Oleh ZUR NADIA FHATIHAH BT ZULKIFLEE 

(nadiaevan1423@gmail.com)

TIGA tahun tinggal di bumi Mesir menyedarkan saya betapa bertuahnya dilahirkan di Malaysia, apatah lagi sebagai seorang Melayu. Acapkali saya terlanjur berbahasa ibunda ketika berurusan dengan warga di sini. Alangkah rindunya, Malaysiaku.

Saban hari saya terlihat penggunaan bahasa Melayu songsang dan tidak sempurna dalam laman sesawang sosial yang menjadi kebiasaan pada masa kini. Sebahagian masyarakat kita kini tidak lagi prihatin akan keagungan bahasa dan sastera Melayu yang suatu ketika dahulu amat dititikberatkan dalam kehidupan seharian.

Bahasa melambangkan penggunanya. Bahasa mewakili jiwa pembicara. Mengapakah isu pengabaian bahasa kebangsaan boleh terjadi di negara kita?

Saya teringat semasa  bersekolah dahulu, apabila bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar hampir di semua tempat. Malah, bahasa Melayu yang digunakan betul, baik dan sopan. Inilah yang kita namakan penghormatan terhadap bahasa kebangsaan.

Ayah saya sememangnya seorang yang sangat patriotik. Beliau amat tegas dengan bahasa Melayu yang kami adik-beradik ucapkan. Hingga sekarang ayah masih menegur jika saya berucap atau menulis bahasa bercampur atau mencampurkan dua bahasa dalam satu ayat .

Kata ayah, bahasa memerlukan penghormatan. Jangan dicampuradukkan bahasa dalam satu masa.

Kita bebas berbahasa. Kita bebas menuntut ilmu. Tetapi jangan lupa akan bahasa asal kita. Jangan pijak bahasa pertama yang lahir bersama-sama kita.

Namun, jika kita lihat pada masa kini, bahasa Melayu bukan sahaja tidak digunakan dengan betul, malah dipinggirkan. Anak muda  masa kini berbangga jika berbahasa asing seperti bahasa Inggeris. Lebih memeranjatkan lagi ada sebilangan orang yang melabelkan pengguna bahasa Melayu sebagai golongan  yang kolot atau tidak terkini!

Sepanjang aktif dalam laman sosial seperti facebook dan myspace, saya pernah terbaca banyak makalah yang menegur masyarakat agar menggunakan bahasa Inggeris dengan betul. Tetapi tidak pernah sekalipun saya terbaca makalah tentang betapa pentingnya kita menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Akhir kata, gejala ini saya lihat sebagai satu masalah yang serius kerana tidak mustahil jika suatu hari nanti, bahasa yang menjadi identiti bangsa dahulu kala pupus dek terlalu mengagung-agungkan bahasa bangsa lain. Saya berharap masyarakat kita akan lebih mengambil tahu tentang bahasa, seni dan sastera yang telah kita warisi dari zaman dahulu kala hinggalah sekarang. Jangan biarkan warisan kita pupus oleh peredaran zaman.

Sayangilah warisan kita. Bahasa jiwa bangsa.

  1. Rafique says:

    Saya sangat sokong pendapat saudari. Yang sebenarnya, kita sebagai kesuma bangsa yang harus memperkasakan bahasa melayu. Cuba saudari bayangkan jikalau kita orang muda membudayakan semula bahasa melayu yang lebih tinggi. Ini sebenarnya yang kita nanti-nantikan; apabila bercakap bahasa melayu yang tinggi atau sekurang-kurangnya yang beraturan menjadi satu ‘trend’ di kalangan masyarakat muda. Bagaimana nak mulakannya? Saya pun kurang pasti; tapi secara peribadi saya telah pun bermula untuk bercakap bahasa melayu yang betul dengan keluarga dan handai. Kadang kala ada juga saya memetik peribahasa dan bidalan, walaupun hanya berbual kosong. Saya tidak silu-silu dan rata-rata keluarga dan teman-teman saya juga dapat menerimanya dengan baik. Malah rasanya ada juga di kalangan teman-teman saya yang ‘terjangkit’ dengan ‘tabiat’ saya ini. Mungkin sudah tiba masanya kita semua membuang rasa malu untuk bertutur dengan bahasa yang indah dan berbunga. Saya harap usaha kecil saya ini akan berbuah, insyallah.

  2. Alam says:

    Orang muda sekarang tidak lagi mahu menggunakan BM kerana BM sudah tiada nilai ekonomi. Sepatutnya iklan di bank, dan juga tempat perekonomian yang lain perlu menggunakan BM sebagai bahasa perantara.

    Berapa banyak iklan hartanah yang ditulis dalam BM? Yang saya nampak cuma PKNS sahaja yang menyiarkan iklan hartanah mereka, yang juga diselitkan dengan pantun.

    Yang lain bagaimana?

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1054898
    Visit Today : 514
    This Month : 3151
    Total Visit : 1054898
    Hits Today : 1589
    Total Hits : 4329660
    Who's Online : 16
  • Kategori