Judul : Kamus Melayu-Inggeris Dewan
Tahun : 2013
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga : RM179.00
Kamus Melayu-Inggeris Dewan (KMID) ini merupakan kamus dwibahasa dengan bahasa sumbernya bahasa Melayu dan bahasa sasarannya bahasa Inggeris. Tujuan utama KMID disusun adalah untuk membantu para pengguna bahasa Melayu, sama ada penutur yang menggunakannya sebagai bahasa ibunda atau mereka yang menggunakannya sebagai bahasa komunikasi harian yang rasmi atau tidak rasmi, meningkatkan kefahaman dan penguasaan bahasa Inggeris.
Kamus ini mengandungi 38500 entri dan subentri. Pemilihan entri dan subentri dibuat berasaskan tiga kamus ekabahasa bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), Kamus Pelajar Edisi Kedua (2008) dan Kamus KBSR Dewan Bergambar Edisi Kedua (2003), dan takrif atau huraian bagi entri dan subentri diolah semula berdasarkan analisis korpus DBP. Tumpuan utama kamus ini ialah kata umum yang standard dalam bahasa Melayu.
Selain itu, KMID ini juga memuatkan sejumlah kata teknikal dan istilah dalam pelbagai bidang seperti yang sering ditemui di akhbar dan dalam media massa, dan yang digunakan juga dalam mata pelajaran berkaitan di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi. Tidak ketinggalan juga kamus ini juga merangkumi kata yang berkaitan dengan makanan, peralatan, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan agama yang sudah sebati dengan kehidupan masyarakat Malaysia pada hari ini.