Oleh SM ZAKIR

 

Judul  Novel         :           Kaing-kaing

Penulis                   :           Siti Jasmina Ibrahim

Terbitan                 :           Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit        :           2012

Tebal Halaman    :           266 halaman

Harga                      :           RM20.00

Kaing-kaing merupakan novel karya Siti Jasmina Ibrahim. Novel ini dilihat bergerak dalam bentuk cerita yang cuba melapiskan latar masa dahulu di atas latar masa kini. Hal ini terlihat apabila cerita tentang penguasaan Raja Luyut di sebuah kampung terpencil seperti sebuah cerita purbawara Melayu. Tetapi cerita dan latar peristiwa Raja Luyut ini diwujudkan pada zaman sekarang, yang meletakkan kampung terpencil itu berada pada masa kini tetapi cuma terletak jauh di pedalaman. Perlakuan sewenang-wenang Raja Luyut, termasuk kekasaran sehingga menculik, mencedera dan membunuh orang-orang kampung tanpa dilaporkan kepada pihak polis menjadikan cerita ini seperti dipisahkan untuk berada terasing dalam dunianya yang tersendiri. Situasi latar purbawara yang diletakkan dalam ruang masa kini tetapi pada hakikatnya terpisah tersebut menjadikan novel ini agak unik. Sekali ia seperti sebuah fantasi yang menayangkan purbawara Melayu, dan sekali pula ia seperti kisah realiti yang berlaku di kampung pedalaman lagi terpencil. Maka novel Kaing-kaing ini seperti terapung-apung antara fantasi dengan realiti.

Kaing-kaing merupakan nama kampung terpencil yang diambil dari nama sejenis burung kecil yang menyambar makanannya di air dan di darat. Ceritanya bermula dengan watak utamanya iaitu Ari Captee pulang ke Kaing-kaing untuk menjaga bapanya yang buta dan semakin tua iaitu Captee. Ari sebenarnya dibesarkan oleh ibu saudaranya Sinox di Bali. Sinox mendidik Ari menjadi jejaka yang berpendirian tegas. Di Bali, Ari dikenali sebagai Ari Lebu sempena kerjanya sebagai pembakar mayat pendudu kBaliyang beragama Hindu. Bagaimanapun Ari dan ibu saudaranya beragama Islam. Sementara di Kaing-kaing semua penduduk beragama Islam, dan Ari lahir dalam keluarga dan masyarakat beragama Islam tetapi kemudian dibela oleh ibu saudaranya diBalidan hidup sebagai pembakar mayat di dalam masyarakat beragama Hindu. Sepulangnya ke kampung, Ari berhadapan dengan suasana misteri. Ari dipanggil pulang dengan tugas yang khusus dan tersembunyi tanpa Ari sendiri sedar. Di situ Ari mula mendengar nama Raja Luyut, lelaki yang paling berkuasa di kampung tersebut. Kuasa dan kejahatan Raja Luyut seperti mengurung seluruh kampung dari dunia luar.

Ari berkenalan dengan Yatim pemuda kampung, dan kemudiannya Awang Chee lelaki yang berani menggerakkan penduduk kampung untuk menentang Raja Luyut dan pengikut-pengikutnya secara sembunyi-sembunyi. Ari kemudian mula menyedari bahawa dia sebenarnya dibawa pulang atas sebab yang sangat besar. Semua penduduk kampung tahu tentang Ari, bahkan nama Ari disebut-sebut sebagai pemuda dari seberang yang akan menjatuhkan kuasa Raja Luyut. Pada masa yang sama muncul Eyen, adik perempuan Raja Luyut yang sangat tidak bersetuju dengan tindakan zalim abangnya terhadap penduduk kampung. Eyen terserempak dengan Ari, dan hatinya mula terpaut kepada Ari. Sementara itu Raja Luyut terus berbuat sesuka hatinya terhadap penduduk Kampung Kaing-kaing. Hampir kesemua tanah penduduk kampung dibeli oleh Raja Luyut dan menjadikan penduduk kampung sebagai pekerja dan orang suruhannya. Raja Luyut menindas penduduk kampung untuk mengaut keuntungan buat dirinya. Raja Luyut mempunyai orang kanan yang bernama Ungsu, sebagai penasihatnya. Ungsu menjadi orang nombor dua berkuasa di Kampung Kaing-kaing. Tetapi Ungsu juga mempunyai percaturannya yang tersendiri demi ketamakan dirinya.

Terdapat misteri yang tidak terungkai di Kampung Kaing-kaing, iaitu kehilangan satu demi satu anak gadis sehingga tidak ada lagi gadis di situ. Satu-satunya anak gadis yang ada di kampung itu hanyalah Eyen, adik Raja Luyut. Kehilangan gadis-gadis ini dikaitkan dengan Raja Luyut. Penduduk kampung menaruh dendam yang tidak terperi terhadap Raja Luyut tetapi tidak ada yang berani menentang Raja Luyut secara terang-terangan. Orang yang berani menentang Raja Luyut hanyalah Awang Chee lelaki yang tidak berdaya dan Captee lelaki tua dan buta bapa kepada Ari. Mana-mana pemuda atau penduduk kampung yang menentang atau mengingkari perintah Raja Luyut akan ditangkap, dipukul, dikurung malah dibunuh. Ramai penduduk kampung hilang tanpa kesan setelah menentang atau mengingkari Raja Luyut.

Ari pada mulanya mengambil sikap berdiam diri, sebagai ajaran ibu saudaranya Sinox yang mengajarnya tentang kuasa ruang diam. Tetapi kemudian setelah bapanya Captee dipukul oleh Raja Luyut dan Yatim sahabatnya ditangkap serta diseksa oleh Raja Luyut, Ari mengambil keputusan untuk keluar dari ruang diamnya. Ari mula bersama penduduk kampung menentang Raja Luyut. Namun di samping Ari berdiri Eyen yang telah mengambil keputusan untuk menyebelahi Ari yang dicintainya. Eyen membantu Ari membebaskan Yatim. Sementara itu Raja Luyut dengan nasihat dan acuman Ungsu telah bersekongkol dengan orang-orang asing untuk memajukan kampung Kaing-kaing dan mengaut keuntungan besar daripada penguasaan mereka di situ. Raja Luyut mengamuk apabila mengetahui Yatim telah dilepaskan oleh Ari. Lalu Raja Luyut mengarahkan pengikut-pengikutnya memburu Ari dan orang-orang yang bersubahat dengan Ari termasuk Awang Chee dan Captee. Rumah Awang Chee digeledah dan Awang Chee diseksa oleh pengikut Raja Luyut. Sementara itu Ungsu yang mengetuai penggeledahan di rumah Captee telah menikam dan membunuh Captee.

Ari melarikan diri bersama Eyen dan dalam masa yang samacubamencari gadis-gadis yang hilang dari Kampung Kaing-kaing. Mereka dikatakan disembunyikan jauh di dalam hutan. Sebenarnya Raja Luyut menyimpan gadis-gadis Kampung Kaing-kaing untuk gadis-gadis ini berkahwin dengan bangsa yang boleh memberikan zuriat terbaik. Penduduk Kaing-kaing dianggap Raja Luyut sebagai lemah dan bodoh serta tidak akan melahirkan zuriat yang kuat dan cerdas. Raja Luyut dengan nasihat Ungsu sebenarnya mempunyai cita-cita untuk mewujudkan sebuah petempatan terbaik di Kampung Kaing-kaing dengan penduduk yang terbilang. Maka Raja Luyut menyimpan gadis-gadis di Kampung Kaing-kaing untuk dikahwinkan dengan bangsa terbaik dan melahirkan zuriat yang terbilang. Tetapi kemudiannya gadis-gadis ini dapat melepaskan diri mereka daripada kawalan Raja Luyut dan hidup bersembunyi dalam komuniti mereka yang terasing. Eyen dan Ari berjaya menemui kumpulan gadis-gadis yang dipimpin oleh Hania, iaitu kakak sepupu Eyen yang hilang. Hania pada mulanya tidak mempercayai Eyen dan Ari pula ditangkap kumpulan Hania kerana menyangka Ari tali barut Raja Luyut. Namun apabila semuanya dijelaskan oleh Eyen, Hania dan semua gadis itu setuju mengikuti Eyen dan Ari pulang ke Kaing-kaing seterusnya menentang Raja Luyut.

Di Kampung Kaing-kaing kezaliman Raja Luyut mendapat balasan Tuhan. Pengikut Raja Luyut yang paling bengis tiba-tiba mati hangus disambar petir. Pengikut-pengikut lain mula takut. Ribut besar datang melanda Kampung Kaing-kiang menjadikan keadaan huru-hara sehingga para pengikut Raja Luyut akhirnya lari meninggalkan Kaing-kaing. Ari yang tiba di kampung kini berhadapan dengan Ungsu yang membunuh Captee bapa Ari. Ungsu membongkar rahsia tentang Raja Luyut yang mengingini tanah Captee. Pada masa yang sama Ungsu mempunyai rancangannya yang tersendiri mempergunakan Raja Luyut untuk kepentingan dirinya. Akhirnya Ari bertarung dengan Ungsu dan Ungsu yang cuba melarikan diri tiba-tiba terjatuh ke dalam lubang mati di situ. Kini Ari datang berhadapan dengan Raja Luyut. Tetapi Hania lebih dahulu bertarung dengan Raja Luyut, satu ketika Raja Luyut disumpit oleh Lyda teman Hania. Penduduk kampung termasuk Ari dan Eyen mengelilingi Raja Luyut. Dalam keadaan cedera Raja Luyut cuba melarikan tetapi akhirnya mati dihempap dahan pokok.

Sepertimana yang dinyatakan pada awal tadi, novel ini seperti terapung-apung antara fantasi dengan realiti. Kaing-kaing wujud sebagai latar yang terasing dan terpisah sehingga peristiwa yang berlaku seperti tidak mempunyai kaitan lagi dengan realiti yang ada di tempat lain di sekelilingnya. Sebagai contoh, keganasan, kezaliman dan perbuatan sewenang-wenang Raja Luyut tidak pernah dilaporkan kepada polis, malah pasukan polis dan organisasi negara moden yang didiami oleh Kampung Kaing-kaing seperti tidak wujud sama sekali. Agak mustahil bagaimana pembunuhan dan begitu ramai gadis serta penduduk kampung yang hilang sama sekali tidak dijejaki polis.

Dalam pada itu, Hania dan kumpulannya yang lari ke dalam hutan seperti tidak logik dan diada-adakan ceritanya jika dilihat dalam konteks realisme. Lebih munasabah jika Hania dan gadis-gadis ini lari ke bandar mendapat perlindungan pihak berkuasa daripada lari jauh ke dalam hutan dan hidup dalam komuniti yang terasing. Terdapat banyak peristiwa yang kelihatan keluar daripada logik realiti, malah terawang dalam fantasi penulis. Hal ini menjadikan novel Kaing-kaing ini wujud sebagai sebuah karya yang bukan sepenuhnya realisme dan bukan sepenuhnya fantasi. Ia seperti mewujudkan sebuah purbawara Melayu, di dalam sebuah kampung pedalaman pada era zaman ini. Penulis kemudian memisahkan latar masa kini dengan latar cerita sehingga menjadikan latar cerita sebagai sebuah fantasi yang terasing dalam dunianya yang tersendiri.

Novel Kaing-kaing mungkin dilihat agak kurang menitikberatkan aspek logik dalam konteks realisme dan perkaitan plot seperti apa kaitan kerja Ari sebagai pembakar mayat dengan ketrampilannya sebagai jaguh untuk menentang Raja Luyut. Malah kaitan Sinox yang kuat mempengaruhi Ari juga hilang fungsinya dalam cerita begitu sahaja. Begitu juga, apa hubungan latar Bali, Sinox dan kehidupan Ari mengerjakan upacara masyarakat beragama Hindu sedangkan dia beragama Islam. Apakah tiada kerja lain yang boleh dibuat oleh Ari? Tetapi penulis mungkin mempunyai sebabnya yang tersendiri. Lantaran itu jika novel ini dilihat dari sudut penerokaan gaya, teknik dan penceritaan yang tersendiri, ia mungkin boleh dilihat sebagai sebagai suatu eksperimen penulis dalam mewujudkan dua latar yang terpisah pada waktu yang sama. Terlihat juga percubaan penulis untuk melakukan alienasi yang meletakkan ceritanya dalam suatu lingkungan dunia yang terasing dan tersendiri.

Akhir kata novel Kaing-kaing boleh dikatakan sebagai karya yang meletakkan fantasi di dalam realiti. Kesimpulannya novel ini tetap mempunyai kekuatannya yang tersendiri, dan memperlihatkan daya imaginasi yang tinggi Siti Jasmina Ibrahim.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049040
    Visit Today : 1358
    This Month : 31639
    Total Visit : 1049040
    Hits Today : 4861
    Total Hits : 4303907
    Who's Online : 13
  • Kategori