi Gendang Ibu dengan Tari Nihon Buyo” |
Senibayan |
DBP |
2 November 2012 |
4. |
“Dinding” |
Dahiri Saini |
Dewan Sastera |
Mei/Jun 2012 |
KANAK-KANAK DAN REMAJA
GENRE |
JUDUL |
PENGARANG |
PENERBIT |
TAHUN TERBIT |
NOVEL REMAJA |
Ke Pulau Sebatik 1 |
Nur Mustika |
ITBM & PENA |
2012 |
KUMPULAN CERPEN REMAJA |
Inspirasi Cinta |
Rozninah Abd. Azib |
ITBM & PENA |
2012 |
KUMPULAN CERPEN KANAK-KANAK |
Lukisan Lisa untuk Ibu |
Que Lyana Shuhaimi |
Blue-T Publication Sdn. Bhd. |
2012 |
KUMPULAN PUISI KANAK-KANAK |
Bijak si Katak Bijak |
Siti Zainon Ismail |
ITBM & PENA |
2012 |
BUKU
GENRE |
JUDUL |
PENGARANG |
PENERBIT |
TAHUN TERBIT |
KUMPULAN PUISI |
Alien Menchari Chinta |
Ramzah Dambul |
ITBM & PENA |
2012 |
KUMPULAN CERPEN |
Selamat Datang ke Malaywood |
Roslan Jomel |
ITBM & PENA |
2012 |
AUTOBIOGRAFI |
Kuasa Kata dari Lisan Mengalir ke Lautan Aksara |
Mahaya Mohd. Yassin |
Analaksana Media |
2012 |
KAJIAN SASTERA |
Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik |
Norhayati Ab. Rahman |
Penerbit USM |
2012 |
NOVEL |
Penyeberang Sempadan |
Anwar Ridhwan |
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. |
2012 |