Perkataan avenue tidak terdapat dalam kosa kata bahasa Melayu.o

Oleh HASSAN ALIAS

BANDAR Tun Hussein Onn merupakan kawasan perumahan popular yang terletak di pinggir Kuala Lumpur. Untuk sampai ke bandar ini dari Kuala Lumpur yang mengambil masa lebih kurang 30 minit, anda perlu melalui Lebuh Raya Cheras-Kajang dan menyusur ke kiri sebelum tiba di persimpangan Cheras Mahkota di Batu 9, Hulu Langat, lalu membelok ke Cheras Perdana sebelum tiba di Bandar Tun Hussein Onn.

Bandar ini menjadi pilihan ideal kebanyakan warga kota kerana kedudukannya yang hampir dengan bandar raya dan kemudahan yang cukup, termasuk sekolah, masjid, pasar raya dan pusat beli-belah. Boleh dikatakan 90 peratus penduduknya Melayu  pelbagai latar belakang – daripada yang berjawatan yang tinggi hingga yang berjawatan rendah.

Pembangunan perumahan di sini mengikut fasa. Fasa pertama, dinamakan “Suasana” diikuti oleh “Suadamai”, “Suarasa” dan “Suakasih”. Walaupun perkataan “suadamai”, “suarasa” dan “suakasih” tiada dalam kamus bahasa Melayu, perkataan ini boleh diterima kerana ada bunyi “Melayu”nya. Bagi fasa perumahan yang lebih mewah, diberikan nama seperti “Arca” dan “Primaya” yang masih berbunyi kemelayuan.

Banyak lagi perkataan Melayu yang boleh menggantikan town park.

Ketibaan alaf baru memberikan impak yang bukan sedikit terhadap semua sisi kehidupan. ICT menguasai kehidupan; bahasa Inggeris menjadi pilihan. Dan yang paling diingat ialah pengajaran sains dan matematik di sekolah dalam bahasa Inggeris.

Kata orang, semua ini fenomena era globalisasi. Bahasa Inggeris bahasa global. Petanda negara maju adalah apabila masyarakatnya menguasai bahasa Inggeris. Ini semua hujah dangkal yang mudah dipatahkan.

Bandar Tun Hussein Onn yang dibangunkan oleh Uda Holdings turut “mabuk” oleh pengaruh bahasa global itu. Seiring dengan pembangunan fasa baharu, bahasa Inggeris mengambil alih sepenuhnya penamaan fasa perumahan.

Nama-nama perumahan yang biasanya digunakan di kawasan elit  sudah menular di sini. Antaranya Lake Valley, Avenue One, Two, Three, Four, Five, Six, Town Park dan banyak lagi. Iklan-iklan yang dipacakkan dan digantung di sekitar bandar ini juga dalam bahasa Inggeris. Bahasa Melayu terselindung di sebalik lambakan iklan dalam bahasa Inggeris.

Sasaran iklan ini ialah rakyat Malaysia yang faham Bahasa Melayu.

Teguran pelbagai pihak termasuk kerajaan supaya masyarakat memartabatkan bahasa Melayu dalam penamaan kawasan perumahan tidak berkesan. Yang menyedihkan ialah Uda Holdings, iaitu syarikat perumahan yang bertanggungjawab membangunkan Bandar Tun Hussein Onn milik kerajaan yang sepatutnya memartabatkan bahasa Melayu. Yang lebih menyedihkan lagi, penduduk bandar ini yang 90 peratus Melayu dibungkus oleh persekitaran  bahasa Inggeris.

Apakah kewajaran pihak yang berkenaan meremehkan bahasa Melayu sebaliknya mengagungkan bahasa Inggeris? Adakah dengan cara ini akan menaikkan status Bandar Tun Hussein Onn setanding dengan perumahan elit di seluruh Kuala Lumpur dan Selangor? Tepuk dada, tanyalah selera!

Adakah frasa “Lembah Tasik” tidak komersial?

Nasi sudah menjadi bubur. Bangunan, rumah, dan banglo sudah siap, dan mustahil nama-nama tersebut dapat ditukarkan semula ke dalam bahasa Melayu. Sewajarnya kita berasa sedih kerana pegawai-pegawai di Uda Holdings telah “menenggelamkan” bahasa Melayu ke dalam tasik buatan manusia di Lake Valley yang terletak di pinggir Bandar Tun Hussein Onn.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1054769
    Visit Today : 385
    This Month : 3022
    Total Visit : 1054769
    Hits Today : 999
    Total Hits : 4329070
    Who's Online : 11
  • Kategori