Oleh SYLE RIZA ARIF

MALAYSIA ialah sebuah negara yang bertuah kerana berupaya mengeluarkan sendiri pelbagai barangan keperluan yang memenuhi kehendak masyarakatnya. Hal ini dapat dilihat dengan perkembangan pesat industri negara yang menghasilkan produk makanan, pakaian, barangan kelengkapan rumah, dan yang paling membanggakan ialah kereta nasional negara.

Apakah ciri-ciri produk tempatan? Selain dihasilkan di negara itu sendiri, ia seharusnya ada ciri-ciri tempatan  negara  berkenaan untuk menggambarkan citra negara asalnya. Sama ada kita suka atau tidak, kita tidak boleh terlepas daripada mengaitkan produk tempatan dengan cogan kata/moto yang digunakan untuk mewakili sesuatu produk tersebut. Hampir semua produk tempatan di negara ini ada slogan atau cogan kata, sama ada menggunakan bahasa kebangsaan atau bahasa lain. Sewajarnya produk tempatan Malaysia mengekalkan ciri-ciri budaya dan citra setempat. Salah satu caranya adalah dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Malangnya perkara ini  tidak diendahkan apabila kebanyakan produk tempatan meminggirkan bahasa kebangsaan dalam slogan produk dan perkhidmatan mereka. Kes terbaharu yang menjadi tumpuan masyarakat, bukan setakat kehebatan produknya tetapi juga slogan yang digunakan, iaitu “Lagi Best”. Memang malang sekali kerana slogan ini digunakan oleh pengeluar kereta nasional yang sepatutnya memartabatkan bahasa kebangsaan seiring dengan kempen yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kepenggunaan, iaitu “Martabatkan Jenama Malaysia”.

Percampuran bahasa yang terdapat dalam slogan ini amat tidak boleh diterima, dan sudah pastinya salah dari segi tatabahasa. Jangan jadikan alasan bahasa Melayu tidak menarik atau “catchy” untuk digunakan dalam pengiklanan kerana yang tidak menariknya adalah apabila bahasa itu “dicemari” dengan bahasa rojak. Pelbagai ayat boleh diungkapkan dengan idea yang ingin dizahirkan oleh pengeluar kereta tersebut seperti – Lagi Baik, Lebih Bagus, Lebih Baik, Lebih Elok, dan lain-lain.

Bahasa Melayu juga mampu mencipta slogan yang menarik hati pelanggan.

Terdapat banyak lagi produk tempatan yang tidak bangga dan megah dengan bahasa kebangsaan negara, walhal produk mereka dibeli dan digunakan oleh rakyat Malaysia. Slogan produk tempatan lain yang tidak memartabatkan bahasa kebangsaan ialah Celcom – the power is in you hand,  SimplySiti – It used to be my secret, now it’s yours, Pensonic – your enjoyment, Asadi – growing together, RHB – banking simplified, dan lain-lain. Hal ini berbeza dengan produk dan perkhidmatan dari luar negara yang memasuki pasaran Malaysia. Walaupun slogan asal produk atau perkhidmatan tersebut dalam bahasa asing, tetapi diterjemahkan atau disediakan dalam bahasa Melayu apabila dipasarkan di negara kita. Antara produk dan perkhidmatan tersebut ialah KFC – sehingga menjilat jari (fingers licking good), Giordano – dunia tanpa pengasingan (world without strangers), Loreal – kerana dirimu begitu berharga (because you worth it), Hyundai – pandu dengan gaya anda (always there for you) – sekadar menyebut beberapa produk dan perkhidmatan.

Perkara ini harus diambil perhatian bukan sahaja oleh pengeluar produk tempatan tetapi juga kumpulan kreatif yang bertanggungjawab mencipta slogan sesuatu produk atau perkhidmatan. Alasan bahasa Melayu tiada nilai komersial dan tidak cukup sempurna untuk digunakan dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan adalah alasan golongan yang tidak cintakan bahasa negaranya. Ada juga alasan mengatakan peminggiran bahasa kebangsaan ini berlaku kerana mengikut kehendak pasaran yang lebih sukakan ayat kolokial dan bahasa rojak.

Kekangan ciptaan ini tidak boleh membantutkan pemikiran kreatif kumpulan yang terbabit dalam menghasilkan slogan yang betul dan tepat bahasa kebangsaannya, bahkan slogan yang indah dan kreatif boleh terhasil dengan menggunakan kata asli bahasa Melayu. Seperti yang diutarakan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Majlis Dailog Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Pengiklanan pada 26 Mei 2011, iaitu, “pemain iklan kerap kali berfikir dalam bahasa Inggeris apabila menulis iklan untuk bahasa Melayu. Justeru, keputusan yang terhasil sangat mengecewakan”.

Pemikiran kita sebagai rakyat Malaysia yang mengaku bahawa bahasa Melayu itu adalah bahasa negara harus diperkukuh, disemat dalam sanubari dan dijunjung dengan penuh rasa tanggungjawab. Bahasa kebangsaan bukan setakat digunakan ketika kenduri-kendara, atau semasa berurusan dengan jabatan kerajaan, tetapi hendaklah digunakan untuk segala maksud di negara kita. Bak pepatah lagu patriotik bahasa, ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ – gunakanlah bahasa kebangsaan kita…, yakinlah bahasa jiwa bangsa…

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044639
    Visit Today : 1060
    This Month : 27238
    Total Visit : 1044639
    Hits Today : 3661
    Total Hits : 4288634
    Who's Online : 19
  • Kategori