Oleh NUR SYAHIRA CHE MAT


“ROYAL Malaysia Police College Kuala Lumpur: Cradle of Police Excellence”.
Begitu bunyinya slogan yang terpampang di lereng bukit di tepi lebuh raya Cheras – Kajang milik Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur atau dikenali juga dengan Royal Malaysia Police College Kuala Lumpur yang terletak di Cheras Selatan. Papan tanda yang memaparkan bahasa Inggeris sepenuhnya itu menggerakkan hati penulis untuk menyiasat perkara ini.

Penulis menemubual salah seorang pegawai polis di Maktab PDRM untuk mendapatkan pandangannya. Menurut beliau, papan tanda tersebut terdapat dua bahagian, iaitu bahasa Inggeris pada bahagian belakang untuk paparan umum dan bahasa Melayu pada bahagian hadapan yang menghadap padang kawad. 

“Pemaparan bahasa Inggeris selaras dengan prestasi maktab yang sudah mencapai tahap antarabangsa dan menuju globalisasi,” katanya lagi. Beliau juga memberi alasan tidak cukup dana dan ruang untuk menggabungkan teks dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Penulis merujuk kepada Encik Ahmad Fazly bin Sahar, pegawai Bahagian Penguatkuasaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengulas isu tersebut. Katanya, “DBP memberi perkhidmatan nasihat bahasa iaitu membetulkan tatabahasa, ejaan dan kejelasan visual bahasa Melayu berbanding dengan bahasa Inggeris pada papan iklan sebelum diluluskan.” Katanya lagi, kelulusan akhir untuk memasang iklan terletak di tangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Encik Asmizi Mohd Yusof

Penulis turut mendapatkan penerangan daripada pihak DBKL tentang perkara ini. Encik Asmizi bin Mohd Yusof, Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Perlesenan, DBKL berkata, papan tanda tersebut tiada masalah kerana terdapat papan tanda utama berbahasa Melayu di pintu masuk maktab dan papan tanda berbahasa Inggeris tersebut ialah papan tanda kedua.

“Papan tanda ini dikenali sebagai papan tanda premis jadi tiada masalah sebab kami akan mengambil kira dua perkara sebelum memberi kelulusan, iaitu lokasi iklan dan visual yang dipaparkan,” katanya lagi.

Pada pandangan penulis, walaupun ada peruntukan yang membenarkannya, maktab berkenaan tidak wajar mengutamakan bahasa Inggeris. Jika organisasi kerajaan sendiri tidak memartabatkan bahasa Melayu sudah tentu pihak lain juga tidak serius tentang hal ini. Hal ini demikian kerana pindaan yang terkandung dalam Undang-Undang Kecil (Wilayah Persekutuan) menyatakan bahawa iklan papan tanda wajib mengutamakan bahasa Melayu.

Papan tanda di bahagian dalam kolej.

Kita tertanya-tanya mengapa Maktab PDRM mengutamakan bahasa Inggeris sebaliknya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sampingan? Adakah bahasa Melayu tidak difahami atau tidak sehebat bahasa Inggeris? Mengapa tidak digunakan sahaja ungkapan, contohnya, “Maktab Polis Diraja Malaysia, Langkah Pertama Meniti Kegemilangan?”

Alasan kekurangan dana dan ruang tidak dapat diterima kerana paparan umum sepatutnya menggunakan bahasa Melayu untuk menunjukkan citra Malaysia. Berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh DBP dan DBKL, pelanggan boleh menggunakan dwibahasa pada iklan papan tanda tersebut dan bahasa Melayu haruslah lebih menyerlah berbanding dengan bahasa Inggeris.

Bagaimana kita ingin menggalakkan pengunaan bahasa Melayu pada semua iklan papan tanda jika sesetengah masyarakat Malaysia lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris atas alasan globalisasi? Jelas bahawa bahasa Melayu masih dipinggirkan dan dipandang remeh padahal bahasa tersebut ialah bahasa kebangsaan kita. “Bahasa Jiwa Bangsa”.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1050363
    Visit Today : 1208
    This Month : 32962
    Total Visit : 1050363
    Hits Today : 7290
    Total Hits : 4312051
    Who's Online : 17
  • Kategori