Cheng Kui Qiang

KEPETAHANNYA mendeklamasikan puisi “Bacalah dalam Bahasamu” karya Baha Zain menarik perhatian penonton di Dewan Kuliah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 5 Julai lalu. Dengan gaya bersahaja tetapi penuh penghayatan, Cheng Kui Qiang menyampaikan bait demi bait puisi sehingga juri sebulat suara memilihnya sebagai Johan Pertandingan Deklamasi Puisi Festival Bahasa dan Sastera 2011.

Permata Sekolah Menengah Confucian (Persendirian), Kuala Lumpur ini digilap dengan sempurna oleh Puan Wan Sabariah Mohd. Khalil yang merupakan guru pembimbing. Tanpa sedikit pun tampak gugup di wajahnya, Cheng Kui Qiang dapat  menguasai bahasa Melayu dengan baik, terutama dari segi tatabahasa dan sebutannya.

Kesungguhannya menghafal puisi dan latihan pembacaan yang kerap dilakukan membolehkan Cheng Kui Qiang menjadi johan dengan membawa pulang  wang tunai RM500, piala dan sijil penyertaan selain beberapa hadiah iringan seperti raket badminton tajaan KH Sports World Sdn. Bhd., kamus BESTA, set permainan Syarikat Permainan Malaysia, dan  set alat tulis tajaan Gempak Starz. Hadiah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin pada majlis penutup Festival Bahasa dan Sastera 2011.

Para pelajar yang mengambil bahagian bergambar bersama-sama Timbalan Perdana Menteri

Usaha melahirkan lebih ramai pendeklamasi berbakat seperti Cheng Kui Qiang wajar diteruskan demi memartabatkan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar bukan Melayu di samping menyemai semangat cintakan bahasa Melayu dan negara Malaysia dengan menjadikan puisi sebagai salah satu wahana komunikasi.

Festival Bahasa dan Sastera 2011 diadakan pada 4 – 6 Julai lalu di DBP dapat mengetengahkan banyak bakat baru pelajar Melayu dan bukan Melayu dalam pertandingan forum, pidato, bercerita, koir dan deklamasi puisi. Festival yang diadakan sempena sambutan Ulang Tahun ke-55 DBP dihadiri oleh seramai kira-kira 700 orang.

Festival Bahasa dan Sastera adalah program DBP dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Persatuan Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia, Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia dan Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia. Festival bertujuan memantapkan penggunaan bahasa Melayu di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelajar Melayu dan bukan Melayu Sekolah Menengah Persendirian Cina (SPMC), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di negara ini. Festival Bahasa dan Sastera pertama kali diadakan pada 1-3 November 2009.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042476
    Visit Today : 340
    This Month : 25075
    Total Visit : 1042476
    Hits Today : 843
    Total Hits : 4280438
    Who's Online : 14
  • Kategori