Oleh HASSAN ALIAS

Norhasmanalinda Mustapha

KETIKA kanak-kanak, ibu bapanya sering meminta beliau menyampaikan cerita melalui buku yang dibaca dan bercerita tentang apa-apa yang dipelajari di sekolah setiap hari agar ibu dapat memantau perkembangan pembelajaran. Sebelum menyampaikan cerita kepada mereka, beliau akan berdiri dan bercerita di hadapan cermin seorang diri sambil menggambarkan “ma” (ibu) dan abah (Allahyarham bapa) berada di hadapannya dan mendengar cerita.

“Rutin ini saya lakukan setiap hari. Cerita pertama yang saya perdengarkan kepada arwah abah dan ma  ialah “Si Tanggang Anak Derhaka”. Akhirnya, amalan ini menjadi kebiasaan kepada saya dan keberanian ini akhirnya membawa saya untuk mendekatkan diri dalam bidang pengacaraan,” katanya menghimbau kenangan lama.

Norhasmanalinda Mustapa atau dikenali sebagai Linda dilahirkan di Kg. Alor Bakat, Melor, Kota Bharu, Kelantan, pada 20 April 1979 dan dibesarkan di Felda Jengka  9, Pusat Bandar Jengka, Pahang. Pendidikan rendahnya ialah di Sekolah Kebangsaan (L.K.T.P) Jengka 9, Bandar Jengka, Pahang, Sekolah Menengah Pak Badol, Melor, Kota Bharu, Kelantan dan Sekolah Menengah Bukit Jawa, Selising, Pasir Putih, Kelantan. Beliau meneruskan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) sehingga menggulung Ijazah Sarjana Muda Sastera Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu dan Sarjana Bahasa Melayu.

Beliau sering memasuki pelbagai pertandingan ketika di sekolah rendah seperti pertandingan bercerita, pertandingan berpidato, pertandingan mendeklamasi puisi, pertandingan berbalas pantun,  dan pertandingan nasyid.

Ketika di sekolah menengah pula beliau pernah mendapat Anugerah Pelajar Cemerlang Kokurikulum kerana sumbangannya sebagai pengacara dan aktif dalam pelbagai kegiatan. Di universiti pula, beliau mendapat latihan dalam bidang pengacaraan apabila sering dilantik untuk menjadi pengacara pelbagai majlis sama ada pada peringkat kolej atau universiti seperti  Majlis Konvokesyen.   Kerana minat dan aktif dalam bidang pengacaraan, beliau pernah menerima Anugerah Pelajar Cemerlang dalam Pelajaran dan Kepimpinan.

Kebiasaan yang dilakukan sejak kecil itu merupakan langkah awal Linda untuk melangkah panjang dalam bidang pengacaraan majlis. Beliau sering mendekatkan diri dengan pelbagai acara di sekolah rendah, sekolah menengah, universiti dan hinggalah tempat bekerja dan kini  sering dilantik untuk menjadi pengacara untuk pelbagai majlis.

Minat terhadap pengacaraan majlis turut dipengaruhi oleh rancangan televisyen. Katanya, “Ketika kecil, saya gemar menonton rancangan televisyen seperti Kelab Kanak-Kanak Angkasapuri atau program yang ada pengacara  atau berbentuk dokumentari  dan faktor ini juga merupakan salah satu cara yang membentuk saya untuk bergelar pengacara kerana saya belajar melihat ‘bahasa tubuh’ pengacara , cara lontaran vokal atau cara pengendalian  program.”

Acara pertama Linda menjadi pengacara adalah ketika di sekolah rendah, iaitu bersempena Perkhemahan Pengakap dan setiap kumpulan perlu membuat persembahan dan memerlukan pengacara. Beliau menawarkan diri untuk menjadi pengacara dan itulah langkah pertama beliau dalam bidang pengacaraan.

Linda sedang mengacarakan majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Langkah Linda dalam pengacaraan semakin panjang apabila memasuki alam pekerjaan. Beliau pernah mengacarakan Siaran Langsung Perarakan Maulidurrasul Peringkat Kebangsaan yang disiarkan di TV1, siaran langsung  Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Anugerah yang disiarkan melalui TV1,TV2 , i-TV (Astro) saluran 180, selain Majlis Persandingan yang disiarkan di kaca televisyen. Antaranya Program Raikan Cinta yang disiarkan di Astro. Acara-acara ini ada yang melibatkan tetamu kenamaan seperti  Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,Sultan, Yang Di-pertua Negeri,  menteri dan tokoh  besar negara yang lain.

Selain itu, beliau pernah menjadi penyiar dan penerbit  Radio Citra  DBP yang rancangannya pernah disiarkan di Klasik FM dan pernah menjadi penyampai dan Penolong Penerbit di Putra FM, radio kampus UPM  yang bersiaran secara langsung di sekitar Lembah Kelang.

Di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Linda bukan seorang yang asing dalam bidang pengacaraan majlis. Banyak acara yang “menggunakan” suara beliau. Beliau pandai menyesuaikan bentuk pengacaraan mengikut majlis, tidak kira untuk khalayak kanak-kanak, dewasa, atau orang kenamaan.

Apabila melibatkan diri dalam “kerjaya” yang berhadapan dengan orang ramai, perasaan gugup tidak dapat dielakkan. Linda mempunyai teknik tersendiri untuk mengatasai masalah gugup.

“Kebiasaannya, setiap kali menjadi pengacara, saya akan meletakkan cermin kecil di atas rostrum dan dari situ daya dapat melihat “senyuman” saya ketika mengcarakan majlis. Tersenyum ketika menjadi pengacara salah satu cara untuk menghilangkan perasaan gugup dan akan membuatkan kita kelihatan natural atau bersahaja ,” kata beliau berkongsi rahsia.

Beliau turut berkongi beberapa petua lain untuk mengatasi perasaan gugup. Setiap kali akan mengacarakan majlis, beliau akan bermula dengan doa menghilangkan gugup. Apabila ada masa lapang, beliau banyak membaca buku yang dapat menambahkan keyakinan apabila berbicara. Antara buku kesayangannya ialah Pidato-Berpidato oleh Rahmat Ismail, Pengucapan Awam oleh Zamri@Mua’ti  dan buku protokol lain. Selain itu, beliau akan menganalisis khalayak majlis sebagai persediaan sebelum mengacarakan sesuatu majlis.

Jika ada majlis yang memerlukan beliau menjadi pengacara “bidan terjun”, untuk menghilangkan perasaan gugup, beliau akan bertenang, mendapatkan atur cara majlis dan cuba mengolah ayat sebaik-baiknya menggunakan pantun, atau kata-kata indah atau kemahiran lain yang telah “terakam” dalam minda.

Kesilapan tidak dapat dielakkan jika seseorang mengacarakan sesuatu majlis. Linda juga tidak terkecuali dan beliau mempunyai teknik tersendiri untuk memperbetulkan kesilapan.

“Kesilapan yang biasa berlaku ialah tersalah atau tersasul menyebut perkataan, nama atau jawatan dan adakalanya maklumat yang diperoleh untuk sesuatu acara tidak lengkap. Jadi, pengacara perlu bijak memanipulasikan kata-kata agar maklumat yang disampaikan dapat diterima oleh khalayak dengan sempurna,” kata Linda.

Beliau berkongsi teknik memperbetulkan kesilapan. “Pertamanya, kita perlu memohon maaf dan perlu memperbaiki sebutan kata, nama atau jawatan dan sebaiknya; jangan terlalu banyak menyebut kata “maaf” kerana kalau terlalu kerap, akan menampakkan kelemahan kita sebagai pengacara. Sebaik-baiknya, cuba gunakan kata-kata lain yang dapat mengembalikan keyakinan khalayak untuk mendengar apa yang kita perkatakan,” katanya lagi.

Linda sedang mengacarakan rancangan Radio Citra DBP.

Sebagai pengacara yang “laris”, Linda telah melalui pelbagai pengalaman sepanjang 20 tahun sebagai pengacara. Linda mengaku bahawa beliau tidak banyak merasa pengalaman pahit  kecuali menghadapi pelbagai kerenah masyarakat yang bekerja dengan kita, terutamanya untuk mengendalikan sesuatu majlis dan mendapatkan maklumat  untuk majlis yang akan dikendalikan. Beliau pernah dikritik dalam akhbar, iaitu  ketika kali pertama mengendalikan siaran langsung.

Antara pengalaman manis pula adalah apabila diberikan kepercayaan untuk menyediakan skrip pengacaraan bagi satu majlis peragaan pakaian yang akan dikendalikan oleh Datuk Mahathir Lokman. Beliau menyelitkan pantun dalam skrip agar busana yang diperagakan dalam majlis itu akan “bertambah seni dan serinya” dan ditampakkan melalui pantun Melayu. Pengalaman manis lain adalah apabila beliau sering diundang oleh agensi/jabatan kerajaan  dan syarikat swasta seluruh negara untuk mengacarakan majlis.

Oleh sebab bertugas di DBP sepenuh masa, Linda perlu pandai mengaturkan jadual pengacaraan supaya tidak mengganggu tugas hakiki. Linda berterima kasih kepada Ketua Pengarah, pihak pengurusan, ketua bahagian dan teman sepejabat yang memahami minatnya dalam bidang pengacaraan majlis dan memberikan kebenaran dan sokongan.

“Saya perlu ‘berusaha lebih’ dengan memastikan tugas hakiki disiapkan lebih awal dan jika tugas tersebut memerlukan masa yang panjang untuk disiapkan, saya akan melaporkan perkembangan tugas hakiki kepada penyelia atau ketua.  Dan, yang paling penting, saya senantiasa memaklumkan waktu bertugas sebagai  pengacara kepada ketua.

Walaupun bertugas di luar tugas hakiki, Linda sentiasa membawa imej DBP dalam semua acara yang diacarakannya.

“Saya akan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan kata-kata yang indah di samping menyelitkan pantun, pepatah, bidalan, perumpamaan dan sebagainya untuk menunjukkan kehalusan budi orang Melayu. Walaupun bukan tugas rasmi, orang melihat saya sebagai mewakili DBP,” katanya bersemangat.

Tugas sebagai pengacara bukanlah suatu tugas yang mudah kerana pengacara atau MC ialah “Master of Ceremony” dan kejayaan sesuatu  majlis adakalanya bergantung kepada kebijakan pengacara mengendalikan majlis. Jadi, Linda sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kemahiran diri dengan mengikuti lebih banyak kursus pengacaraan. Beliau mengikuti kursus vokal agar suara atau sebutan  lebih “bulat” ketika mengacarakan majlis.

Linda berhasrat dapat menguasai pelbagai bahasa untuk menjadi  pengacara serba boleh seperti Datuk Mahathir Lokman yang menguasai pelbagai bahasa. Beliau mempunyai impian menggunung dalam bidang pengacaraan, antaranya membuka akademi pengacaraan suatu hari kelak.

“Saya berharap agar suatu hari nanti saya dapat membuka sebuah akademi pengacaraan yang dapat melatih lebih ramai anak-anak muda untuk menjadi pengacara dan pelapis kepada pemimpin yang petah pada masa hadapan,” katanya bersemangat, mengakhiri perbualan..

 

PENGALAMAN KERJA

Bil.

Jawatan

Majikan

Tempoh

1.

Pegawai Perancang Bahasa S41/Penerbit Rancangan Citra DBP, Bahasa Jiwa Bangsa dan Santun Bahasa di Klasik Nasional, Asyik FM, Ai FM, Minnal FM, dan Bernama Radio 24

Dewan Bahasa dan Pustaka

10 Tahun

(2003 hingga sekarang)

2.

Pembantu Pengajar

 

Universiti Kebangsaan Malaysia

 2002

3.

Penolong Penerbit

Universiti Putra Malaysia (Radio UPM Putra FM – Saluran Radio Malaysia Selangor/Selangor FM)

6 Bulan

4.

Wartawan Mingguan/Warta Perdana

 

Mohd Khairuni Sdn. Bhd (MKSB)

3 Bulan

5.

Audio Talent – Projek pembelajaran secara kontekstual- suara latar untuk modul Pendidikan, Biologi, Kejuteraan, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia

 

Open University Malaysia, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur.

 

6 Bulan

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1055156
    Visit Today : 772
    This Month : 3409
    Total Visit : 1055156
    Hits Today : 2281
    Total Hits : 4330352
    Who's Online : 4
  • Kategori