Oleh NAWAL HANIM HAJI LOPE ZAINAL ABIDIN

Persidangan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Saifuddin Abdullah (tiga dari kiri).

DALAM usaha mengetengahkan pandangan, pengalaman dan ilmu tentang pelbagai aspek yang berkaitan dengan penterjemahan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Institut Penterjemahan Negara (ITNM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Penterjemahan Malaysia (PPM) bersama-sama menganjurkan Persidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) Ke-13 di Hotel Concorde, Shah Alam pada 19 – 21 Julai lalu. Persidangan dinaungi oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Persidangan bertujuan menggalakkan pertukaran pendapat dan pengalaman dalam bidang penterjemahan, merangsang wacana intelektual dan profesional, membuka peluang kepada penemuan baru dan pendekatan alternatif dalam bidang penterjemahan, mempererat dan memperkukuh kerjasama dalam kalangan penterjemahan, dan memperkenalkan UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia yang terlibat dengan kerja-kerja penterjemahan dan pengajaran kursus terjemahan.

Buku terbitan UiTM dan ITNM turut dilancarkan oleh Timbalan Menteri.

Naib Canselor UiTM, YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid dalam kertas dasarnya, menyatakan hasrat agar UiTM dapat dikenali sebagai hab pengajian tinggi serantau dan antarabangsa tanpa mengetepikan bahasa ibunda negara kita. Universiti Teknologi Mara juga berharap dapat menggembleng gabungan kepakaran dengan institusi antarabangsa.

Dalam kertas dasar kedua yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ITNM, Tuan Haji Mohd. Khair Ngadiron, turut menegaskan bahawa ITNM tiada piawaian khas dalam kerja-kerja penterjemahan. Penyuntingan dilakukan semula oleh editor sekiranya pelanggan tidak berpuas hati dan bayaran tidak akan dikenakan ke atas pelanggan bagi penyemakan semula tersebut.

Persidangan dwitahunan ini dihadiri oleh kira-kira 300 orang peserta dari pelbagai negara, seperti Indonesia, Brunei Darussalam, Perancis, Nigeria, Kanada, Jordan, Saudi Arabia, Iran dan Yaman. Sebanyak 97 buah kertas dibentangkan dalam seminar selama tiga hari ini, termasuk tiga kertas dasar dan tiga kertas plenari.

Antara tajuk yang dikupas dalam persidangan ini ialah “The Role of Using Islamic English in Solving the Difficulties in Translating Noble Quran and Unification of Muslims” oleh Dr. Mohammad Akram Al Zu’bi dari Jordan, “Permasalahan dalam Menterjemah Dokumen Perundangan” oleh Muhamad Firdaus Tokimin, Nurrissammimayatie Ismail dan Dr. Norizah Ardi dari UiTM dan “Penterjemahan dalam Satu Bahasa (BI-BM) Cogito Allah Sum karya Lalu Mohammad Zaenudin” oleh Dr. Laurent Metzger dari Universiti La Rochelle, Perancis.

Persidangan berakhir dengan pengumuman Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-14 dan Forum Penterjemah Asia ke-7 yang akan diadakan serentak pada bulan Ogos 2013 dengan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai tuan rumah.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045351
    Visit Today : 247
    This Month : 27950
    Total Visit : 1045351
    Hits Today : 809
    Total Hits : 4291374
    Who's Online : 19
  • Kategori